Saturday, September 16, 2017

3. JELASKAN SISTEM PEMERINTAHAN DEMOKRASI BERPARLIMEN DI MALAYSIA SELEPAS 1957.

A. Pengenalan 
Selepas Perang Dunia Kedua tamat, kerajaan British telah memperkenalkan Perlembagaan Malayan Union pada 1 April 1946. Butir-butir perlembagaan Malayan Union mendapat tentangan daripada orang Melayu lalu digantikan dengan Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu 1948. Perlembagaan ini menjadi teras sistem demokrasi berparlimen berdasarkan Perjanjian Persekutuan Tanah Melayu 1957.
B. Isi-Isi:
Sistem Kerajaan Demokrasi Berparlimen
1.      Yang Dipertuan Agong
-          Sistem kerajaan Malaysia berasaskan perlembagaan yang banyak persamaan dengan perlembagaan di Britain dan India. Mengikut perlembagaan Malaysia, ketua negara ialah DYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong. Baginda ialah seorang raja berperlembagaan.
-          Dalam menjalankan kuasa pemerintahan di bawah perlembagaan, Yang di-Pertuan Agong bertindak mengikut nasihat Perdana Menteri dan Jemaah Menteri.
-          Mengikut undang-undang parlimen Malaysia yang terdiri daripada Yang di-Pertuan Agong, Dewan Negara (wakil dari perkhidmatan awam), Dewan Rakyat (wakil yang dipilih) dan badan kehakiman.
-          Perlembagaan boleh diubah dengan keizinan sekurang-kurangnya dua per tiga ahli Dewan Rakyat.
-          Satu perbezaan dalam perlembagaan yang tidak ada di negara-negara lain ialah Yang di-Pertuan Agong dipilih oleh Majlis Raja-raja daripada kalangan 9 orang Sultan Melayu.
-          Sebagai ketua negara, baginda mempunyai kuasa mengampunkan kesalahan-kesalahan lain dalam Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan segala hukuman yang dijatuhkan dalam mahkamah Syariah di Melaka, Pulau Pinang, Sabah, Sarawak dan Wilayah Persekutuan.
-          Baginda juga memelihara kedudukan istimewa orang Melayu dan kaum bumiputera di Sabah dan Sarawak.
-          Baginda juga boleh mengisytiharkan undang-undang tentera dan darurat.

2.      Badan Legislatif/Parlimen

2.1 Dewan Negara
-          Adalah majlis tertinggi Parlimen. Tugas utamanya ialah membahas rang undang-undang yang dikemukakan oleh Dewan Rakyat.
-          Dewan Negara mengandungi 69 orang ahli yang dipilih dan dilantik. 26 orang ahli dipilih oleh Dewan Undangan Negeri, dan 43 orang ahli yang dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong.
-          Ahli Dewan Negara berkhidmat sebagai anggota Dewan selama 3 tahun dan tertakluk sama ada dia akan dilantik dan dipilih semula.

2.2  Dewan Rakyat
-          Dewan Rakyat terdiri daripada 222 wakil rakyat yang dipilih melalui pilihan raya.
-          Tugas utama Dewan Rakyat ialah menggubal undang-undang dan meluluskan undang-undang.

3.      Badan Eksekutif 
-          Badan eksekutif memainkan peranan menjalankan dasar-dasar pentadbiran kerajaan mengikut perlembagaan dan undang-undang yang ada.
-          Pentadbiran kerajaan terbahagi kepada peringkat Persekutuan, Negeri dan Tempatan.
-          Pentadbiran peringkat Persekutuan dijalankan oleh Kabinet atau Jemaah Menteri
-          Jemaah Menteri diketuai oleh Perdana Menteri dengan dibantu oleh Timbalan Perdana Menteri dan menteri-menteri  lain sebagai ahli.
-          Bagi menjalankan tugas-tugas eksekutif Kerajaan Persekutuan, beberapa buah kementerian, jabatan, dan badan berkanun diwujudkan.
-          Setiap kementerian diketuai oleh seorang Menteri dan dibantu oleh Timbalan Menteri, Setiausaha Parlimen, Setiausaha Politik, Ketua Setiausaha Kementerian, Pegawai Kementerian, dan kakitangan yang dikenali sebagai pegawai kerajaan.

