Saturday, August 27, 2016

3.2 Sistem Ekonomi tradisional dan sara diri di Indonesia pada abad ke-19

Oleh-AHMAD BIN YAAKOB
Ekonomi Sara Diri
Sistem ekonomi sara diri bermaksud akiviti yang hanya dilaksanakan untuk menampung keperluan harian. Hasil yang dikeluarkan tidak bertujuan untuk dijual atau diperdagangkan. Lebihan yang ada akan diperdagangkan atau ditukarkan dengan keperluan asas yang lain. Kegiatan yang dilakukan tertumpu kepada pertanian padi, perikanan secara kecil-kecilan, penternakan, dan pemungutan hasil hutan.

       Kegiatan tersebut tidak memerlukan modal yang besar dan peralatan yang digunakan ialah peralatan primitif dan digunakan oleh keturunan yang terdahulu.Kegiatan ekonomi sara diri bersifat keperluan diri dan keluarga dan tidak mementingkan kelebihan untuk diperdagangkan serta tidak wujud satu pengkhususan kerja yang jelas.

       Kegiatan ekonomi sara diri ialah kegiatan utama yang dijalankan oleh rakyat Indonesia sebelum kedatangan Barat.[1]
1.a.Ciri-ciri ekonomi tradisional di Indonesia
1.Pertanian secara sara diri untuk keperluan keluarga.
2.Penggunaan teknologi pertanian secara tradisional.
3.Tanah dikuasai oleh tuan tanah.
4.Kawasan penanaman yang terhad  dan menggunakan buruh keluarga.
5.Penggunaan modal yang kecil dan terhad.
6.Aktiviti ekonomi tradisional seperti pertanian tradisional, ternakan, perikanan, memburu binatang, mencari hasil hutan, kraftangandan sistem barter.[2]
Pertanian
Kegiatan ekonomi yang utama di Indonesia ialah penanaman padi. Padi ditanam di sepanjang dataran pantai lanar, Iembah, lembangan, dan lereng gunung berapi yang diteres.Penanaman padi sawah diusahakan secara giat di Pulau Jawa dan Madura kerana kesuburan tanah dan terdapat sistem pengairan. Padi sawah dituai pada bulan April setiap tahun dengan menggunakan kaedah primitif.

Selain penanaman padi sawah, padi huma atau padi bukit juga ditanam oleh masyarakat peribumi Indonesia. Padi ini ditanam di kawasan Timur Jawa yang lebih kering dan di lereng bukit yang tinggi.Kaedah penanaman padi bukit ialah sesuatu yang primitif, iaitu tebang dan bakar. Sebelum musim hujan, petani akan membakar kawasan hutan. Pembakaran hutan akan dilakukan sebanyak tiga kali untuk memastikan kesuburan tanah. Penanaman padi bukit hanya akan berlaku selama dua hingga tiga tahun di atas kawasan yang sama. Selepas itu, petani akan berpindah ke tempat lain dan melakukan kaedah yang sama.

Selain tanaman padi huma, tanaman lain seperti ubi kayu dan tanaman berasaskan ubi juga ditanam untuk menambahkan hasil keluaran makanan. Jagung juga penting sebagai bahan makanan dalam ekonomi sara diri Jagung ditanam di Madura, Jawa Timur, dan Sumatera. Tanaman ini diperkenalkan oleh Portugis pada abad yang ke-16.

       Masyarakat Indonesia juga menanam tebu dan kelapa. Tebu ditanam di wilayah Cheribon, dataran Pantai utara, bahagian Tengah Jawa, Jogjakarta  dan Surakarta.
Kelapa terdapat di seluruh pelosok Indonesia. Kelapa hidup subur di kawasan yang mempunyai suhu tinggi, hujan lebat, dan tanah yang berlumpur.Masyarakat peribumi Indonesia menanam rempah ratus seperti bunga cengkih, buah pala, dan kayu cendana. Bunga cengkih banyak ditanam di pulau-pulau Maluku, buah pala di Pulau Bonda, dan kayu cendana di Pulau Timur.[3]
 Perusahaan
Perusahaan batik diusahakan oleh masyarakat peribumi Indonesia. Perusahaan batik dijalankan secara kecil-kecilan di Jawa Tengah. Aktiviti ini dilakukan sebelum musim menuai padi dan musim memungut hasil tanaman.
      Masyarakat Jawa menghasilkan corak batik yang mempunyai unsur alam seperti burung, kupu-kupu, buah-buahan dan sebagainya. Seni melukis corak batik ini diturunkan daripada satu generasi kepada generasi yang lain. Biasanya, kemahiran membuat batik akan diajar oleh ibu kepada anak perempuan mereka.[4]




[1] Ong Loo Chen, Pra U Teks STPM Penggal 3, (Bandar Baru Bangi:Penerbitan Pelangi Sdn. Bhd.,2013),296.  
[2] “Sistem ekonomi”, dalam Modul Pengajaran dan Pembelajaran STPM Sejarah Penggal 3, , (Putrajaya: Kementerian Pendidikan Malaysia,2013) 117.
[3] Ong Loo Chen, Pra U Teks STPM Penggal 3,299
[4] Ong Loo Chen, Pra U Teks STPM Penggal 3, (Bandar Baru Bangi:Penerbitan Pelangi Sdn. Bhd.,2015),293.

No comments:

Post a Comment