Oleh-Ahmad bin Yaakob
Membincangkan faktor dan cara perluasan kuasa asing di Negeri-Negeri Melayu, Sabah dan Sarawak
1.Konsep perluasan kuasa.
Dasar meluaskan empayar atau tanah jajahan atau dasar imperialisme kuasa asing. Ringkasnya peluasan kuasa asing ialah penglibatan kuasa asing dalam hal ehwal politik sesebuah kawasan, wilayah atau negeri.[1]
a)Faktor-faktor peluasan kuasa asing di Negeri-Negeri Melayu.
1.Sebab-sebab ekonomi.
Pada peringkat awal, kuasa Barat hanya memerlukan pasaran dan pusat perniagaan sahaja. Selepas berlaku Revolusi Perindustrian, keperluan Britain berubah kepada kepentingan mendapatkan bahan mentah.Tanah Melayu mempunyai banyak bahan mentah seperti bijih timah, kelapa, emas dan lain-lain.[2] Selepas Revolusi Perindustrian, Amerika Syarikat dan Britain menjadi pemeli bijih timah yang terbesar. Ini kerana perusahaan mengetin makanan menghidupkan kembali permintaan terhadap bijih timah.[3]
Kuasa Barat juga mempunyai keinginan untuk melabur di Tanah Melayu.Sebelum tahun 1874,saudagar-saudagar British dan pegawai British mempunyai kepentingan ekonomi yang besar di Negeri-Negeri Melayu seperti Pahang, Sungai Ujong, Selangor dan Perak secara persendirian atau berkongsi dengan pedagang China dan ada kalanya dengan pembesar-pembesar Melayu. Sebagai contoh Paterson, Simons dan rakan-rakannya telah membayar $330 500 untuk mendapatkan konsesi di Kuantan pada tahun 1868. Syarikat Bijih Timah Sungai Ujong telah membayar $30 000 pada tahun 1872kepada Dato’ Kelana bagi mendapatkan konsesi perlombongan. Tanah jajahan juga turut memainkan peranan penting untu memasarkan barangan kilang.[4]
.
2.Bimbang campur tangan kuasa-kuasa Barat lain.
Berlaku persaingan untuk menambahkan tanah jajahan di Barat. Ini menyebabkan British bimbang akan pertapakan kuasa Barat lain. Tahun 1870-1914 merupakan satu jangka masa yang aman di Eropah. Menjelang tahun 1870-an, semangat imperialisme dan perlumbaan mencari tanah jajahan telah meningkat di kalangan negara-negara Eropah. Kuasa Barat seperti Belanda, Itali, Perancis, Rusia berusaha untuk mendapatkan tanah jajahan. Antara kuasa-kuasa besar itu, Jerman paling dicurigai oleh British kerana selepas Penyatuan Jerman 1871, negara tersebut telah melancarkan satu dasar agresif yang menancam kedudukan British. Jerman telah menunjukkan minat untuk mendapatkan Pulau Langkawi. Rusia ingin membuka petempatan di Ujung Salang, manakalaPerancis bercadang membuka terusan di Segenting Kra. Amerika Syarikat pula menunjukkan minat untuk meluaskan pengaruhnya di Terengganu.
Lord Kemerly, Setiausaha Negara bagi tanah jajahan British menegaskan kemungkinan Jerman akan campur tangan di Selangor. Beliau bimbang dengan keadaan tersebut lalu mengambil pendirian bahawa British tidak akan membenarkan sebarang kuasa asing membentuk tanah jajahan di Tanah Melayu.[5]Beliau telah mengarahkan Sir Andrew Clarke bakal Gabenor Negeri-Negeri Selat supaya membuat laporan tentang memulihkan keamanan di Negeri-Negeri Melayu untuk melindungi kepentingan pelabur dan kerajaan British.[6]
3.Perubahan politik dan dasar di Britain
Perubahan kerajaan daripada kerajaan liberal kepada kerajaan konservatif telah mempengaruhi perubahan daripada dasar tidak campur tangan kepada dasar campur tangan British di Tanah Melayu pada tahun 1874. Kemenangan Parti Konsevatif mengalahkan Parti Liberal di Britain serta membentuk kerajaan baharu di bawah Disraeli yang menganut fahaman imperialisme telah mempengaruhi politik England. Kejayaan Parti Konsevatif menguasai kerajaan Britain Januari 1874 telah membawa kepada campur tangan British di Tanah Melayu. Perunahan ini elah disokong oleh pegawai-pegawai British seperti Lord Kimberley dan Andrew Clarke.