4.      Badan Kehakiman
-          Mahkamah merupakan badan bebas yang diketuai oleh Ketua Hakim Negara yang dilantik oleh Yang Dipertuan Agong.
-          Terdiri daripada Mahkamah Agung atau Persekutuan, Mahkamah Tinggi Mahkamah Rendah, Mahkamah Syariah, Mahkamah Anak Negeri Sabah dan Sarawak yang mempunyai bidang kuasa masing-masing dalam menjalankan kuatkuasa undang-undang sama ada kes sivil dan kes jenayah.
C. Kesimpulan.

Sebagai kesimpulannya, sistem pemerintahan Persekutuan Tanah Melayu dari tahun 1957 hingga tahun 2000 adalah melalui proses demokrasi. Prinsip-prinsip yang menentukan bentuk kerajaan yang boleh didirikan dan kuasa yang digunakan ditentukan oleh perlembagaan. Jelaslah doktrin pengagihan kuasa tiga badan yang telah ditentukan mesti dipatuhi supaya tidal berlaku penyalah gunaan kuasa. 
SUMBER-

JPN PAHANG SKEMA PERCUBAAN STPM P3 940

Haji Abdur Rahman Limbong ulama dan pahlawan Melayu


 

ARKIB : 22/01/2007
Haji Abdur Rahman Limbong ulama dan pahlawan Melayu
Oleh: WAN MOHD. SHAGHIR ABDULLAH
WAN Mohd. Shaghir Abdullah (kiri) berceramah tentang Haji Abdur Rahman Limbong dalam satu majlis di Terengganu, baru-baru ini.

TERLALU banyak permintaan melalui e-mel dan telefon supaya memperkenalkan ulama yang berjuang untuk memerdekakan tanah air dari cengkaman penjajah. Seiringan dengan itu pula mereka minta pengertian makna jihad menurut yang ditakrif oleh para ulama yang muktabar terutama ulama dunia Melayu.

Ini kerana, menurut mereka, setelah pengeboman Pusat Dagangan Dunia (WTC) Amerika Syarikat (AS) pada 11 September 2001, terjadi simpang siur pentafsiran makna jihad. Simpang siur pentafsiran tersebut disebabkan ada golongan yang terlalu takut tekanan dan ancaman pihak imperialisme AS dan Barat dan sebaliknya ada golongan mujahid-mujahid Islam yang radikal, sangat berani dan anti terhadap AS dan Barat.

Apa yang saya rakamkan dalam tulisan ini bukan mendabik dada supaya diakui sebagai seorang pejuang. Namun, saya hanya mengikut rentak dan peristiwa yang berlaku. Sekurang-kurangnya ada tiga isu terkini yang dijadikan iktibar perbandingan.

Yang pertama ialah laungan memperingati kemerdekaan besar-besaran Malaysia yang ke-50. Yang kedua, peristiwa Saddam Husein, bekas Presiden Iraq dihukum gantung sampai mati oleh orang-orang Islam sendiri kerana terlalu patuh kepada penjajah bentuk baru AS yang ‘menjajah’ Iraq, Afghanistan, dan lain-lain.

Yang ketiga, kejayaan musuh-musuh Islam mengadu domba antara golongan Syiah dan Sunah.

Semua isu yang tersebut dapat dijadikan perbandingan dengan perjuangan ulama dunia Melayu. Bahawa mereka berjuang untuk kemerdekaan membebaskan bangsa Melayu dari segala bentuk dan corak penjajahan masa lampau, sekarang dan masa-masa akan datang. Saya mulai dengan Haji Abdur Rahman Limbong seorang pahlawan bangsa Melayu di Terengganu.

Izinkan saya untuk turut aktif menyambut laungan memperingati kemerdekaan besar-besaran Malaysia yang ke-50 dengan memaparkan beberapa ulama yang perjuangan mereka tidak pernah takut menggunakan istilah jihad. Di antara mereka ramai yang ditangkap dan diseksa. Yang digantung ialah Tok Janggut Kelantan, persis seperti Saddam Husein digantung baru-baru ini.

Ulama pejuang dalam artikel ini nama lengkapnya ialah Haji Abdur Rahman Limbong bin Haji Abdul Hamid bin Haji Abdul Qadir. Lahir tahun 1285 H/1868M, wafat di Mekah, 1347 H/1929M. Datuk neneknya berasal dari Patani dan Terengganu.

