Tuesday, November 7, 2017

Soalan 4 :Bincangkan struktur masyarakat di Indonesia sebelum kedatangan kuasa Barat.



Pengenalan
Struktur masyarakat di Indonesia sebelum kedatangan kuasa Barat terdiri daripada golongan pemerintah  dan yang diperintah.  Golongan pemerintah terdiri  daripada raja atau sultan, kerabat diraja, pembesar/priyayi dan golongan agama.  Manakala golongan yang diperintah pula ialah rakyat biasa yang kebanyakannya petani dan hamba.  Setiap golongan ini mempunyai peranan dan tanggungjawab tersendiri.
Isi
Golongan Pemerintah
i)     Raja atau Sultan
Raja atau sultan menduduki lapisan teratas dalam hierarki sosial masyarakat Indonesia, contohnya di Acheh dan Pulau Jawa.  Raja atau sultan bekuasa mutlak dalam pemerintahan  kerajaan dan wilayah jajahan takluknya. Baginda mengetuai kerajaan dan bertanggungjawab menyatukan rakyat, memakmurkan negara dan menjamin keselamatan negara.  Contohnya Sultan Acheh merupakan ketua agama Islam dan menjadi pelindung kepada masyarakat Acheh. Justeru itu baginda giat menyebarkan agama Islam melalui penaklukan dan perluasan kuasa.  Baginda  juga dianggap mempunyai keistimewaan luar biasa dan berdaulat serta tidak boleh diderhakai.  Kedudukan dan kuasa mutlak  sultan  diperkukuhkan dengan konsep sultan sebagai  Khalifah Allah dan pemimpin umat Islam.

ii)   Kerabat  Diraja
Lapisan seterusnya ialah golongan kerabat diraja.  Golongan ini membantu raja/sultan dalam pentadbiran pada peringkat pusat.  Mereka juga melaksanakan upacara keagamaan dan ritual di wilayah  pentadbiran mereka.  Seterusnya mereka  turut menguasai  tanah dan perdagangan maritim. Terdapat juga raja dan kerabat diraja yang memerintah  negeri yang terdiri daripada beberapa kumpulan etnik, contohnya Jawa , Sumatera dan Kalimantan.  Golongan ini dapat mengumpul harta dan menghantar anak-anak mereka ke sekolah. Di Jawa, raja, kerabat diraja dan golongan bangsawan agak terasing daripada masyarakat disebabkan pengaruh agama dan tradisi.  Golongan ini dibahagikan mengikut darjat keturunan masing-masing yang mempunyai status dan prestij tersendiri dalam masyarakat.

iii)      Pembesar/ Priyayi/ Uleebalang
Golongan ini menduduki lapisan ketiga  dalam hierarki sosial masyarakat Indonesia.  Mereka  terdiri daripada kerabat diraja dan bukan kerabat diraja.  Mereka dikenali sebagai priyayi, pembesar atau uleebalang, pembesar wilayah dan akhir sekali pembesar daerah.  Di Pulau Jawa, golongan priyayi atau bangsawan mempunyai hubungan kekeluargaan dengan sultan atau kerabat diraja.  Golongan ini menjadi penghubung antara sultan dengan rakyat jelata. Golongan priyayi merupakan pegawai tinggi dalam kerajaan. Mereka juga merupakan pemimpin agama dalam masyarakat.  Justeru itu, golongan ini sangat dihormati dan dipercayai oleh rakyat.  Mereka mempunyai  hubungan yang sangat rapat  dengan golongan petani dan berkuasa terhadap penduduk pribumi. 
   Sementara di Acheh, pembesar atau uleebalang mempunyai kedudukan yang tinggi dalam hierarki sosial masyarakatnya.  Mereka menggunakan gelaran teuku dan merupakan tulang belakang dalam pemerintahan dan pertahanan.
Pembesar wilayah pula bertanggungjawab terhadap pihak istana.  Tugas utama mereka ialah mengutip cukai, memberi konsesi dan monopoli  serta mendapatkan tenaga kerah dari daerah untuk dijadikan buruh atau tentera semasa peperangan. 
Pembesar daerah mempunyai kuasa autonomi di jajahan sendiri.  Mereka akan menyokong raja atau sultan untuk mengukuhkan kedudukannya.  Di Jawa dan Madura contohnya, pegawai kanan wilayah dan pembesar tempatan menjadi pengerusi di istana. 
Jawatan pembesar diwarisi dan mendapat pengesahan daripada pihak istana.  Kekuasaan pembesar bergantung kepada bilangan pengikut dan sumber pendapatannya.

