Friday, August 1, 2014

Huraikan ciri-ciri Adat Perpatih dan Adat Temenggung. [20]


PENGENALAN
  Mengikut Kamus Dewan adat sebagai peraturan yang lazim dilakukan sejak dahulu kala. Dengan kata lain adat bermaksud peraturan yang diamalkan oleh sesebuah masyarakat secara turun temurun sehingga ianya merupakan suatu hukum yang perlu dipatuhi oleh semua. Sesiapa yang melanggar hukum adat ini boleh dihukum. Hukum adat akan dikendalikan oleh satu badan yang dikenali sebagai Majlis Orang Tua. Majlis ini akan diketuai oleh seorang ketua adat.

Terdapat dua jenis hukum adat yang diamalkan di negeri-negeri Melayu sebelum campur tangan British iaitu Adat Perpatih dan Adat Temenggung.

Adat Perpatih dan Adat Temenggung mempunyai perbezaan dalam aspek kawasan dan pengasasan, bentuk dan pelaksanaan, pemerintahan, pelaksanaan undang-undang, pembahagian harta, kekeluargaan dan perkahwinan.

Adat Perpatih

Kawasan dan pengasasan.

Adat Perpatih berasal dan Pagar Ruyung, Sumatera yang diasaskan oleh Datuk Perpatih Nan Sebatang yang menjaga kawasan tanah sebelah darat dan diamalkan di Negeri Sembilan dan Naning. Adat ini dibawa ke Negeri Sembilan oleh orang Minangkabau pada kurun ke-17.

Bentuk dan Pelaksanaan

Adat Perpatih merupakan adat yang tidak bertulis. Ia adalah pepatah yang diwariskan secara lisan. Susunan hukum dalam adat dikenal sebagai tambo atau perbilangan adat. Hukum adat ini berasaskan dua sumber iaitu resam atau adat turun temurun yang diwarisi dan hukum syarak mazhab Shafie. Adat ini dihafal oleh Ketua Adat.

Pemerintahan
Dan segi pemerintahan dan pentadbiran Adat Perpatih bersifat demokrasi. Kuasa pemerintah bukan terletak pada tangan seorang sahaja. Kuasa dibahagikan antara pemerintah, Undang, Lembaga, Buapak, Perut dan orang ramai. Ketua-ketua di setiap peringkat dipilih dan dilantik oleh kumpulan ketua daripada peringkat bawah hingga atas.

Perut memilih Buapak, Buapak memilih Lembaga, Lembaga memilih Undang dan Undang memilih dan melantik Yamtuan Besar.  Sistem pemerintahannya mementingkan prinsip pemuafakatan. Yamtuan dipilih secara demokrasi oleh ketua-ketua suku yang dikenali sebagai Undang.

Pelaksanaan Undang-Undang
Dalam Adat Perpatih undang-undang jenayah bersifat pemulihan, berperikemanusiaan dan bertimbang rasa. Hukuman yang diberi bertujuan memberi kesedaran dan bukan untuk menghukum pesalah semata-mata. Orang yang membuat kesalahan akan didenda berdasarkan kesalahannya dan mangsa diberi ganti rugi. Contohnya seseorang yang cedera akan diberi ganti rugi dalam bentuk ayam atau kambing bergantung kepada keadaan lukanya.

Mangsa kecurian boleh dapat balik barang-barangnya. Sekiranya berlaku pembunuhan, si pembunuh mesti menanggung kehidupan keluarga si mati. Hukuman bunuh hanya dikenakan bagi kes yang sangat serius seperti penderhakaan. Hukuman bunuh hanya boleh dijatuhkan oleh Yamtuan Besar sahaja. Hukuman lain ditentukan oleh Buapak atau Lembaga.

Pembahagian Harta
Undang-undang pembahagian harta dalam Adat Perpatih mementingkan jurai keturunan sebelah nasab ibu atau diberatkan kepada kaum perempuan. Harta pusaka diturunkan melalui keturunan perempuan, iaitu daripada pihak sebelah ibu sebagai pengasas keluarga kepada anak perempuannya.