4.Pembukaan Terusan Suez.
Terusan Suez telah dibina oleh Perancis di bawah pimpinan juruteranya yang bernama Ferdinand de Lesseps. Pembukaan Terusan Suez 1869 memendekkan jarak dari Barat ke India, China dan Asia Tenggara serta dapat menjimatkan kos pengangkutan.Pembukaan nya menggalakkan kedatangankuasa-kuasa Barat ke Timur.[7]
Pembukaannya menyebabkan kuasa Barat memperkukuhkan kedudukan politik mereka di Asia. Terutama apabila British telah membeli saham dari Khedif Gabenor Mesir yang hampir muflis.Dengan penguasaan British ini maka imperialisme Barat dapat mara dengan cepat ke Asia Tenggara terutama ke Negeri-Negeri Melayu. Pembukaan Terusan Suez juga menyebabkan pelabuhan-pelabuhan baru dibuka seperti Singapura. Kedudukan Singapura telah menjadi tumpuan kepada pedagang dan penjajah Barat terutama British dan Belanda.[8]
5.Keadaan huru-hara di Negeri-Negeri Melayu.
Pada masa itu berlaku keadaan huru-hara di Tamah Melayu contohnya di Perak, Negeri Sembilan dan Pahang.
Berlaku perebutan takhta di Perak antara Raja Abdullah dan Raja Ismail. Manakala di Selangor berlaku Perang Kelang 1867 antara Raja Mahadi dengan Raja Abdullah.Perang Saudara di Pahang tercets disebabkan oleh perebutan jawatan Bendahara antara Wan Mutahir dengan Wan Ahmad. Pada tahun 1869, Tengku Antah dan Tengku Ahmad bersengketamerebut jawatan Yam Dipertuan Besar Negeri Sembilan. Berlaku perebutan kuasa di kalangan pembesar-pembesar Melayu untuk menguasai kawasan perlombongan bijih timah.
Perang Larut 1861-1873 berlaku di Perak.Ia melibatkan perkelahian antara kongsi gelap Cina Ghee Hin dan Hai San.[9]Perang ini berpunca dari pertelingkahan untuk mendapatkan kawasan lombong yang lebih luas.
Keadaan huru-hara ini menyebabkan saudagar dan pelabur di Negeri-Negeri Melayu membuat rayuan kepada British di Singapura dan London bagi mendapatkan perlindungan British. Keperluan untuk campur tangan semakin mendesak. Pada tahun 1873 seramai 243 orang pedagang Negeri-Negeri selat menulis surat kepada Setiausaha Tanah Jajahan British, Lord Kimberley bagi mendesai British untuk campur tangan.[10]
[1] Ibid,42.
[2] “Sistem Ekonomi”, dalam Modul Pengajaran dan Pembelajaran STPM Sejarah Penggal 3, , (Putrajaya: Kementerian Pendidikan Malaysia,2013)25.
[3]Ong Loo Chen, Teks STPM Pra U Sejarah (Malaysia Dan Asia Tenggara), Penggal 3,43.
[4]“Perluasan Kuasa Asing”, dalam Modul Pengajaran dan Pembelajaran STPM Sejarah Penggal 3,25.
[5] Ong Loo Chen, Teks STPM Pra U Sejarah (Malaysia Dan Asia Tenggara), Penggal 3,43
[6] Ibid.
[7]Ibid.,26.
[8] Siti Aishah Selamat, STPM Penggal 3, Modul Sejarah Malaysia dan Asia Tenggara (1800-2000),27.
[9]“Sistem Ekonomi”, dalam Modul Pengajaran dan Pembelajaran STPM Sejarah Penggal 3,26.
[10]Ong Loo Chen, Teks STPM Pra U Sejarah (Malaysia Dan Asia Tenggara), Penggal 3,45.
No comments:
Post a Comment