A. Pengenalan
Pada
awal abad ke – 20, masyarakat majmuk muncul di Tanah Melayu akibat perkembangan
ekonomi British. Penghijrahan orang Cina dan orang India ke Tanah Melayu telah
mewujudkan tiga kumpulan masyarakat di Tanah Melayu. Orang Melayu merupakan
penduduk peribumi di Tanah Melayu. Menurut J.S Furnival, masyarakat majmuk
didefinisikan sebagai satu kelompok masyarakat di mana tidak wujud interaksi
atau perhubungan dalam kalangan kaum. Golongan imigran Cina dan India datang ke
Tanah Melayu atas beberapa faktor. Antaranya ialah perkembangan perlombongan
bijih timah dan industri getah yang memerlukan buruh, maka orang Cina dan orang
India dibawa masuk ke Tanah Melayu. Mereka dibawa masuk melalui beberapa cara
seperti tiket kredit, sistem kangani dan ejen. Terdapat banyak faktor yang
mendorong pembentukan masyarakat majmuk di Tanah Melayu. Ketiga – tiga kumpulan
etnik ini hidup berasingan kerana terdapat beberapa halangan.
B. Isi-isi.
a. Perbezaan fungsi ekonomi.
Antara faktor yang mendorong
pembentukan masyarakat majmuk di Tanah Melayu ialah perkembangan ekonomi
kapitalis yang menyebabkan perbezaan dalam fungsi ekonomi. Perbezaan fungsi
ekonomi membawa kepada pengalaman kaum mengikut kegiatan ekonomi mereka.
Perkembangan ekonomi komersial didorong oleh golongan imigran Cina yang
terlibat dalam bidang perniagaan dan perlombongan bijih timah. Imigran India
pula tertumpu di kawasan ladang getah dan sebilangannya tinggal di bandar untuk
bekerja sebagai kerani dan buruh di pelabuhan. Orang Melayu masih kekal dalam
sistem ekonomi tradisional dengan bekerja sebagai petani dan nelayan. Perbezaan
dalam fungsi ekonomi telah memisahkan ketiga – tiga kaum tersebut dan secara
tidak langsung mewujudkan masyarakat majmuk.
b. Dasar pecah dan perintah.
British mengamalkan dasar pecah dan
perintah demi menjaga kepentingan politik dan ekonomi mereka di Tanah Melayu.
British ingin terus mengekalkan orang Melayu dalam ekonomi tradisional kerana tidak mahu masyarakat Melayu terdedah
kepada pengaruh luar. British berasa bimbang jika pendedahan kepada pengaruh
luar akan melahirkan golongan penentang dalam masyarakat Melayu. British juga
menggalakkan kemasukan pelabur asing dan penghijrahan golongan buruh dari Cina
dan India yang terlibat dalam ekonomi moden. British tidak menggalakkan
sebarang usaha asimilasi dalam kalangan tiga kaum di Tanah Melayu pada masa
itu.
c. Pengamalan budaya yang berbeza.
Masyarakat majmuk juga wujud apabila
ketiga – tiga kaum mengamalkan budaya yang berbeza. Orang Cina yang berhijrah
ke Tanah Melayu bertumpu di kawasan perlombongan bijih timah di sekitar Kuala
Lumpur, Ipoh dan Seremban. Mereka hidup berkelompok dalam puak masing – masing.
Hubungan sosial dalam kalangan puak Cina juga tidak erat kerana mempunyai
dialek yang berbeza. Orang India pula terdiri daripada pelbagai kumpulan etnik
yang berbeza seperti Tamil, Telegu, Punjabi dan sebagainya. Setiap kelompok ini
menggunakan bahasa masing – masing, maka pergaulan antara mereka juga tidak
erat. Setiap kumpulan masyarakat hidup secara berasingan. Mereka terus
mengekalkan budaya masing – masing seperti pakaian, adat resam, makanan,
tradisi dan perayaan.
d. Sistem pendidikan.
Setiap masyarakat juga mempunyai
sistem pendidikannya yang tersendiri. Sistem pendidikan tersebut mengukuhkan
lagi sifat kemajmukan masyarakat di Tanah Melayu. Masyarakat peribumi, iaitu
orang Melayu mendapat pendidikan berdasarkan agama Islam di sekolah – sekolah
pondok. British juga menubuhkan sekolah – sekolah Melayu. Sistem pendidikan
tempatan kurang berkualiti. Masyarakat tempatan hanya diajar membaca, menulis
dan mengira. Pendidikan orang Cina pula berasaskan negara China dan menggunakan
bahasa pengantar bahasa Cina. Guru – guru, sukatan pelajaran dan buku – buku
digunakan juga dibawa dari negara China. Orang India pula menubuhkan sekolah –
sekolah Tamil di ladang – ladang untuk memberikan pengetahuan asas kepada orang
India. Mata pelajaran yang diajar juga berdasarkan negara India.
e. Perbezaan agama.
Satu lagi faktor yang mendorong
pembentukan masyarakat majmuk ialah perbezaan agama. Setiap kumpulan etnik
menubuhkan institusi dan tempat beribadat masing – masing. Masyarakat Melayu
yang beragama Islam membina surau dan masjid. Masyarakat India yang beragama
Hindu pula membina kuil di ladang – ladang untuk beribadat dan menjalankan
upacara keagamaan. Masyarakat Cina yang mengamalkan agama Buddha dan menyembah
nenek moyang pula membina tokong dan pagoda mereka di bandar. Setiap kaum
menubuhkan institusi sosial dan persatuan masing – masing untuk menjaga
kepentingan sendiri. Penubuhan persatuan – persatuan tidak rasmi juga mampu
melindungi dan mengekalkan identiti setiap kaum di Tanah Melayu.
C.
Kesimpulan.
Pembentukan masyarakat majmuk yang wujud
semasa penjajahan British hanya diubah setelah Tanah Melayu mencapai
kemerdekaan. Perubahan tersebut berlaku sebagai langkah Bristish untuk
memberikan kemerdekaan. Perpaduan rakyat yang berbilang kaum dapat menjamin
kepentingan ekonomi dan pelaburan British di Tanah Melayu.
sumber-SKEMA PURCUBAAN SEJARAH
STPM P3 NEGERI PAHANG 2016
No comments:
Post a Comment