Dalam keadaan tertentu Adat Perpatih menjadikan wanita kaya dan berkuasa. Suami tidak berhak memiliki harta pusaka. Sekiranya seseorang ibu tidak mempunyai anak perempuan, hartanya akan diwariskan kepada adik perempuannya atau anak perempuan adik-adiknya dan cucu-cucu perempuannya.

Secara umumnya harta pasangan dapat dibahagikan kepada tiga jenis iaitu hanta carian, harta dapatan dan harta pembawaan. Harta carian ialah harta yang diperolehi bersama sepanjang perkongsian hidup. Harta ini dibahagi dua jika bercerai. Harta dapatan ialah harta yang sedia ada pada si isteri sebelum berkahwin, jika bercerai harta itu kekal di tangan isteri. Harta pembawaan ialah harta yang sedia dimiliki si lelaki sebelum dia berkahwin, jika bercerai bekas isteri tak boleh tuntut harta itu.

Kekeluargaan dan Perkahwinan.
Dalam aspek perkahwinan, Adat Perpatih tidak membenarkan perkahwinan sesama suku sebaliknya hendaklah berkahwin daripada suku yang berlainan dan perkahwinan ini di kenali eksogami. Perkahwinan sesama suku tidak digalakkan kerana dianggap tidak mengembangkan keturunan, melanggar adat dan akan dibuang suku. Di Negeri Sembilan terdapat 12 suku dan setiap suku mempunyai nama tersendiri seperti Biduanda, Batu Hampar, Paya Kumbuh, Anak Melaka, Anak Acheh dan lain-lain lagi.

Apabila seseorang anak perempuan berkahwin, suaminya digelar orang semenda. Selepas berkahwin, wanita tersebut akan membawa suaminya tinggal di rumah pusaka (rumah gadang) atau rumah sendiri yang dibina berhampiran rumah pusaka ibunya. Apabila si suami kematian isteri digalakkan mengambil adik perempuan isterinya untuk dijadikan isteri bagi menjaga anak-anaknya. Perkahwinan ini dikenali sebagai ganti tikar.

Susunan keluarga masyarakat Adat Perpatih berdasarkan matriarchal/matrilineal yang mengutamakan wanita yang disusurgalurkan kepada keturunan sebelah ibu. Susunan keluarga sebegini mengandungi ibu, anak-anak perempuan, anak-anak lelaki, cucu perempuan, cucu lelaki dan seterusnya. Adat Perpatih melarang seorang lelaki berkahwin dengan dua atau lebih orang wanita yang berasal daripada suku yang sama.

Adat Temenggung

Kawasan dan Pengasasan
Adat Temenggung berasal dari Palembang, Sumatera yang diasaskan oleh Datuk Ketemenggungan dan menjaga kawasan persisiran pantai dan laut. Adat ini dibawa ke Melaka pada awal kurun ke-l5lagi. Diamalkan di semua negeri-negeri Melayu kecuali Negeri Sembilan.

Bentuk dan Pelaksanaan
Adat Temenggung dilaksanakan di keseluruhan negeri-negeri Melayu kecuali Negeri Sembilan. Pada peringkat awal penyebarannya di Tanah Melayu, adat ini dipengaruhi oleh agama Hindu terutama dalam Undang-Undang Manu. Apabila Islam berkembang adat ini menerima pengaruh Islam dan hukum syarak mazhab Shafie.

Adat ini tersebar di negeri-negeri Melayu yang lain dengan nama berlainan tetapi mempunyai fungsi yang sama. Di Johor adat ini dikenali sebagai Undang-undang Johor, di Kedah dikenali sebagai Undang-undang Kedah, di Pahang sebagai Undang-undang Pahang dan di Perak sebagai Undang-undang 99 Perak.