Haji Abdur Rahman Limbong juga seperti gurunya Tok Ku Paloh, iaitu seorang sufi pengamal Tarekat Sammaniyah. Sungguhpun Haji Abdur Rahman Limbong seorang ahli sufi, namun beliau juga bijaksana dalam seluk belok persoalan dunia.

Ini dapat dibuktikan dengan berkali-kali beliau berhujah di mahkamah kerana membela rakyat yang disaman oleh pihak pemerintah Inggeris. Haji Abdur Rahman Limbong adalah seorang sufi yang pernah menjadi peguam. Saya simpulkan saja bahawa Haji Abdur Rahman Limbong perlu kita kenali, dalam dunia sufi tangannya selalu bersih membilang-bilang buah tasbih.

Di mahkamah, lisannya fasih berkata-kata membela kebenaran yang disandarkan kepada perintah Allah dan rasul. Bukannya membela undang-undang ciptaan manusia. Di gelanggang medan laga pandai bermain senjata. Hidup di dunia ini tiada sesuatu apa pun yang ditakutinya kecuali kemurkaan Allah kerana melanggar perintah Allah dan rasul-Nya.

Haji Abdur Rahman Limbong mendapat pendidikan asas ilmu-ilmu Islam sejak kecil di Mekah. Yang paling utama mencorak peribadinya ketika kanak-kanak ialah Haji Tun Muhammad, salah seorang ayah saudaranya.

Ketika pulang ke Terengganu beliau mendapat pendidikan dari Haji Ya’qub dan Haji Musa. Kedua-dua ulama itu tinggal di Paya Bunga. Selanjutnya yang membentuk peribadi Haji Abdur Rahman Limbong menjadi seorang sufi dan pejuang jihad ialah Tok Ku Paloh, ulama Terengganu yang terkenal.

Tok Ku Paloh juga adalah seorang pejuang (selengkapnya lihat judul Tok Ku Paloh Al-Aidrus, Pejuang Islam dan Bangsa Melayu (18 September 2006).

Setelah menguasai ilmu yang padu dan memadai Haji Abdur Rahman Limbong aktif mengajar masyarakat di Hulu Terengganu. Jika kita teliti kitab-kitab yang beliau ajar meliputi beberapa disiplin ilmu.

Antaranya ialah al-Ajrumiyah hingga kepada Mutammiman dan Tashil Nail al-Amani mengenai ilmu nahu, semuanya dalam bahasa Arab. Matn Umm al-Barahin, mengenai ilmu tauhid. Untuk lebih memantapkan juga diajarkan kitab-kitab tauhid bahasa Melayu, yang pasti tidak diabaikan ialah Faridah al-Faraid dan ad-Durr ats-Tsamin.

Kitab fikah bahasa Arab yang pernah diajarkan oleh Haji Abdur Rahman Limbong ialah Kitab Tahrir dan ilmu tasawuf ialah Hidayah as-Salikin dan ad-Durr an-Nafis kedua-duanya dalam bahasa Melayu.

Selain mengajar, Haji Abdur Rahman Limbong adalah seorang ulama yang suka mengembara atau merantau ke beberapa buah negeri. Soal kewangan untuk mengembara tidak sukar baginya kerana di mana tempat beliau berpijak, ada saja penduduk yang mahu menjadi muridnya. Pengembaraan yang dekat dengan Terengganu di antaranya ialah Beserah, Kuantan, kedua-duanya dalam Pahang. Selanjutnya Kelantan, Patani, Kedah dan lain-lain.

Negeri-negeri seberang laut yang pernah beliau merantau ialah Sambas, Jambi, Riau dan Brunei. Di negeri-negeri seberang laut itu juga terdapat murid-murid Haji Abdur Rahman Limbong.

Pengembaraan beliau ke negeri-negeri tersebut mempunyai kisah yang panjang, tetapi yang dapat diungkapkan di sini ialah tentang di Sambas dan Kepulauan Riau saja. Dalam pelayaran di laut, Haji Abdur Rahman Limbong menggunakan perahu buatan orang Terengganu sendiri. Beliau berlayar bersama-sama dengan murid-muridnya dari Terengganu dan juga ahli pelayaran pada zaman itu, bahawa mereka telah menggunakan perahu-perahu yang berukuran besar yang boleh dimuat barang-barang antara 100 hingga 350 tan.