iv)                 Golongan agama/ulama

Di Acheh, ulama menjadi penasihat agama Islam kepada sultan.  Mempunyai kedudukan yang mulia dan dihormati kerana ketinggian ilmu agamanya serta menjadi tempat rujukan masyarakat.  Ulama diberi gelaran Tengku sesuai dengan kedudukannya dalam masyarakat.

Golongan Diperintah
i)                    Rakyat
Terdiri daripada petani, nelayan, pelaut dan pedagang.  Golongan petani yang tidak mempunyai tanah terpaksa menyewa tanah daripada golongan bangsawan.  Mereka bercucuk tanam sebagai aktiviti harian seperti menanam padi.  Mereka perlu memberi khidmat dengan mengerjakan tanah milik bangsawan, melaksanakan tugas yang diberikan dan menjadi askar dalam peperangan.  Petani juga dikehendaki membayar cukai dan amat setia kepada golongan pemerintah.

ii)                  Hamba

Menduduki lapisan paling bawah.  Terbahagi kepada hamba abdi dan hamba berhutang.  Golongan hamba ini dimiliki oleh golongan pembesar.  Manakala hamba berhutang pula ialah orang bebas yang terikat dengan hutang.  Anak dan isterinya juga turut terikat dalam sistem ini.  Mereka dikerah bekerja untuk mem bayar hutang.
            Sistem perhambaan diamalkan secara meluas di Bali, Acheh, Palembang dan Lampung.  Namun amalan ini telah dihapuskan secara beransur-ansur setelah kedatangan Belanda.



                                                                                                             
Kesimpulan

            Susun lapis masyarakat di Indonesia sebelum kedatangan Belanda telah berjaya mengukuhkan kedudukan golongan pemerintah dan menjamin kesejahteraan rakyat.   Namun demikian, penguasaan Belanda  ke atas Indonesia telah menyebabkan berlakunya perubahan terhadap susun lapis masyarakat yang memperlihatkan hilangnya pengaruh dan kuasa golongan pemerintah, manakala golongan petani pula telah dipergunakan oleh pihak Belanda untuk mengeksploitasi ekonomi Indonesia.



 SUMBER-
SKEMA PEPERIKSAAN  PERCUBAAN  STPM SEJARAH PENGGAL 3 2017 TERENGGANU



Soalan 3 : Bincangkan sistem pemerintahan demokrasi berparlimen di Malaysia selepas mencapai kemerdekaan.

A. PENGENALAN 
1.       Selepas mencapai kemerdekaan pada 31 Ogos 1957 , Malaysia mengamalkan sistem pemerintahan demokrasi berparlimen dengan prinsip Raja Berperlembagaan di mana Yang Di Pertuan Agong merupakan ketua negara
2.      Demokrasi berparlimen ialah satu sistem kerajaan yang dipilih secara bebas oleh rakyat. Salah satu ciri sistem Demokrasi Berparlimen ialah Doktrin Pengasingan Kuasa iaitu pembahagian kuasa kerajaan  kepada tiga cabang pemerintahan iaitu badan eksekutif , legislatif dan Judisiari

