Sabtu, 9 September 2017 |
5:58am
GAMBAR yang dirakam pada tahun
1875 menunjukkan pentadbir dan pegawai British yang terlibat dalam Perjanjian
Pangkor yang ditandatangani pada 1874. Sir William Jervois (duduk tengah)
merupakan Gabenar Baharu menggantikan Gabenor Clarke. Berdiri dari kiri; Dr.
Anderson, Kapten Innes, Mejar F McNair, Lt. Henry Mc Callum, J.W.W. Birch, W.
Knaggs (memakai suit terang), Kapten Speedy dan Frank Sweethenham. (Sumber:
Akib Negara Malaysia)
Menyorot Perjanjian Pangkor
1874
Oleh Datuk Wan Ahmad Fauzi Wan
Husain
bhrencana@bh.com.my
Dalam suasana kegembiraan kita
menyambut Ulang Tahun Ke-60 Hari Kemerdekaan, barangkali satu kewajaran untuk
kita menyoroti isu yang dekat dengan maksud Hari Kemerdekaan. Pandangan popular
ada mendakwa Kerajaan Melayu mula terjajah apabila doktrin nasihat diperkenalkan
seawal Perjanjian Pangkor 1874. Doktrin nasihat bermaksud Raja Melayu
dikehendaki mendapatkan nasihat pegawai British dan bertindak di atas nasihat
berkenaan.
Justeru, ada pandangan
merumuskan implikasi daripada pengenalan doktrin nasihat, kedaulatan Raja-Raja
Melayu berubah menjadi satu fiksyen, bersifat budaya yang melambangkan identiti
politik semata-mata tanpa kekuasaan sebenar. Neraca yang diguna adalah
kedaulatan pada pemikiran Barat, iaitu kuasa agung bersifat mutlak, bebas,
merdeka tanpa kawalan pihak yang lebih tinggi daripadanya.
Perbahasan doktrin nasihat
dalam rencana ini adalah bersumberkan Fasal 6 Perjanjian Pangkor. Ia menyatakan
bahawa Sultan Perak hendaklah menerima seorang Residen British yang nasihatnya
hendaklah diminta, dan Sultan perlu bertindak menurut nasihat dalam semua
persoalan melainkan perkara menyentuh agama Islam dan adat. Kebenaran dakwaan
Fasal 6 Perjanjian Pangkor 1874 melucutkan kedaulatan Sultan Perak dan prinsip
yang sama terkesan ke atas Raja-Raja Melayu, perlulah dirujuk pada peruntukan
perjanjian antara Kerajaan Melayu Perak dan Kerajaan Melayu dengan Kerajaan
British.
Demografi hubungan antara
Kerajaan Melayu dengan Kerajaan British ditakrif melalui perjanjian, bukan
akibat selepas peperangan. Satu aspek penting yang sehingga kini diabaikan
apabila membahaskan implikasi Perjanjian Pangkor, Kerajaan Melayu Perak sudah
memiliki perlembagaan, seawal Hukum Kanun Melaka dan diperkukuhkan lagi dengan
Undang-Undang 99 Perak.
Perjanjian Pangkor sekiranya
diperhatikan secara tersurat pada hakikatnya membuktikan wujudnya perhubungan
diplomatik antarabangsa dan pengiktirafan bahawa Sultan Perak adalah seorang
pemerintah yang berdaulat. Dari sisi prinsip undang-undang yang sudah mantap,
Perjanjian Pangkor tidak boleh mengatasi Perlembagaan Kerajaan Perak sebagai
undang-undang tertinggi. Apatah lagi prinsip yang dikembangkan sejak Perjanjian
Keamanan Westphalia 1648 tidak membenarkan pencerobohan ke atas kedaulatan
negara lain.
Komitmen British lindungi
Kerajaan Melayu Perak
Dari sudut objektif Perjanjian
Pangkor, ia terkandung dengan jelas seperti berikut:
Keadaan huru-hara dan kacau
bilau mengakibatkan keperluan kepada: pertama, sistem politik mantap dalam
Kerajaan Melayu Perak. Kedua, kuasa berkesan bagi perlindungan rakyat dan
jaminan keberhasilan perusahaan.
Angka besar keturunan Cina dan
jumlah pelaburan besar oleh rakyat British juga lain-lain pemastautin wilayah
milik Kerajaan British yang terbabit dengan perusahaan perlombongan timah:
situasi kawasan lombong dan harta yang tidak dilindungi sepenuhnya, berlakunya
aktiviti pelanunan, kes pembunuhan dan jenayah pembakaran secara berleluasa di
dalam negeri mengakibatkan kerugian kepada perdagangan dan kepentingan British,
begitu juga ancaman kepada keamanan Negeri-Negeri Selat.
Pengakuan sebahagian pembesar
yang tidak berupaya lagi untuk menangani masalah semasa dan permintaan bantuan
daripada pihak berkepentingan dalam perusahaan di dalam negeri.
Komitmen Kerajaan British dalam
perjanjian dimeterai untuk melindungi Kerajaan Melayu Perak dan membantu
pemerintah.
Penyataan di atas amat penting
dan perlu dilihat dalam konteks konsep dan prinsip pelaksanaan doktrin nasihat
dalam Perjanjian Pangkor. Bahkan, sekiranya dilihat daripada tradisi
pemerintahan kerajaan Melayu, pemerintahan atas nasihat atau rulers in council
bukan baharu. Malah, Islam sendiri menuntut amalan syura dalam pemerintahan
negara.
Jelasnya, Perjanjian Pangkor
tidak memberi kuasa mutlak kepada Residen British untuk mengenakan paksaan
sehingga boleh menghilangkan kedaulatan Sultan Perak atau kerajaan baginda. Ini
adalah kerana pengenalan doktrin nasihat bertujuan untuk menguruskan sebab dan
objektif yang dinyatakan dengan tersurat, dan ia mendahului semua terma lain
dalam Perjanjian Pangkor.
Had bidang nasihat residen
Selain itu, Fasal 6 Perjanjian
Pangkor mengehadkan bidang nasihat residen selain daripada perkara yang
menyentuh agama Islam dan adat Melayu. Pengecualian itu memberi satu signifikan
besar kerana takrifan Islam dan adat Melayu itu amat luas.
Dari sudut lain, suatu nasihat
yang dipaksakan demi keselamatan dan keuntungan bersama, tidak wajar
ditakrifkan sebagai satu penjajahan walaupun ada unsur indirect rule. Campur
tangan British di Perak adalah tertakluk pada Perjanjian Pangkor dan Perjanjian
Pangkor itu tertakluk pada Perlembagaan Kerajaan Melayu Perak.
Ringkasnya, walaupun Sultan
Perak dikehendaki bertindak atas nasihat residen namun tugas asasi residen
adalah untuk memberikan nasihat, bukannya memerintah. Posisi itu adalah dasar
British yang dinyatakan dengan jelas kepada residen di Tanah Melayu.
Atas landasan sama, pelaksanaan
dasar-dasar British, termasuk 'common law' sewajarnya dibataskan pada sumber
kuasanya, iaitu Perjanjian Pangkor. Akhirnya, konsep kedaulatan Sultan Perak
itu juga hendaklah disoroti menurut kerangka watan, bukanlah prinsip asing
seperti ditegaskan dalam keputusan Kes Re: Yap Kwan Seng's Will (1924).
Penulis adalah Ketua Lajnah
Kajian Strategik Majlis Ittihad Ummah
SUMBER-BERITA HARIAN ONLINE Sabtu,
9 September 2017 | 5:58am
No comments:
Post a Comment