Di antara tempat-tempat yang ramai dihuni oleh orang-orang yang berasal dari Terengganu di Kepulauan Riau yang dikenalpasti ialah di Kuala Maras dalam Kepulauan Jemaja, Kepulauan Siantan dan Pulau Midai. Di Sambas pula ialah di Kampung Dungun, Kecamatan Sentebang. Nama Dungun itu diberi oleh orang-orang Terengganu sebagai mengenang negeri asal mereka, iaitu Dungun di Terengganu. Nama Dungun itu masih kekal digunakan sampai sekarang. Dipercayai di tempat-tempat tersebut pernah dijelajahi dan menerima didikan dari Haji Abdur Rahman Limbong.

Nama Haji Abdur Rahman Limbong saya dengar sejak kecil lagi dari ibu saya, Hajah Wan Zainab binti Syeikh Ahmad al-Fathani ketika beliau menceritakan pembinaan sebuah masjid di Sabang Barat, Pulau Midai, bahawa bahan utama bangunan ialah kayu cengal.

Semuanya dibawa dari Terengganu dengan sebuah perahu besar. Bahan-bahan itu semuanya selesai dikerjakan di Terengganu hanya tinggal pasang saja di Pulau Midai. Masjid itu hingga tahun 1969 masih berdiri dengan megahnya tetapi manakala yang menjadi pemimpin pada tahun tersebut seorang yang tidak memahami nilai-nilai sejarah, masjid itu dimusnahkan lalu didirikan bangunan yang baru. Nilai sejarah yang masih tinggal hanyalah sebuah mimbar yang dihiasi ukiran-ukiran. Mimbar tersebut juga berasal dari Terengganu.

Imam yang pertama masjid yang tersebut ialah Haji Wan Abdur Rahman bin Wan Abu Bakar yang mendapat pendidikan di Mekah. Dipercayai Haji Wan Abdur Rahman bin Wan Abu Bakar berkenalan dengan Haji Abdur Rahman Limbong sejak kedua-duanya tinggal di Mekah lagi. Selanjutnya Haji Abdur Rahman Limbong juga pernah sampai di daerah Pulau Tujuh termasuk Kuala Maras dan Pulau Midai yang disebutkan di atas.

*PEMBERONTAKAN

Zaman dulu dan zaman sekarang sama saja, bahawa orang yang tidak berpihak kepada kebenaran menyangka yang menang itulah yang benar. Yang kalah itulah disangkanya salah. Sejarah dunia selalu saja mencatat bahawa penyelewengan dan pengkhianat sesuatu bangsa atau pun agama apabila dalam perjuangan selalu berpihak kepada musuh. Tetapi apabila keadaan telah aman, mereka pula yang mengaku dirinya sebagai pejuang bangsa atau pun pejuang agama.

Dunia Melayu tidak terlepas dari perkara itu. Indonesia berjuang melawan Belanda, Semenanjung Tanah Melayu melawan Inggeris dan Siam, umat Islam-Melayu Patani melawan Siam dan umat Islam Mindanao melawan Filipina. Sepanjang tahun 1920 hingga tahun 1928 terjadi gerakan Haji Abdur Rahman Limbong dan rakyat tani di Hulu Terengganu menentang Inggeris.

Sungguhpun ramai orang Melayu Islam yang menyokong perjuangan beliau melawan penjajahan Inggeris, namun tidak kurang juga pengkhianat bangsa dan Islam yang terlalu yakin terhadap penjajah Inggeris. Semua bangsa penjajah yang menjajah sesuatu bangsa di mana saja di dunia ini sebenarnya adalah tidak sah.

Oleh itu, dalam zaman kita yang telah merdeka sekarang ini, perjuangan Haji Abdur Rahman Limbong dan beribu-ribu pengikutnya adalah wajar dan sah dari segi undang-undang dunia. Apatah lagi ditinjau dari pandangan Islam yang mewajibkan kita berjihad apabila kita dijajah oleh orang-orang yang bukan Islam.

Bagaimanapun sewaktu Inggeris masih sebagai bangsa penjajah di Terengganu, demikian liciknya H. W. Thomson dan J. L. Humphreys membuat laporan keadaan menjadi sebaliknya. Kononnya, Haji Abdur Rahman Limbong dan pengikutnya adalah sebagai penderhaka kepada pemerintahan yang sah.