B. ISI
Sistem pemerintahan demokrasi berparlimen
1. Badan legislatif
i)   Yang Di Pertuan Agong 
a)      Raja Berpelembagaan merupakan Ketua Negara.
b)      Dipilih secara bergilir-gilir pada setiap lima tahun sekali oleh Majlis Raja-raja dalam  kalangan 9 orang sultan negeri-negeri di Malaysia.
c)      Yang Di Pertuan Agong dalam melaksanakan kuasa pemerintahan bertindak mengikut nasihat Perdana Menteri dan Jemaah Menteri.
Kuasa Yang Di Pertuan Agong :
a.       Melantik Perdana Menteri
b.      Mengisytiharkan pembubaran parlimen atau tidak memperkenankan pembubaran parlimen
c.       Berkuasa memanggil parlimen supaya bersidang
d.      Mengisytiharkan undang-undang tentera atau darurat dengan persetujuan Jemaah Menteri
e.       Bertanggungjawab melindungi dan memelihara kedudukan istimewa orang Melayu dan kaum bumiputera di Sabah dan Sarawak
f.       Mengadakan mesyuarat Majlis Raja-raja untuk membincangkan perkara yang berkaitan dengan keistimewaan,kehormatan,kedudukan dan kemuliaan Raja-raja Melayu
g.      Mempunyai kuasa mengampunkan kesalahan-kesalahan lain dalam Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan segala hukuman yang dijatuhkan dalam Mahkamah Syariah di Melaka,Pulau Pinang,Sabah,Sarawak dan Wilayah Persekutuan
h.      Pemerintah tertinggi angkatan tentera dan ketua agama Islam bagi Pulau Pinang, Melaka, Wilayah Persekutuan ,Sabah dan Sarawak.
i.        Memperkenankan rang undang-undang yang diluluskan oleh Dewan Negara dan Dewan Rakyat.
ii )        Dewan Rakyat 
Dewan Rakyat adalah badan perundangan tertinggi negara
a.       Dipilih oleh rakyat melalui pilihanraya umum
b.      .Dewan Rakyat adalah majlis bagi wakil rakyat
c.       Setiap ahli mewakili satu kawasan pilihanraya parlimen
d.      Bilangan ahli dewan Rakyat ialah seramai 222 orang yang dipilih melalui pilihanraya
e.       Bilangan keanggotaan ahlinya boleh diubah melalui undang-undang yang diluluskan oleh parlimen
f.       Jawatan berakhir apabila parlimen dibubarkan
g.      Tempoh jawatan seseorang ahli Dewan Rakyat ialah lima tahun
h.      Ahli Dewan Rakyat mestilah mengangkat sumpah taat setia kepada Malaysia dan Perlembagaan Persekutuan sebelum mengambil tempat dalam dewan
i.        Tugas utama Dewan Rakyat ialah menggubal dan meluluskan rang undang-undang
j.        Seseorang ahli boleh berhenti bila-bila masa daripada menjadi ahli Dewan Rakyat dengan mengemukakan surat perletakan jawatan kepada Yang Di Pertua Dewan Rakyat
k.      Jika berlaku kekosongan dalam Dewan Rakyat yang disebabkan oleh perletakan jawatan,kematian atau hilang kelayakan,maka kekosongan tersebut hendaklah diisi dalam tempoh 60 hari mulai tarikh berlaku kekosongan itu di Semenanjung Malaysia atau 90 hari di Sabah dan Sarawak.
l.        Satu pilihanraya kecil akan diadakan bagi mengisi kekosongan tersebut
iii)    Dewan Negara
 Di Malaysia Dewan Negara merupakan Majlis Tertinggi parlimen
a.       Anggota Dewan Negara dikenali sebagai senator
b.      Mempunyai 69 orang ahli yang dipilih dan dilantik
c.       26 dipilih oleh Dewan-dewan Undangan Negeri
d.      43 orang ahli dilantik oleh Yang Di Peruan Agong
e.       Sama taraf dengan ahli Dewan Rakyat dan boleh dilantik sebagai menteri
f.       Ahli biasanya terdiri daripada warganegara yang telah berkhidmat dengan cemerlang atau mencapai taraf kegemilangan dalam pelbagai lapangan seperti perkhidmatan awam,perdagangan,perusahaan,pertanian, dan perkhidmatan masyarakat.
g.      Dewan Negara tidak mempunyai kuasa menolak sesuatu rang undang- undang yang telah diluluskan oleh Dewan Rakyat
h.      Hanya berkuasa menangguhkan sesuatu rang undang-undang yang telah diluluskan itu daripada dikemukan kepada Yang Di Pertuan Agong.
j.        Rang undang-undang kewangan hanya boleh ditangguhkan selama satu bulan. Rang undang-undang lain selama satu tahun
k.      Bertindak sebagai badan penyemak undang-undang

