Monday, November 24, 2014

SOALAN 1 Nabi Muhammad merupakan seorang negarawan yang unggul.Bincangkan. [20m]


Nabi Muhammad SAW dilahirkan pada tahun 570 M.. Baginda telah kehilangan orang-orang
yang disayangi sejak kecil lagi. Baginda dibesarkan oleh datuknya, iaitu Abdul Muttalib dan bapa saudaranya, iaitu Abu Talib. Baginda berkahwin dengan Siti Khadijah semasa berumur 25 tahun. Ketika baginda berusia 40 tahun, baginda telah menerima wahyu yang pertama, surah al-Alaq yang menandakan pengiktirafan baginda sebagai seorang nabi dan rasul diikuti dengan turunnya surah al- Muddasir. Selepas Rasulullah SAW berhijrah ke Madinah, baginda dilantik sebagai ketua negara. Baginda berjaya membina sebuah negara Islam yang berdaulat dan disegani. Dengan itu, baginda diakui sebagai seorang negarawan yang unggul.
      Sebagai seorang pemimpin politik, baginda berjaya mengasaskan perlembagaan bertulis yang pertama, iaitu Sahifah Madinah yang bersumberkan wahyu. Baginda juga memperkenalkan corak pemerintahan musyawarah. Sistem syura merupakan cara membuat keputusan secara kolektif.
      Selain itu, sistem perundangan Islam diperkenalkan terutamanya undang-undang sivil. Nabi Muhammad SAW juga telah menjalinkan hubungan diplomatik dengan dua kuasa besar di wilayah tersebut pada masa itu, iaitu Rom dan Parsi. Rom dan Parsi menerima utusan dari Madinah dan mengiktiraf Madinah sebagai sebuah negara Islam.
      Sebagai pemerintah Madinah, baginda juga membentuk pasukan tentera Islam serta menjadi ketua angkatan tentera. Rasulullah SAW memimpin 27 ekspedisi ketenteraan dengan menunjukkan mutu kepimpinan yang tinggi. Asas kepimpinan baginda dalam bidang ketenteraan ialah akidah, syariat dan akhlak yang mulia. Baginda menanam semangat jihad, mengamalkan sifat amanah dan adil. Baginda juga berkebolehan merangka taktik dan strategi
ketenteraan yang membawa kepada kemenangan.
      Perhatian utama baginda semasa di Madinah adalah untuk menyatukan penduduk pelbagai kaum di situ. Baginda bukan sahaja menamatkan permusuhan antara suku Aus dengan khazraj tetapi juga berjaya membentuk ummah yang bersatu padu. Baginda juga mempersaudarakan golongan Ansar dan Muhajirin berdasarkan konsep ukhuwah Islamiyah.
      Sebagai pemimpin masyarakat, baginda menegaskan persamaan taraf dan menegakkan keadilan. Taraf wanita juga dinaikkan dan mereka dihormati. Golongan Yahudi juga dijamin kebebasan beragama dan diterima sebagai rakyat Madinah selagi tidak melanggar Piagam Madinah.
      Sebagai ketua negara, Rasulullah SAW juga mengembangkan ekonomi orang Islam di Madinah. Baginda memperkenalkan dasar ekonomi baharu. Sebagai perancang ekonomi, Nabi Muhammad SAW menggalakkan orang Islam bekerja keras, bergiat aktif dalam perniagaan dan pertanian.Kebajikan masyarakat dijaga apabila bayaran zakat diwajibkan. Nabi Muhammad SAW juga mempertingkatkan usaha menyekat kegiatan kaum Musyrikin Quraisy.
      Kehebatan dan kepimpinan Rasulullah SAW dalam bidang politik, ekonomi dan sosial menjadi asas pembentukan negara Islam pertama di Madinah.Memang tidak dapat dinafikan bahawa baginda merupakan seorang negarawan yang unggul.

