Saturday, September 16, 2017

6. NILAIKAN SUMBANGAN PRESIDEN MACAPAGAL KEPADA PEMBENTUKAN NEGARA BANGSA FILIPINA ANTARA TAHUN 1961 HINGGA 1965.



 A. Pengenalan

-          Presiden Diosdado Macapagal Pangan merupakan Presiden Filipina yang ke-9 (1961-1965). Beliau dilahirkan pada 28 September 1910 di Lubao, Pampanga dan meninggal dunia pada 21 April 1997 akibat kegagalan jantung, paru-paru, dan komplikasi buah pinggang di Makati Medical Center. Beliau merupakan anak kedua daripada empat orang adik-beradik. Bapa beliau bernama Urbano Macapagal dan ibunya Romana Pangan. Beliau dikenali sebagai ‘budak miskin’ dari Lubao, Pampanga dan menggunakan nama samaran ‘Tidak Rasuah’.

-          Macapagal mendapat pendidikan awal di Elementary School Lubao dan memperoleh kelulusan valedictorian pada tahun 1925 serta lulus dengan kelas kedua tinggi di Sekolah Tinggi Pampanga pada tahun 1929. Beliau telah melanjutkan pelajaran ke University of Santo Tohias dalam jurusan undang­-undang dan menamatkan pengajiannya pada tahun 1936. Setelah itu, beliau mengajar dan memperoleh Ijazah Sarjana Doktor Undang-undang Sivil dan Ph.D. Ekonomi di universiti yang sama. Setelah tamat pengajian, Macapagal menjadi peguam, menjadi ahli Kongres, menjadi ahli Dewan Rakyat pada tahun 1948, beliau berkhidmat sebagai setiausaha kedua di Kedutaan Filipina di Washington, D.C. Beliau juga merupakan wakil Filipina ke Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu sebanyak tiga kali.

B. Isi-isi.

Sumbangan Macapagal.

1. Aspek Politik
-          Presiden Macapagal telah memainkan peranannya dalam pembentukan MAPHILINDO. Melalui MAPHILINDO, Filipina telah menjalin hubungan yang lebih rapat dengan negara jiran seperti Malaysia dan Indonesia. MAPH1LINDO ialah pergabungan bukan politik yang dicadangkan dan ia merupakan pencapaian yang penting sebagai pembuka jalan untuk mewujudkan Persatuàn Negara-negara Asia Tenggara (ASEAN). MAPHILINDO telah digambarkan sebagai persatuan serantau yang akan mendekati isu-isu kepentingan bersama dalam semangat persaudaraan.
-          Presiden Macapagal telah memfailkan tuntutan Filipina ke atas Sabah (Borneo Utara) sebagai sebahagian dari wilayah Filipina kerana ia telah diberikan sebagai hadiah kepada Sultan Sulu oleh Sultan Brunei. Tuntutan ini telah dikemukakan oleh Macapagal pada 22 Jun 1962. Presiden Macapagal juga telah memujuk Kongres agar rnenghantar tentera ke Vietnam Selatan pada akhir tahun 1965. Walau bagaimanapun, cadangan ini telah disekat oleh pembangkang yang dipimpin oleh Presiden Senat, iaitu Ferdinand Marcos.

2. Aspek Ekonomi
-          Macapagal telah memperkenalkan pembaharuan dalam undang-undang tanah negara, menghapuskan kawalan pertukaran mata wang asing, mengawal keuntungan yang keluar, dan memperkenalkan kawalan harga serta mengurangkan pengangguran. Tujuannya ialah untuk menyekat rasuah, meningkatkan pengeluaran makanan, dan melaksanakan sosioekonomi yang berani. Namun, tujuan beliau banyak dihalang oleh Kongras Filipina yang dikuasai oleh parti saingan beliau, iaitu Parti Nasional.
-          Beliau juga telah memperkenalkan Kanun Tanah Pertanian Pembaharuan 1963. Melalui kanun ini, beliau telah melakukan pemansuhan penyewaan dan program reformasi tanah sebagai usaha untuk memerangi kemiskinan secara besar-­besaran. Beliau menandatangani pemansuhan tersebut pada 8 Ogos 1963, bertujuan untuk menghapuskan perhambaan terhadap penyewa tanah kepada kebebasan dan keselamatan petani di tanah milik mereka. Walau bagaimanapun, beliau gagal dalam melaksanakan reformasi tanah.
-          Beliau juga telah menghapuskan kawalan pertukaran mata wang dan membenarkan peso Filipina diapungkan di pasaran pertukaran mata wang percuma. Pada 21 Januari 1962, selepas bekerja selama 20 jam berturut­-turut akhirnya Presiden Macapagal berjaya menandatangani dekri Bank Negara yang memansuhkan kawalan pertukaran dan mengembalikan negara kepada perusahaan bebas.
-          Presiden Macapagal juga mewujudkan Pentadbiran Pekerjaan Asas (EEA) sebagai usaha untuk menyelesaikan masalah pengangguran yang juga merupakan salah satu masalah utama semasa pentadbirannya. Kerajaan telah memberi bantuan dengan menyediakan lebih banyak peluang pekerjaan untuk penduduk Filipina bagi membolehkan mereka mengatasi masalah kemiskinan dan meningkatkan ekonomi negara.
-          Presiden Macapagal juga memperkenalkan program sosioekonomi yang berlandaskan ‘kembali kepada perusahaan bebas dan swasta’ akan meletakkan pembangunan ekonomi Filipina di tangan usahawan swasta dengan campur tangan kerajaan yang minimum. Oleh itu, Undang-undang Perdagangan Runcit Kebangsaan telah diwujudkan untuk memecahkan monopoli oleh perniagaan asing yang menguasai perdagangan runcit Filipina.
-          Presiden Macapagal turut memperkenalkan program Pembangunan Bersepadu Lima Tahun yang bertujuan untuk pemulihan segera kestabilan ekonomi; membela nasib golongan rakyat biasa; dan mewujudkan asas yang kukuh untuk pertumbuhan masa depan. Dengan itu, beliau telah berjaya mencatat kemajuan ekonomi yang stabil dan pertumbuhan KDNK tahunan purata pada 5.15% bagi tahun 1962-1965.