Akhirnya Haji Abdur Rahman Limbong ditangkap dan dibuang ke Singapura dan selanjutnya dibuang ke Mekah dalam tahun 1928. Setahun kemudian (tahun 1929 M), ulama pejuang Islam dan bangsa Melayu itu meninggal dunia. Sejarah mencatat bahawa sebab-sebab timbul pemberontakan adalah kerana rakyat golongan petani berasa dirugikan oleh pihak penjajah Inggeris.

Dalam tahun 1920-an, Inggeris campur tangan untuk mentadbir tanah di lokasi Kuala Telemong hingga ke Ulu Telemong. Setiap ekar tanah yang dibuka oleh rakyat dikenakan cukai oleh penjajah Inggeris.

Jika kita berfikir secara bebas dan merdeka, apa haknya bangsa Inggeris tiba-tiba mengutip cukai dalam negeri Terengganu yang sejak lama telah berkerajaan sendiri sedangkan mereka hanyalah satu bangsa pendatang.

Oleh sebab itulah, Haji Abdur Rahman Limbong dalam hujah-hujahnya di mahkamah bahawa tanah yang dibuka oleh rakyat itu adalah hak Allah bukannya hak negeri. Mungkin maksud negeri itu adalah yang ada campur tangan penjajah Inggeris.

Haji Abdur Rahman Limbong menegaskan bahawa tanah yang mereka miliki adalah tanah pusaka peninggalan orang-orang tua mereka yang datang dari Johor bersama-sama dengan Sultan Zainal Abidin I, Sultan Terengganu yang pertama. Dari riwayat ini dapat kita membuat kesimpulan bahawa orang-orang Melayu Islam di Hulu Terengganu dalam tahun 1920 lagi, di bawah bimbingan Haji Abdur Rahman Limbong, sudah kenal jati diri, kenal terhadap haknya, kenal terhadap tanah air, dan kenal terhadap bangsa sendiri.

Oleh itu, bangsa penjajah Inggeris yang cuba campur tangan dalam pentadbiran tanah wajib dilawan. Kita patut mengucapkan jutaan terima kasih kepada ulama seperti Haji Abdur Rahman Limbong yang telah membuka mata putera-putera bangsa mengenali ajaran Islam yang sebenar sekali gus bangsa Melayu Islam adalah mempunyai harga diri jangan dapat ditipu daya oleh bangsa penjajah.

SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2007&dt=0122&pub=Utusan_Malaysia&sec=Bicara_Agama&pg=ba_01.htm#ixzz4spBcAgtW
© Utusan Melayu (M) Bhd

Wednesday, September 13, 2017

Peranan Diponegoro

OLEH- AHMAD BIN YAAKOB.
Latar Belakang
       Diponegoro merupakan putera sulung Hamengkubuwono III, seorang raja Mataram di Jogjakarta. Beliau lahir pada 11 November 1785 di Jogjakarta. Nama sebenarnya ialah Bendoro Raden Mas Ontowiryo.Apabila Hamengkubuwono III mangkat pada tahun 1814, Raffles telah melantik Djarot sebagai pemerintah Jogjakarta dengan gelaran Hamengkubuwono IV. Raffles berjanji akan melantik Diponegoro sebagai pemerintah Jogjakarta selepas kemangkatan Djarot.