Soalan 2: Huraikan ciri-ciri kepimpinan Nabi Muhammad s.a.w. [20m]

Pengenalan

             Menurut pandangan Islam, manusia dijadikan Allah SWT sebagai khalifah di muka bumi dan setiap manusia adalah pemimpin secara langsung atau tidak langsung. Nabi Muhammad s.a.w. merupakan pemimpin yang dipilih dan dilantik oleh Allah SWT untuk memimpin manusia ke jalan yang benar. Kepimpinan baginda terserlah sewaktu baginda berada di kota Makkah iaitu sebelum menerima wahyu sebagai Nabi dan Rasul. Kepimpinan itu makin jelas setelah baginda berhijrah ke Madinah.
Isi
                Antara ciri kepimpinan Nabi Muhammad s.a.w. ialah bersifat adil. Isteri baginda iaitu Saidatina Aisyah binti Abu Bakar al Siddiq menyatakan baginda bersikap adil dalam segala hal seperti percakapan dan perbuatan. Baginda telah menghapuskan diskriminasi kaum dengan menghapuskan semangat assabiyah. Baginda juga membela kaum wanita serta memperkenalkan sistem ekonomi yang adil. Amalan riba dan penipuan yang selama ini menjadi kebiasaan para pedagang Arab telah diharamkan dan digantikan dengan ekonomi Islam.
                Seterusnya baginda juga seorang yang bijak. Baginda pintar mengatur taktik dan strategi peperangan. Contohnya, walaupun tentera Islam cuma seramai 313 orang dalam Perang Badar, namun dengan adanya strategi bijak yang diatur oleh baginda, mereka berjaya mengalahkan tentera Musyrikin/Quraisy Makkah yang seramai 1000 orang. Sebagai pemimpin tertinggi, baginda tidak sombong malah menerima pakai nasihat para sahabat. Contohnya baginda menerima cadangan Salman al Farisi agar menggali parit sekeliling kota Madinah untuk menyekat kemaraan tentera musuh dalam Perang Khandak.
                Selain itu, Nabi Muhammad s.a.w.  juga seorang yang berani dan tegas. Baginda bukan sahaja seorang nabi dan rasul yang diutuskan malah juga seorang pahlawan yang tiada tolok bandingnya. Baginda mengetuai setiap ekspedisi perang walaupun jumlah tenteranya kecil malah baginda berasa bertanggungjawab meniupkan semangat jihad dalam kalangan tentera Islam. Ketegasan baginda pula terserlah dengan menyingkirkan kaum Yahudi Bani Qainuqa’, Bani Nadhir dan Bani Quraizah dari bumi Madinah setelah melanggar Piagam Madinah. Mereka telah cuba menimbulkan keadaan huru-hara serta memecahbelahkan penduduk Madinah. Kesannya, penduduk Madinah kini Cuma terbatas kepada orang Islam sahaja.
                Baginda juga seorang yang cekal. Walaupun menerima tentangan hebat seawal usaha penyebaran Islam di Makkah, namun baginda tetap meneruskan dakwah Islamiyah walaupun terpaksa berhijrah ke tempat lain. Baginda tetap tabah menghadapi tentangan walaupun penentang itu datangnya daripada ahli keluarga terdekat seperti Abu Lahab yang merupakan bapa saudara baginda. Pelbagai cara digunakan oleh Quraisy untuk menunjukkan protes mereka namun usaha mereka itu menemui kegagalan dan akhirnya Nabi Muhammad s.a.w. berjaya membina sebuah negara Islam Madinah yang mampu menyaingi kota Makkah dari aspek ekonomi yang ketika itu dipegang oleh kaum Yahudi.
                Nabi Muhammad s.a.w. juga seorang yang berakhlak mulia. Akhlak mulia mampu menarik hati tidak kira kawan ataupun lawan. Dalam aspek kekeluargaan, baginda merupakan ketua keluarga yang patut dicontohi ekoran sifat pengasih dan penyayang. Contohnya, baginda sering membantu isteri memasak, menampal pakaian yang koyak, melayan anak-anak serta membersihkan rumah. Orang Arab Quraisy menggelarkan baginda ‘al-Amin’ kerana segala perkataan dan perbuatan baginda sentiasa dipercayai. Baginda juga seorang pemaaf seperti memaafkan Saidina Umar al Khattab yang pernah menjadi musuh ketat Islam malah pernah cuba membunuh baginda.
Penutup
                Ciri-ciri kepimpinan yang dimiliki Nabi Muhammad s.a.w. telah diimplementasi dalam dasar-dasar negara. Sebagai seorang pemimpin, baginda amat dihormati sehinggakan baginda dianggap seorang negarawan yang ulung.