2. Badan Eksekutif
 i) Jemaah Menteri atau Kabinet
a.       Badan pembuat dasar tertinggi negara yang menjalankan kuasa eksekutif.
b.      ·Tugas utama ialah menggubal dasar-dasar kerajaan semua perkara dan memberi arahan kepada jentera kerajaan di peringkat persekutuan melaksanakan dasar-dasar tersebut
c.       .Diketuai oleh seorang Perdana Menteri iaitu seorang ahli Dewan Rakyat yang mendapat kepercayaan daripada sebahagian besar ahli-ahli dewan.
d.      Tugas utama Perdana Menteri ialah mengetuai kabinet,memimpin kerajaan,menjalankan pentadbiran dan menggubal dasar-dasar kerajaan · Perdana Menteri boleh melantik Timbalan Perdana Menteri,Menteri-menteri,Timbalan-Timbalan Menteri dan setiausaha-setiausaha parlimen untuk membantu beliau dalam melicinkan urusan pentadbiran negara
e.       Tugas Timbalan Perdana Menteri ialah membantu Perdana Menteri menjalankan tugas-tugas itu semasa Perdana Menteri bercuti atau berada di luar negara.
f.       Kementerian diketuai oleh seorang Menteri yang akan dibantu oleh Timbalan Menteri,Setiausaha Parlimen,Setiausaha Politik,Ketua Setiausaha Kementerian,pegawai kementerian dan kakitangannya yang dikenali sebagai pegawai kerajaan
g.      Kementerian lazimnya mempunyai bahagian pusat,negeri dan daerah. · Selain itu terdapat kementerian yang mempunyai badan tertentu misalnya Arkib Negara Malaysia dan Muzium di bawah Kementerian Kebudayaan,Kesenian dan Pelancongan dan mempunyai Ketua Pengarah.
h.      Perlantikan pegawai dan menjaga disiplin pegawai beberapa Suruhanjaya dilantik, misalnya Suruhanjaya Perkhidmatan Awam, Suruhanjaya Perkhidmatan Pendidikan, Suruhanjaya Undang-undang dan kehakiman.
 3. Badan Kehakiman
i) Mahkamah Agong/Persekutuan
a.       Mahkamah Agong merupakan mahkamah yang tertinggi di Malaysia
b.      Mengandungi Ketua Hakim Negara, kedua-dua Hakim Besar Malaya dan Borneo serta tujuh orang hakim Mahkamah Agong
c.       Biasanya Mahkamah Agong bersidang di dalam panel mengandungi tiga orang hakim yang dipilih oleh Ketua Hakim Negara
d.      Antara bidang kuasa Mahkamah Agong ialah mendengar dan menentukan rayuan-rayuan kes jenayah dan sivil terhadap keputusan Mahkamah Tinggi,menentukan sah undang-undang yang digubal oleh Parlimen dan Dewan Undangan Negeri, memutuskan pertikaian di antara kerajaan Negeri dan Kerajaan Persekutuan atau di antara negeri-negeri dan menasihati Yang Di Pertuan Agong dalam soal menguatkuasa mana-mana peruntukan dalam Perlembagaan Persekutuan
ii) Mahkamah Tinggi
a.       Terdiri daripada Mahkamah Tinggi Malaya dan Mahkamah Tinggi Borneo
b.      Mempunyai kuasa pengadilan asal,rayuan dan pengawasan.Mempunyai kuasa yang tidak terhad dalam menjalankan pengadilan ke atas kes jenayah asal.
c.       Biasanya kes-kes jenayah yang terletak di luar bidang kuasa pengadilan Mahkamah Rendah sahaja dibawa kepada Mahkamah Tinggi untuk pengadilan
d.      Mahkamah Tinggi mendengar rayuan bagi kes-kes sivil dan jenayah dari Mahkamah Majistret dan Mahkamah Sesyen.
e.       Mempunyai kuasa pengawasan dan penyemakan ke atas keputusan semua kes sivil dan jenayah yang diputuskan oleh Mahkamah Rendah.Keputusan sivil dan jenayah Mahkamah Tinggi boleh dikemukakan untuk rayuan kepada Mahkamah Agong.
 iii) Mahkamah Rendah
a.       Terdiri daripada Mahkamah Sesyen,Mahkamah Majistret dan Mahkamah Penghulu.
b.      Mahkamah Sesyen dipengerusikan oleh seorang pegawai yang digelar hakim
c.       Beliau mempunyai kuasa pengadilan jenayah bagi semua kesalahan kecuali kesalahan yang membawa hukuman mati dan penjara seumur hidup
d.      Mempunyai kuasa membicarakan kes-kes sivil yang melibatkan jumlah wang yang tidak dituntut tidak melebihi seratus ribu ringgit
e.       Mahkamah Majistret pula ditugaskan untuk mengendalikan kes-kes jenayah dan sivil.
f.       Dipengerusikan oleh seorang majistret yang dilantik oleh Raja atau Yang Di Pertua Negeri bagi negeri tempat majistret itu berkhidmat
g.      Terbahagi kepada dua peringkat iaitu Mahkamah Majistret Kelas Satu dan Majistret Kelas Dua.
h.      Mahkamah Majistret kelas satu boleh membicarakan kes sivil yang nilai harta dalam perbicaraan tidak lebih daripada RM25,000.00
i.        Dalam kes jenayah,mempunyai kuasa untuk membicarakan semua kes yang hukuman maksimum bagi kesalahan itu tidak melebihi 10 tahun penjara atau dihukum denda sahaja
j.        Majistret Kelas Dua menjalankan tugas-tugas kecil seperti menyebut kes-kes dan membenarkan jaminan.
k.      Boleh mengadili kes-kes jenayah yang hukuman bagi kesalahan itu tidak lebih daripada 12 bulan penjara atau dengan denda sahaja.
l.        Kuasa untuk menjatuhkan hukuman juga terhad iaitu tidak lebih daripada enam bulan atau denda tidak lebih daripada RM1000 atau kedua-dua sekali
C. KESIMPULAN
1.      Secara amnya sistem pemerintahan Persekutuan Tanah Melayu dari tahun 1957 hingga 1963 adalah melalui proses demokrasi.
2.      Perlembagaan digubal untuk menjaga kepentingan dan keistimewaan semua kaum yang ada. Prinsip-prinsip yang menentukan bentuk kerajaan yang boleh didirikan dan kuasa yang boleh digunakan oleh kerajaan semuanya ditentukan seharusnya dipatuhi agar tidak berlaku penyalahgunaan kuasa oleh mana-mana badan tersebut.