       Apabila Djarot mangkat pada 1822, Raffles tidak berada di Pulau Jawa lagi kerana Belanda telah kembali semula selepas tamatnya Perang Napoleon. Belanda melantik putera Djarot yang baru berumur dua tahun sebagai pengganti dengan gelaran Hamengkubuwono V.
Diponegoro dilantik sebagai penasihat sahaja. Diponegoro banyak menghabiskan masa beribadat di Tegalraja. Beliau mendapat ilham untuk menyelamatkan tanah Jawa serta masyarakatnya. Pada tahun 1825, beliau memimpin Perang Jawa untuk menentang kekejaman dan penindasan Belanda di Pulau fawa.
Peranan Diponegoro
 Membela nasib masyarakat peribumi
(a) Pembatalan kontrak penyewaan tanah oleh Van der Capellan
(i) Masyarakat peribumi Jawa tidak puas hati dengan tindakan Van der Capellan membatalkan kontrak penyewaan tanah yang diperkenalkan oleh Raffles.
(ii) Peraturan pembatalan diluluskan pada tahun 1823 yang menyebabkan semua penyewaan tanah yang melibatkan orang Eropah dengan pemimpin tempatan di Jogjakarta dan Surakarta dibatalkan. Malah ditetapkan wang sewaan dan wang pendahuluan mesti dipulangkan.
(iii) Apabila kontrak penyewaan tanah diperkenalkan oleh Raffles, kaum tani yang paling ditindas. Ini disebabkan tuan tanah telah mendapat wang pendahuluan daripada penyewa bangsa Eropah. Melalui bayaran wang pendahuluan, pengusaha berkuasa ke atas
tanah dan petani. Seringkali, petani ditindas oleh penyewa yang berusaha memaksimumkan keuntungan.
(iv) Dengan pembatalan kontrak penyewaan tanah, kaum tani sekali lagi tertindas. Tuan tanah dikehendaki membayar balik wang pendahuluan kepada pengusaha. Tuan tanah memaksa petani bekerja lebih keras untuk mendapatkan hasil yang lebih agar mereka dapat membayar balik wang pendahuluan kepada pengusaha.
(v) Golongan bangsawan juga berasa tidak puas hati dengan pembatalan kontrak sewa tanah.
(b) Pelbagai jenis cukai dikenakan ke atas masyarakat Jawa
(i) Selain membatalkan kontrak sewa tanah, Belanda juga mengenakan cukai ke atas tanah orang Jawa. Pemungut cukai kebanyakannya terdiri daripada orang Cina yang mengenakan cukai yang lebih tinggi daripada kadar yang ditetapkan oleh kerajaan. Sekali lagi, masyarakat Jawa tertindas.
(ii) Kerajaan Belanda juga mengenakan tol ke atas orang tempatan yang melalui tanah kerajaan untuk pergi ke ladang mereka di kawasan pedalaman dan balik dari ladang ke tanah kerajaan.
(iii) Tindakan pemungut cukai yang mengenakan kadar tol sesuka hati telah menambahkan kesengsaraan dan kesulitan mereka.
(iv) Pelbagai jenis cukai yang membebankan rakyat, misalnya cukai tanah, cukai rumah, dan cukai binatang ternakan.
(c) Penindasan orang Cina
(i) Orang Cina memberi pinjaman wang kepada orang Jawa dengan kadar faedah yang tinggi.
(ii) Orang Cina menjadi orang tengah dalam perdagangan garam. Mereka membelinya dengan harga yang murah dan menjualnya dengan harga yang tinggi.
Mempertahankan kesucian agama Islam
(a) Pembinaan jalan raya
(i) Keputusan Belanda untuk membina jalan raya melalui tanah perkuburan nenek moyang Diponegoro menyebabkan beliau mengisytiharkan perang jihad terhadap Belanda.
(ii) Belanda enggan mengiktiraf beliau sebagai ketua agama di Jawa. Sebagai wali Allah, Diponegoro bertindak menghalau orang kafir dari tanah Jawa.
(iii) Diponegoro dan masyarakat Jawa menganggap usaha Belanda ini mencabuli adat resam tempatan, tatasusila, nilai-nilai sosial, dan agama Islam.
(b) Peranan Diponegoro sebagai Ratu Adil
(i) Diponegoro ialah seorang yang kuat agama dan berusaha mempertahankan kesucian agama Islam.
(ii) Diponegoro melancarkan Perang jihad untuk memulihkan pemerintahan Islam di Jawa.
(iii) Masyarakat Jawa menyokong Diponegoro kerana mempercayai beliau ialah seorang Ratu Adil yang akan membela nasib dan membebaskan mereka daripada segala penindasan.
(iv) Belanda tidak mengakui Diponegoro sebagai pemimpin Islam di Jawa. Bagi masyarakat Jawa, tindakan ini menunjukkan Belanda tidak menghormati kepercayaan agama Islam.