Thursday, November 20, 2014

SEJARAH ISLAM (500 - 1918)

SEJARAH ISLAM

SEJARAH  ISLAM (500 - 1918)
1 Masyarakat, Pemerintahan,Pertahanan, dan Perhubungan Luar
1.1  Masyarakat jahiliah Semenanjung Tanah Arab (abad ke-6) STPM 2013

MASYARAKAT JAHILIAH
       AI-Quran tidak membatasi masa bagi zaman jahiliah, tetapi hanya sekadar menyatakan secara umum ruang lingkup zaman tersebut dengan ungkapan,Jahiliah yang dahulu. Dalam kamus-kamus Arab juga hanya menyatakan bahawa zaman Jahiliah ialah zaman sebelum Islam, iaitu zaman sebelum turunnya al-Quran .Dalam konteks masyarakat Arab, zaman yang dipanggil zaman jahiliah ialah zaman selepas keruntuhan kerajaan Saba'. Pada masa itu tiada nabi yang diutus dan tiada kitab suci daripada Allah SWT untuk dijadikan petunjuk pada masa yang sama, tiada ciri-ciri ketamadunan atau pembangunan fizikal yang melambangkan peradaban yang tinggi. Lebih tepat, zaman jahiliah bermula selepas kejatuhan kerajaan Saba’ peringkat ketiga atau peringkat akhir  pemerintahan  Himyar pada tahun 300 M dan berakhir setelah turunnya kitab suci al-Quran dan kerasulan Nabi Muhammad SAW pada tahun 610 M. Dalam tempoh kira-kira tiga abad iatu masyarakat Arab pada amnya, telah.mengalami zaman keruntuhan bukan sahaja dari segi agama dan akhlak tetapi juga dari segi politik, ekonomi, sosial dan ilmu pengetahuan.[1]
Konsep Jahiliah.[Hasil pembelajaran:menjelaskan konsep jahiliah]
Jahiliah berasal daripada akar kata jahala dan kata terbitan jahlun atau jahlatun yang bererti bodoh dan sesat.
Berdasarkan al-Quran, ciri-ciri jahiliah dapat dirumuskan kepada empat, iaitu:
(a)zaman yang tidak mempunyai nabi dan kitab suci sebagai petunjuk.
(b) masyarakatnya tidak mempunyai peradaban dan tamadun.
(c ) masyarakatnya tidak berakhlak, bersikap angkuh dan bongkak.
(d )masyarakatnya jahil kerana tidak boleh menulis dan membaca.
Jika satu daripada sifat-sifat tersebut terdapat pada sesuatu zaman atau masyarakat tersebut boleh dianggap masyarakat jahiliah.Berdasarkan pengertian tersebut, kebenaran pendapat orientalis Barat seperti P. K. Hitti tentang makna jahiliah boleh disangkal.Menurut P. K. Hitti, masyarakatArab jahiliah hanya jahil dari segi agama dan kepercayaan tetapi maju dari segi ilmu pengetahuan dan mempunyai tamadun yang tinggi.[2]
       Pendapat P. K. Hitti tentang makna jahiliah dari segi ketepatan sejarah juga boleh dipersoal. Ini kerana kerajaan Saba' pada Zaman kegemilangannya (pada zaman Ratu Balqis) telah menerima ajaran Nabi Sulaiman a.s. dan Allah SWT menganugerahkan kerajaan Saba' sebagai "negeri yang makmur dan mendapat pengampunan Tuhan". Setelah kerajaan ini ingkar kepada Allah SWT, maka Allah SWT telah menurunkan bala dan kerajaan ini mengalami keruntuhan.Di Semenanjung Tanah Arab, zaman yang paling layak digelar zaman jahiliah ialah zamaln selepas keruntuhan kerajaan Saba', iaitu sekitar tahun 300 M hingga kerasulan Nabi Muhammad SAW pada tahun 610 M. Dalam tempoh masa ini, tiada rasul dan tiada kitab suci diturunkan sebagai petunjuk.Pada zaman jahiliah, masyarakat Arab berada dalam kekufuran, kemaksiatan, keangkuhan dan kejahilan dalam ilmu pengetahuan.[3]