3. Aspek Sosial
-          Presiden Macapagal juga telah menukar tarikh kemerdekaan Filipina dari 4 Julai kepada 12 Jun. Ini kerana 4 Julai ialah tarikh Amerika Syarikat memberikan kemerdekaan kepada rakyat Filipina sedangkan 12 Jun ialah tarikh Filipina mengisytiharkan kemerdekaan mereka sendiri daripada penjajah Sepanyol pada tahun 1898. Pada 12 Mei 1962, Presiden Macapagal telah menandatangani proklamasi yang mengisytiharkan 12 Jun setiap tahun sebagai cuti umum khas untuk memperingati pengisytiharan kemerdekaan daripada Sepanyol, iaitu pada 12 Jun 1898. Walaupun pada 12 Jun 1898, Filipina belum lagi bebas sepenuhnya kerana kemudian dijajah pula oleh Amerika Syarikat yang ketika itu berjaya mengalahkan Sepanyol, tetapi bagi rakyat Filipina mereka sudah mendapat kemerdekaan.
-          Presiden Macapagal juga telah memulakan penggunaan bahasa Filipina dalam semua urusan rasmi kerajaan, kelayakan diplomatik, diploma, sijil dan dokumen lain yang masih diteruskan sehingga kini. Beliau juga menggalakkan penggunaan bahasa kebangsaan mereka sebagai bahasa rasmi yang digunakan dalam semua acara cara komunikasi dan untuk semua dokumen.

C. Kesimpulan.
Kesimpulannya, Presiden Macapagal telah melaksanakan pelbagai langkah untuk membentuk Negara bangsa Filipina sepanjang pemerintahannya menerusi dasar pembangunan ekonomi, sosial dan politik. Sumbangannya yang besar telah berjaya membentuk jati diri rakyat Filipina melalui penggunaan bahasa Filipina sebagai bahasa rasmi dan menukar tarikh tarikh kemerdekaan Filipina. 
SUMBER-