Perjuangan Diponegoro dalam Perang Jawa (1825 - 1830)
(a) Diponegoro berjaya mendapat sokongan kaum tani, para ulama,golongan bangsawan, dan para bupati. Pengikut Diponegoro ialah Kyai Mojo, Kyai Hasan Besari, Sentot, dan Mangku Bumi. Mereka melancarkan Perang gerila terhadap orang Belanda.
(b) Pada mulanya, Diponegoro berjaya dalam pertempuran berhampiran Lengkong dan Delanggu. Diponegoro dilantik menjadi Sultan dengan gelaran "sultan Abdulhamid Cokro Amirulmukminin Sayidin Panotogomo Khalifatullah Tanah Jowo'. Gelaran tersebut jelas menunjukkan pengaruh agama Islam dalam Perang Jawa.
(c) Perang Jawa berlarutan selama lima tahun. Tentera Diponegoro mengalami kemerosotan apabila ramai daripada mereka mati kebuluran dan diserang penyakit.
(d) Orang kanan Diponegoro iaitu Sentot dan Mangku Bumi berpaling tadahmemihak kepada Belanda. Ini melemahkan perjuangan Diponegoro. Akhirnya, beliau bersetuju berdamai dengan Belanda. Belanda enggan mengiktiraf Diponegoro sebagai Sultan Surakarta dan Ratu Adil.
Kesimpulan
Pada 3 Mei 1830, Diponegoro dan rombongannya diberangkatkan dengan kapal Pollux ke Manado dan ditawan di benteng Amsterdam. Kemudian, mereka dipindahkan ke benteng Rotterdam di Makassar, Sulawesi Selatan.Pada 8 Januari 1855, Diponegoro meninggal dunia dan dimakamkan di kampung Jawa Makassar.
Diponegoro berjuang untuk agama dan bangsa, membela nasib kaum tani dan bangsawan, serta mempertahankan agama Islam.Beliau seorang tokoh nasionalis yang memimpin orang Jawa ke arah satu perjuangan menyelamatkan tanah air (tanah Jawa) daripada penjajahan orang kafir.


1.Huraikan peranan Raja Thibaw semasa pemerintahannya di Myanmar pada pertengahan abad ke-19 hingga awal abad ke-20.



Pengenalan
Raja Thibaw dilahirkan pada tahun 1858 di Mandalay, Myanmar. Raja Tihibaw merupakan anak Raja Mindon Min dengan Puteri Laungshe. Raja hibaw mendalami ajaran agama Buddha di tokong sejak kecil lagi. Baginda pemerintah terakhir Dinasti Konbaung di Myanmar. Beliau memerintah antara tahun 1878-1885.
Politik dan pentadbiran
1.Hubungan dengan Perancis.
Menjalin hubungan dengan Perancis untuk mengekalkan kedaulatan negara.
Raja Thibaw ingin membeli senjata dari Perancis.
wakil Perancis akan ditempatkan di Mandalay
Frederic Haas menasihati Raja Thibaw supaya mengeratkan hubungan dengan British
menubuhkan bank di Mandalay kepada pihak Perancis. Pembinaan jalan kereta api dari Mandalay ke Toungoo adalah atas pembiayaan Perancis.
2.Hubungan dengan British.
Raja Thibaw mengamalkan pemerintahan yang keras dan anti kuasa asing.
British mendapat tahu tentang usaha Raja Thibaw tersebut. Duta British telah menemui dengan wakil Perancis, Fules Ferry dan menyatakan British akan menggunakan kekerasan ke atas Myanmar sekiranya pihak Perancis masih lagi terlibat dalam perkara senjata ini. Pihak Perancis telah memberi jaminan bahawa isu senjata tidak disentuh dalam perjanjian dengan Myanmar
Raja Thibaw tegas dengan pendirian tidak mahu menerima semula Residen British.

Ekonomi
menjalinkan perjanjian perdagangan dengan Perancis dan menghantar wakilnya, Atwinwun ke Paris untuk membuat perjanjian yang ditandatangani pada 1 Januari 1885.
Cuba mendapatkan kembali penguasaan ekonomi Myanmar dari British
Tindakan Raja Thibaw terhadap Syarikat Perdagangan Bombay-Myanmar
mengemukakan perkara terhadap syarikat tersebut:
(a) Mengeluarkan kayu jati melebihi dua kali ganda daripada yang
dibenarkan.
(b) Memberi rasuah kepada pegawai kerajaan.
(c) Tidak memberi upah yang sewajarnya kepada pekerja-pekerja Myanmar seperti yang dijanjikan.
Syarikat ini didenda sebanyak 23 juta rupee

British menganggap hukuman Raja Thibaw terhadap syarikat tersebut tidak adil lalu bersiap sedia untuk bertindak secara kekerasan terhadap Myanmar.
Kesimpulan
Raja Thibaw berusaha mempertahankan kedaulatan Myanmar Hulu.
Untuk memelihara kedaulatan Myanmar Thibaw menjalin hubungan dengan Perancis.

Baginda kalah dalam Perang British-Myanmar III pada 29 November1885 dan dibuang negeri ke India.