[1]Mahayudin Hj.Yahya et.al.,Sejarah Islam (500-1918) Penggal 2,(Shah Alam:Oxford Fajar,2013),3.
[2]Mahayudin Hj Yahya, Tamadun Islam , ,(Shah Alam:Oxford Fajar ,1998),5.
[3] Mahayudin Hj.Yahya et.al.,Sejarah Islam (500-1918) Penggal 2,6.

Saturday, November 15, 2014

ANALISIS TAJUK SEJARAH STPM P2 2014



 SEJARAH ISLAM
SEJARAH  ISLAM (500 - 1918)
1 Masyarakat, Pemerintahan,Pertahanan, dan Perhubungan Luar
1.1  Masyarakat jahiliah Semenanjung Tanah Arab (abad ke-6) STPM 2013
(a) menjelaskan konsep dan struktur masyarakat jahiliah.
1.2  Masyarakat Islam Nabi Muhammad SAW dan Khalifah al-Rasyidin di Semenanjung Tanah Arab (abad ke-6-7)
(a)    menghuraikan konsep ummah;
(b)   membincangkan perkembangan masyarakat Islam.
1.3  Sistem pemerintahan Nabi Muhammad SAW (abad ke.7) STPM 2013
menghuraikan kandungan dan peranan Piagam Madinah;
memerihalkan struktur pemerintahan di Madinah.
1.4  Kepemimpinan Nabi Muhammad SAW abad ke 7
a)      Menghuraikan ciri-ciri kepimpinan Nabi Muhammad SAW
1.5  Institusi khalifah
1.5.1        Pemilihan khalifah –khalifah al-Rasyidin dan Umayyah abad ke-7-8
a)menghuraikan konsep dan ciri-ciri khalifah
b)membincangkan kaedah pemilihan khalifah
1.5.2 Sumbangan khalifah/tokoh Khalifah al-Rasyidin, Umayyah abad ke-7-8
        Abbasiyah  abad ke-8-9
        c)menilai sumbangan khalifah/ tokoh.
i.Khalifah Abu bakar
ii.Khalifah Umar al-Khattab
iii.Khalifah Umar Abdul Aziz-STPM 2014
iv.Khalifah Harun al-Rasyid.
1.6  Bentuk pemerintahan
1.6.1        Pemerintahan pusat dan wilayah khalifah al-Rasyidin abad ke-7
Membincangkan struktur pemerintahan dan pentadbiran pusat dan wilayah.
1.6.2        Pemerintahan pusat dan wilayah Andalusia abad ke-13,India abad ke 16-17
Menjelaskan sistem pemerintahan raja/sultan dan amir.
1.7  Pertahanan dan pembukaan wilayah
1.7.1        Jihad zaman Nabi Muhammad SAW, Khalifah al-Rasyidin abad ke-7
1.7.2        Peperangan-strategi perang  Khandak, Badar–STPM 2014
1.7.3        Kepimpinan
1.8  Perhubungan luar
2.Pembangunan dan penerokaan
2.1 Ekonomi- menghuraikan konsep   dan ciri-ciri Sistem ekonomi
     Membincangkan kegiatan ekonomi.
2.1.1 Sistem ekonomi Nabi Muhammad SAW pada abad ke-7
Konsep ekonomi Islam zaman Nabi STPM2014
        Sistem ekonomi Abbasiyah abad ke-11-12
        Sistem ekonomi Kesultanan Melayu Melaka abad ke-15 –STPM 2013
2.1.2 Institusi ekonomi