JPN PAHANG SKEMA PERCUBAAN STPM P3 940/3

5. HURAIKAN LANGKAH-LANGKAH KE ARAH KEMERDEKAAN MYANMAR SELEPAS ZAMAN PENDUDUKAN JEPUN


5. HURAIKAN LANGKAH-LANGKAH KE ARAH KEMERDEKAAN MYANMAR SELEPAS ZAMAN PENDUDUKAN JEPUN
A.        Pengenalan.
Perjuangan kemerdekaan Myanmar begitu jelas selepas Perang Dunia Kedua dengan kekalahan Jepun di tangan Tentera Bersekutu. Sebenarnya, sebelum Perang Dunia Kedua, gerakan nasionalisme Myanmar telah muncul ke arah mencapai kemerdekaan. Pada 4 Januari 1948, Myanmar mencapai kemerdekaan mutlak daripada penjajahan British. Pencapaian kemerdekaan Myanmar merupakan satu proses perjuangan para nasionalis bersama-sama rakyat jelata.
B. Isi-isi.
Langkah-langkah ke arah kemerdekaan.
1.         Pembentukan kerajaan baharu
- Setelah kekalahan Jepun, Aung San telah berusaha untuk mendapat sokongan daripada golongan Karen, Kachin dan Chui serta membebaskan Liga Pembebasan Rakyat Anti-Fasis daripada pengaruh komunis dalam menyakinkan British untuk mendapatkan kemerdekaan Myanmar.
- Pada peringkat awal Sir Hubert Rance telah mecadangkan agar LPRAF diberikan perwakilan minoriti dalam Dewan Eksekutif. Namun cadangan ini ditolak oleh Aung San dan LPRAF seterusnya mereka melancarkan satu mogok kebangsaan.
- Mogok kebangsaan ini diadakan bertujuan memaksa British tunduk kepada tuntutan Myanmar. Sir Hubert Rance akhirnya terpaksa mengadakan rundingan dengan Aung San . Hasil rundingan ini LPRAF diberikan perwakilan yang lebih dalam Dewan Eksekutif iaitu sebanyak 6 daripada 9 kerusi. Kemudian kerajaan baharu dibentuk dengan Aung San dilantik sebagai Perdana Menteri.
2.         Perjanjian Atlee-Aung San 1946
Pada bulan Disember 1946, pihak British menjemput pemimpin Myanmar menghantar satu rombongan kemerdekaan ke England. Hasilnya ialah Perjanjian Atlee-Aung San ditandatangani. Antara isu yang dibincangkan ialah;
i.          Pilihanraya umum akan diadakan empat bulan selepas Perjanjian Atlee-Aung San.
ii.         Kabinet Aung San diakui British sebagai kerajaan sementara menjelang pilihanraya kebangsaan.
iii.        British akan menyokong penyertaan Myanmar dalam pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.
iv.        Sebuah Dewan Perlembagaan dibentuk.
v.         British akan melantik seorang Pesuruhjaya Tinggi ke Myanmar.
vi.        .Negeri-negeri kecil di sempadan bebas memilih sama ada ingin bergabung dengan Myanmar atau sebaliknya.
- Dengan Perjanjian Atlee-Aung San, Aung San pulang ke tanah air dengan penuh keyakinan. Semua ahli rombongan kecuali U Saw dan Ba Sein menyokongnya. Parti Komunis melancarkan mogok serta memusnahkan landasan keretapi.
3.         Pilihan raya Umum 1947
- Satu pilihan raya  telah diadakan pada bulan April 1947 yang sejajar dengan Perjanjian Atlee- Aung San. LPRAF telah berjaya mendapat kemenangan cemerlang dalam pilihan raya ini. Kejayaan ini membolehkan LPRAF membentuk kerajaan baharu dengan kabinet dan perlembagaannya sendiri.
4.         Perlembagaan baharu.
- LPRAF  telah bersiap sedia untuk menggubal perlembagaan baharu bagi Myanmar yang akan merdeka. Pada Mei 1947, Thakin Mya telah merangka draf perlembagaan untuk Perhimpunan Perlembagaan. Thakin U Nu telah dilantik sebagai Presiden. Pemimpin utama Myanmar, Aung San dibunuh oleh orang upahan U Saw. Dengan ini U Nu dilantik sebagai pemimpin Liga. Dengan beberapa orang pemimpin Thakin yang lain dalam Dewan Perlembagaan, U Nu meneruskan usaha menggubal perlembagaan baru Myanmar.
5.         Pencapaian kemerdekaan.
- Satu rombongan yang diketuai oleh U Nu bertolak ke London dan menandatangani Rang Undang-Undang Kemerdekaan Myanmar yang menyerahkan kerajaan Myanmar kepada Presiden Kesatuan Myanmar. Seterusnya pada 4 Januari 1948 Myanmar telah mencapai kemerdekaan mutlak daripada penjajahan British dengan U Nu dilantik sebagai Perdana Menteri manakala Sao Shwe Thaik dilantik sebagai Presiden.
C.        Kesimpulan.
Tidak ada siapa yang boleh menafikan bahawa golongan yang dianggap “tuan di Burma” ini telah memainkan peranan penting dalam perjuangan kesedaran kebangsaan Burma, sehinggalah kemerdekaan penuh Burma pada tahun 1948.  R.J Cornish berpendapat  golongan Thakin adalah “convert nationalist sentiment into a major political force”
SUMBER-