Pemerintahan
Adat Temenggung mengamalkan sistem pemerintahan autokratik iaitu kuasa terletak di tangan pemerintah atau raja. Adat ini mementingkan golongan raja atau golongan yang memerintah. Raja atau sultan mempunyai hak keistimewaan dan kuasanya diperkukuhkan melalui konsep daulat dan derhaka.

Di puncak struktur politik ialah raja atau sultan, diikuti oleh kerabat-kerabat raja, pembesar-pembesar negeri yang memegang jawatan tertentu dan ketua kampung. Sultan merupakan ketua negeri, lambang penyatuan dan perpaduan rakyat

Jawatan sultan bersifat warisan, seseorang raja yang mangkat akan diganti dengan putera sulung kecuali di Perak berasaskan sistem giliran. Jika sultan tiada anak lelaki, hak pewarisan taktha jatuh kepada adik lelakinya. Jika kedua-duanya tiada barulah musyawarah dan pemuafakatan antara sultan dengan pembesar menjadi keputusan dalam melaksanakan sistem pentadbiran. Pembesar-pembesar pula dilantik oleh sultan.

Pelaksanaan Undang-Undang
Bentuk dan pelaksanaan hukumannya adalah lebih tegas dan keras. Bertujuan menghukum serta berpegang kepada prinsip pembalasan semata-mata. Oleh itu pelaksanaan sesuatu hukuman dibuat dengan tegas agar dapat memberi iktibar dan amaran kepada orang lain supaya tidak melakukan sebarang jenis kesalahan.

Hukuman bunuh dikenakan atas kesalahan berat seperti membunuh, mencuri, memfitnah dan menderhaka kepada raja. Hukuman bunuh dilakukan oleh raja atau sultan sahaja. Lain-lain hukuman boleh dilakukan oleh pembesar-pembesar.

Undang-undang dalam Adat Temenggung lebih memihak kepada golongan atasan atau pemerintah. Ini bermaksud, sekiranya rakyat dan kerabat diraja melakukan kesalahan yang sama, hukuman yang dikenakan kepada rakyat lebih berat berbanding dengan kerabat diraja.

Pembahagian Harta
Kaum lelaki berhak mewarisi lebih banyak harta daripada wanita kerana pengaruh daripada hukum Islam (Hukum Faraid). Ini bermakna jurai keturunan sebelah bapa lebih diutamakan. Pemberian harta yang Iebih kepada anak lelaki dalam Islam kerana anak lelaki mempunyai tanggungjawab yang besar berbanding dengan anak perempuan.

Jika berlaku penceraian lazimnya cara pembahagian harta suami isteri mengikut hukum syarak Mazhab Shafie. Adat ini menjelaskan harta yang diperoleh semasa perkahwinan dikenali sebagai hanta sepencarian. Harta sepencarian bagi harta isteri yang diceraikan dibahagi dua sama banyak. Jika isteri yang diceraikan itu tidak bekerja hanya berhak mendapat satu pertiga sahaja. Harta asal suami atau isteri dikembalikan kepada suami atau isteri berkenaan.

Kekeluargaan dan Perkahwinan
Adat Temenggung bersifat patriarchal iaitu kaum lelaki lebih diutamakan kerana kaum lelaki melanjutkan keturunan sesebuah keluarga. Ini sejajar dengan pninsip hukum syarak yang mengiktiraf lelaki sebagai ketua keluarga. Adat ini membenarkan perkahwinan dengan sesiapa sahaja (endogami) asalkan tidak bertentangan dengan hukum syarak. Sekiranya mempunyai pertalian darah atau muhrim perkahwinan dilarang. Sesudah berkahwin isteri akan ikut tinggal bersama keluarga suami.

KESIMPULAN
Sebagai kesimpulannya, adat dapat mengawal perlakuan individu dan merapatkan hubungan persaudaraan. Selepas campur tangan British adat semakin diketepikan kerana British memperkenalkan undang-undang Barat. Walau bagaimanapun, amalan seharian Adat Perpatih dan Adat Temenggung masih tetap kekal sehingga hari ini.



No comments:

Post a Comment