Mengnalisis peranan institusi ekonomi dan pelaksanaannya.
i.baitulmal
ii.cukai
iii.zakat
2.2 Pendidikan
2.2.1 Falsafah pendidikan Islam.
a.membincangkan falsafah dan ciri-ciri pendidikan Islam
   Khalifah Umayyah abad ke-7-8
   Khalifah Abbasiyah abad ke-11-12
2.2.2 Perkembangan pendidikan
   Mesir abad ke-8
   Acheh abad ke 16-17
b.menjelaskan jenis institusi pendidikan
i.halaqah
ii.masjid/surau
iii.pondok/masrasah
iv.istana
v.universiti
c.menghuraikan sistem pendidikan
i.pendidikan fardu ain dan fardu kifayah
ii.kaedah pengajaran dan pembelajaran
2.3 Perkembangan intelektual
2.3.1 Perkembangan ilmu
Perkembangan ilmu zaman Khalifah Abbasiyah abad ke-11-13
Perkembangan ilmu zaman Khalifah Umayyah di Andalusia abad ke 11-13
A)menghuraikan ilmu naqli dan aqli
2.3.2 Sumbangan tokoh
Sumbangan tokoh Khalifah Abbasiyah abad ke-8-13
Sumbangan tokoh Mesir ababd ke-15
b)menilai sumbangan
i.al-Khwarizmi
ii.Ibn Sina –STPM 2013
iii.al-Ghazali
iv.Ibn Khaldun
2.4 Penerokaan
Penerokaan zaman Khalifah Umayyah abad ke-7-8
Penerokaan Abbasiyah dan andalusis abad ke-14
Menilai sumbangan tokoh
i.al-Masudi
ii.Ibn Majid STPM U 2013
iii.Ibn Battutah STPM 2014
2.5 Seni bina
Seni bina Andalusia abad ke-13
Seni bina India abad ke-16-17
a.menghuraikan ciri-ciri seni bina.
3 Nasionalisme dan pembentukan Negara Bangsa.
Menjelaskan proses, kesan dan respons masyarakat tempatan terhadap penjajahan dan penubuhan negara bangsa.
3.1 Perluasan kuasa Barat
Khalifah Uthmaniyah abad ke 18-20
a)membincangkan faktor-faktor perluasan kuasa Barat
3.2 Reaksi masyarakat tempatan
Reaksi masyarakat tempatan di Mesir
Reaksi masyarakat tempatan di Algeria
a)Menjelaskan reaksi masyarakat tempatan
3.3 Gerakan nasionalisme abad ke 20
Gerakan nasionalisme di Mesir ke 20 STPM U -2013
Gerakan nasionalisme di Syria abad ke 20
a)menerangkan faktor-faktor kemunculan gerakan nasionalisme di Syria –STPM 2013
menerangkan faktor-faktor kemunculan gerakan nasionalisme di Mesir
i.Pengaruh agama
ii.Peranan bahasa dan kesusasteraan
iii.Pengaruh kewartawanan
iv.Peranan pendidikan
v.Peranan golongan intelektual
Peranan golongan intelektual dalam gerakan nasionalisma di Mesir STPM2014
vi.pengaruh luar
3.4 Perang Dunia Pertama
Khalifah Uthmaniyah abad -20
a)Membincangkan penglibatan Khalifah Uthmaniyah dalam Perang Dunia Pertama. STPM U-2013
Kejatuhan kerajaan Turki
Faktor politik dan pengaruh luar –STPM 2013