 SUMBER-
SKEMA PEPERIKSAAN  PERCUBAAN  STPM SEJARAH PENGGAL 3 2017 TERENGGANU



Soalan 2 : Huraikan perubahan-perubahan sosioekonomi yang berlaku di Tanah Melayu kesan penghijrahan orang Cina dan India pada abad ke-20.



Pengenalan
Pada pertengahan abad ke-19 berlaku penghijrahan orang Cina dan orang India secara beramai-ramai ke Tanah Melayu.  Imigran Cina bekerja di lombong-lombong bijih timah manakala imigran India pula bekerja di ladang kopi dan getah.  Faktor penolak di negara asal seperti ketidakstabilan politik, bencana alam, masalah ekonomi dan sosial manakala dasar penarik seperti kemakmuran ekonomi dan dasar British yang menggalakkan penghijrahan orang Cina dan India telah mendorong mereka untuk terus menetap di Tanah Melayu.  Keadaan ini telah meninggalkan kesan terhadap situasi sosioekonomi di Tanah Melayu.
Isi
Kesan Sosial
i)     Pertambahan Penduduk

Penghijrahan golongan imigran Cina dan India ke Tanah Melayu  pada akhir abad  ke-19 dan awal  abad ke-20 menyebabkan pertambahan penduduk yang pesat.  Buktinya pada tahun 1870, jumlah orang Melayu lebih kurang 500 000 orang.  Jumlah ini meningkat kepada 3.3 juta menjelang tahun 1921.  Dengan kemasukan golongan imigran, orang Melayu tidak lagi menjadi kaum utama.  Menjelang tahun 1921, jumlah penduduk bukan Melayu telah melebihi jumlah penduduk Melayu.  Walaupun kedua-dua golongan imigran ini telah lama menetap di Tanah Melayu, namun mereka masih mengekalkan identiti, adat resam dan cara hidup kaum masing-masing.