JPN PAHANG SKEMA PERCUBAAN STPM P3 940/3




4. BINCANGKAN SUSUN LAPIS MASYARAKAT DI INDONESIA SEBELUM KEDATANGAN KUASA BARAT.



4. BINCANGKAN SUSUN LAPIS MASYARAKAT DI INDONESIA SEBELUM KEDATANGAN KUASA BARAT.
A. Pengenalan.
- Sebelum kedatangan Belanda masyarakat di Indonesia boleh dibahagikan kepada dua golongan iaitu golongan pemerintah dan golongan diperintah. Golongan pemerintah terdiri dari raja/sultan, anak-anak raja, bangsawan, pembesar, priyayi dan pemimpin agama.
- Manakala golongan diperintah ialah rakyat biasa kebanyakannya adalah petani serta hamba merupakan lapisan yang paling bawah. Setiap golongan ini mempunyai peranan dan tanggung jawabnya yang tersendiri.
B. Isi-isi.
Golongan Pemerintah.
1. Raja/Sultan.
- Raja/Sultan berada pada kedudukan teratas dalam hierarki sosial  masyarakat Indonesia. Contohnya di Acheh dan Pulau Jawa. Sultan Acheh merupakan ketua agama Islam dan menjadi pelindung masyarakatnya.
- Sultan juga berkuasa mutlak dalam pemerintahan di wilayah jajahan takluknya. Baginda juga dianggap istimewa mempunyai sifat luar biasa dan berdaulat. Sultan dianggap Khalifah Allah dan pemimpin bagi umat Islam.
2. Kerabat Diraja.
- Kerabat diraja membantu raja/sultan dalam pentadbiran di peringkat pusat dan mendiami kawasan ibu kota. Selain menjalankan tugas pentadbiran, mereka juga melaksanakan upacara keagamaan dan ritual di wilayah atau kerajaan mereka. Golongan pemerintah ini menguasai tanah dan perdagangan maritim. Terdapat juga raja dan kerabat diraja yang memerintah negeri yang terdiri daripada beberapa kumpulan etnik, contohnya Jawa, Sumatera dan Kalimantan.
- Golongan ini dapat mengumpul harta dan menghantar anak-anak mereka ke sekolah. Di Jawa, raja, kerabat diraja dan golongan bangsawan agak terasing daripada masyarakat disebabkan pengaruh agama dan tradisi. Golongan keturunan diraja dibahagi mengikut darjat keturunan masing-masing yang mempunyai status dan prestij tersendiri dalam masyarakat.
3. Pembesar/Uleebalang/Priyayi.
- Lapisan seterusnya diikuti oleh golongan bangsawan yang terdiri daripada kerabat diraja dan bukan kerabat diraja. Di Jawa, golongan priyayi atau bangsawan menjadi penghubung antara sultan dan rakyat. Hubungan antara keduanya amat rapat.
- Mereka juga merupakan pemimpin kerohanian atau agama dalam masyarakat Jawa. Priyayi kebiasaannya mempunyai hubungan kekeluargaan dengan sultan atau kerabat diraja. Golongan ini juga berkuasa ke atas masyarakat peribumi dan ketua tempatan (bupati). Sementara di Acheh, kerabat diraja merupakan keturunan bekas sultan yang pernah memerintah Acheh.
- Pembesar atau Uleebalang juga mempunyai kedudukan yang tinggi dalam hierarki sosial di Indonesia terutamanya di Acheh. Mereka menggunakan gelaran Teuku dan merupakan tulang belakang pemerintahan dan pertahanan.
4. Ulama
- Di Acheh, ulama menjadi penasihat agama Islam kepada sultan. Mempunyai kedudukan tertinggi dan dihormati kerana ketinggian ilmu agamanya serta sering menjadi rujukan masyarakat. Ulama diberi gelaran Tengku sesuai dengan kedudukannya dalam masyarakat.

Golongan Diperintah.
1. Rakyat.
- Rakyat terdiri dari pelbagai lapisan masyarakat. Mereka menjalankan aktiviti pertanian dan perikanan contohnya menjadi petani, nelayan, pelaut dan pedagang. Golongan rakyat khususnya petani tidak memiliki tanah tetapi menyewa tanah daripada golongan bangsawan.
- Mereka bercucuk tanam sebagai aktiviti harian seperti menanam padi. Rakyat memberi khidmat dengan mengerjakan tanah milik bangsawan, melaksanakan tugas yang diberikan dan menjadi askar dalam peperangan apabila raja/tuan tanah terlibat dalam peperangan.
- Rakyat yang kebanyakan petani membayar cukai dan amat setia kepada golongan pemerintah. Petani merupakan majoriti dalam masyarakat menjadi tunjang kegiatan ekonomi di Indonesia yang merupakan sebuah negara agraria.
2. Hamba.
Hamba menduduki lapisan paling bawah. Kehidupan mereka bergantung kepada tuan tanah. Golongan ini biasanya dibebani dengan hutang- piutang.
C. Kesimpulan.
- Masyarakat peribumi di Indonesia terpengaruh dengan unsur agama dan kepercayaan. Keadaan tersebut menyebabkan mereka terlalu mentaati raja mereka. Selepas penjajahan Belanda, susun lapis masyarakat di Indonesia mulai berubah.
- Kedudukan dan kuasa tradisi golongan bupati mulai merosot kerana mereka digantikan oleh pegawai Eropah atau golongan yang berpendidikan barat. Golongan priyayi dan pembesar tempatan dibayar gaji. Sultan juga kehilangan kuasa memerintah.
SUMBER-

JPN PAHANG SKEMA PERCUBAAN STPM P3 940/3