3.5 Pembentukan negara bangsa.
Pembentukan negara bangsa di Turki abad ke- 20-STPM 2014
Pembentukan negara bangsa di Mesir abad ke- 20
a)      Menghuraikan faktor-faktor pembentukan negara bangsa.
Faktor dalaman mempercepatkan negara bangsa di Turki 1856-1918 STPM 2014

Wednesday, November 12, 2014

Sumbangan al-Khwarizmi



Soalan: Bincangkan sumbangan al Khwarizmi dalam bidang matematik.
                    Abu Abd Allah Muhammad Ibn Musa al Khwarizmi merupakan nama sebenar al Khwarizmi. Beliau merupakan tokoh ilmuan Islam yang berpengetahuan luas dalam bidang falsafah, lojik, aritmetik, geometri, muzik, kejuruteraan serta sejarah Islam. Sumbangan beliau mula terserlah semasa pemerintahan Khalifah al Makmun di Baghdad khasnya dalam bidang matematik dan dinobatkan sebagai Ahli Falak Diraja.
                Kepakaran beliau dalam bidang matematik mendapat pengiktirafan Khalifah Abasiyyah. Khalifah Harun al Rasyid misalnya melantik beliau sebagai pakar matematik di Baitul Hikmah. Beliau juga dilantik sebagai Pengarah Arkib Buku di perpustakaan istana oleh Khalifah al Makmun.
                Beliau juga telah memperkenalkan sistem nombor. Simbol-simbol tertentu digunakan untuk mewakili nilai-nilai tertentu. Al Khwarizmi merupakan orang pertama memperkenalkan angka sifar (kosong) dalam matematik. Melalui angka sifar akan terbit nombor yang mencapai infiniti.
               Seterusnya beliau memperkenalkan sistem angka yang sistematik. Sistem ini membolehkan operasi pengiraan matematik diperluas meliputi operasi kuasa, log dan kosinus. Sistem ini juga membolehkan ilmu sains dan teknologi berkembang pesat. Angkasifar yang beliau perkenalkan telah dipinjam oleh bahasa-bahasa Eropah dengan sebutan ‘cifre’, ‘chiffre’ dan ‘zero’.
              Al Khwarizmi turut memperkenalkan sistem al-jabar (algebra). Penggunaan symbol yang mewakili nombor, nilai atau pembolehubahmembolehkan banyak masalah pengiraan diselesaikan. Buku yang memperkenal kaedah aritmetik algebra ini telah diterjemah ke bahasa Latin dan menjadi rujukan pelbagai universiti di Eropah mulai abad ke12M hinggan abad ke16M.
             Selain itu, beliau juga telah memperkenalkan istilah baru dalam ilmu matematik yang digunapakai hingga ke hari ini. Antaranya ialah pemboleh ubah (x), pemboleh ubah kuasa dua (x²) dan pemalar (c). Kitab yang beliau hasilkan mengandungi bab-bab tentang pelbagai topic seperti pengiraan darab, campur, tolak, bahagi, persamaan, timbangan dan ukuran, luas bulatan dan segi tiga serta isi padu piramid dan  kon.
           Al Khwarizmi juga telah menghasilkan ‘al Kitab al-Mukhtasar fi Hisab al-Jabr wa al-Muqabalah’ yang digunakan dalam urusan pengiraan pembahagian harta pusaka. Masalah pengiraan yang rumit dan kompleks yang tidak dihurai dalam al Quran dan hadis dapat diselesaikan dengan mudah.
          Memang tidak dapat dinafikan Al Khwarizmi memberi sumbangan besar dalam bidang matematik. Sumbangan besar ini menyebabkan beliau bukan sahaja disanjung oleh umat Islam sahaja malah juga dikagumi sarjana-sarjana Barat yang menggunapakai idea-idea beliau.