ii)      Kewujudan Masyarakat Majmuk

Kehadiran golongan imigran mewujudkan masyarakat  majmuk di Tanah Melayu.  Ketiga-tiga kaum mengamalkan corak kehidupan dan kebudayaan yang berbeza.  Wujud pengenalan kaum mengikut fungsi ekonomi dan corak penempatan masyarakat.  Masyarakat Melayu tinggal di kawasan pertanian dan menjalankan aktiviti ekonomi  tradisional.  Mereka menganut agama Islam dan bertutur dalam bahasa Melayu.  Masyarakat Cina pula bekerja di lombong-lombong bijih timah dan kawasan bandar.   Mereka menyembah nenek moyang dan menganut agama Buddha.  Mereka bertutur dalam loghat seperti Hokkien, Hakka dan Kantonis.  Mereka terlibat dalam kegiatan ekonomi komersil.  Kebanyakan masyarakat India pula tinggal di kawasan ladang-ladang dan bekerja sebagai buruh di estet-estet getah.  Mereka menganut agama Hindu dan bertutur dalam bahasa etnik mereka seperti bahasa Telugu dan Malayalam.  Ketiga-tiga kaum ini hidup berasingan dan terus mengekalkan cara hidup dan perayaan masing-masing.  Pergaulan sosial dan interaksi antara mereka  sangat terhad.

iii)    Sistem Pendidikan Vernakular

Satu lagi perubahan sosial kesan penghijrahan orang Cina dan India ialah wujudnya sistem pendidikan vernacular yang tidak seragam.  Sistem pendidikan ini berkembang pesat bagi memenuhi keperluan setiap kaum.  Contohnya orang Cina mendirikan dan membiayai sendiri sekolah Cina di Tanah Melayu yang dikenali sebagai sekolah vernakular Cina.  Mereka menggunakan bahasa Cina sebagai bahasa  pengantar, membawa masuk guru-guru dari negara China sementara  mata pelajaran dan buku juga berorientasikan negara mereka. Sekolah vernakular  Tamil pula didirikan di ladang-ladang getah yang dibiayai oleh pihak pengurus ladang.  Segala mata pelajaran yang diajar  berteraskan pengetahuan mengenai negara asal mereka.  Manakala pendidikan yang disediakan oleh British untuk masyarakat pribumi ialah pendidikan sekular yang dikenali sebagai sekolah vernakular Melayu, namun kurang mendapat sambutan di kalangan orang Melayu. 

Kesan Ekonomi

iv )  Perkembangan Ekonomi Komersil
Berlaku perkembangan ekonomi  komersil yang berasaskan bijih timah dan getah kesan kemasukan orang Cina dan India.  Dalam bidang perlombongan bijih timah, kemasukan buruh-buruh Cina yang memiliki kemahiran perlombongan  dan mereka turut memperkenalkan teknologi dan kaedah-kaedah perlombongan yang baharu  telah berjaya meningkatkan pengeluaran bijih timah.  Mereka telah memperkenalkan kaedah lombong dedah dan pam kerikil.  Seterusnya tenaga buruh dari India telah memajukan perusahaan getah di Tanah Melayu pada awal abad ke-20.  Kemasukan buruh-buruh India dengan kos kemasukan dan bayaran upah yang rendah, rajin bekerja dan mudah dikawal telah mendorong kepada perkembangan perusahaan getah secara komersil.  Hal ini menggalakkan pelaburan individu dan syarikat-syarikat Eropah seperti Guthrie dan Dunlop.
V )  Sistem Dwiekonomi dan Ketidakseimbangan Ekonomi

Kehadiran golongan imigran menyebabkan berlakunya sistem dwiekonomi dan ketidakseimbangan perkembangan ekonomi.  Golongan imigran berperanan memajukan ekonomi komersil sementara penduduk pribumi yang tinggal di kawasan luar bandar terus ketinggalan dengan mengusahakan ekonomi sara diri.  Pada masa yang sama, ekonomi negeri-negeri yang kaya dengan sumber galian seperti  Perak dan Selangor berkembang pesat manakala negeri-negeri yang kurang potensi ekonomi seperti Kelantan dan Terengganu ketinggalan .


Kesimpulan

Penghijrahan imigran Cina dan India telah mengubah struktur masyarakat di Tanah Melayu.  Mereka juga telah membantu ke arah  perkembangan  ekonomi komersil.  Namun kewujudan masyarakat majmuk telah menyukarkan proses asimilasi dalam kalangan kaum-kaum di Tanah Melayu pada masa itu.

 SUMBER-
SKEMA PEPERIKSAAN  PERCUBAAN  STPM SEJARAH PENGGAL 3 2017 TERENGGANU