Tuesday, September 12, 2017

Langkah-langkah mencapai kemerdekaan di Myanmar secara berperlembagaan.

oleh-AHMAD BIN YAAKOB
Hasil Pembelajaran- Menghuraikan langkah-langkah mencapai kemerdekaan.

Pejuang nasionalis Myanmar telah menjalin kerjasama dengan Jepun sebelum pendudukan Jepun di Myanmar lagi. Pejuang nasionalis  radikal seperti Aung San dan 30 orang Thakin yang telah melarikan diri ke Jepun akibat penentangan mereka terhadap British dan mereka menubuhkan Tentera Kemerdekaan Burma (TKB) pada tahun 1941.[1]

      Pada1 Ogos1943, pentadbiran tentera Jepun dibubarkan dan Myanmar diistiharkan merdeka oleh Jepun dan Dr Ba Maw dilantik sebagai Perdana Menteri. Aung San sebagai Menteri Pertahanan dan U Nu sebagai Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri. Meskipun begitu, pentadbiran Jepun masih mengusai pelbagai bidang seperti pengangkutan dan perusahaan. Dr Ba Maw terpaksa tunduk kepada kehendak tentera Jepun.Myanmar juga dikehendaki memberikan sokongan kepada Jepun dalam menentang British.[2]

      Keadaan ekonomi semakin teruk ketika di bawah pemerintahan Jepun telah menyedarkan rakyat Myanmar bahawa mereka telah dipegunakan untuk kepentingan Jepun. Ini kerana keadaan ekonomi semasa pemerintahan British adalah lebih baik berbanding semasa pemerintahan Jepun.[3]

  Aung San  dan kumpulan Thakin tidak puas hati kerana DrBa Maw diperalat oleh Jepun menyebabkan Aung San bertindak mengistiharkan sokongan kepada pihak Berikat. Aung San telah menubuhkan Liga Pembebasan Rakyat Anti-Fasis sebagai sebuah pertubuhan anti-Jepun dan menjalankan aktiviti anti-Jepun.

      Ia bertujuan menentang Jepun untuk mendapatkan kemerdekaan penuh bagi Myanmar apabila Jepun kembali semula.Dalam usaha penentangan ini mereka telah memusnahkan kawasan yang dianggap strategik. Aung San telah memberi sokongan keada Britsih dalam menawan semula Myanmar dan menghalau Jepun.LPAF telah membantu Lord Louis Mounbatten mengalahkan Jepun pada tahun 1945.[4]

      Aung San telah berusaha untuk mendapat sokongan daripada golongan Karen, Kachin dan Chui serta membebaskan Liga Pembebasan Rakyat Anti-Fasis daripada pengaruh komunis dalam menyakinkan British untuk mendapatkan kemerdekaan Myanmar.[5]

      Pada bulan Disember 1946, pihak British menjemput pemimpin Myanmar menghantar satu rombongan kemerdekaan ke England. Hasilnya ialah Perjanjian Atlee-Aung San ditandatangani. Antara isu yang dibincangkan ialah;
1.Pilihanraya umum akan diadakan empat bulan selepas Perjanjian Atlee-Aung San.
2.Kabinet Aung San diakuiBritish sebagai kerajaan sementara menjelang pilihanraya kebangsaan.
3.British akan menyokong penyertaan Myanmar dalam pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.
4.Sebuah Dewan Perlembagaan dibentuk.
5.British akan melantik seorang Pesuruhjaya Tinggi ke Myanmar.
6.Negeri-negeri kecil di sempadan bebas memilih sama ada ingin bergabung dengan Myanmar atau sebaliknya.

      Dengan Perjanjian Atlee-Aung San, Aung San pulang ke tanah air dengan penuh keyakinan. Semua ahli rombongan kecuali U Saw dan Ba Sein menyokongnya. Parti Komunis melancarkan mogok serta memusnahkan landasan keretapi.

      Walau bagaimanapu, pilihanraya umum diteruskan pada bulan April 1947. Liga Pembebasan Rakyat Anti-Fasis mendapat kejayaan. U Ni dilantik sebagai Presiden.  Pemimpin utama Myanmar, Aung San dibunuh oleh orang upahan U Saw. Dengan ini U Nu dilantik sebagai pemimpin Liga. Dengan beberapa orang pemimpin Thakin yang lain dalam Dewan Perlembagaan, U Nu meneruskan usaha menggubal perlembagaan baru Myanmar.

      Satu rombongan yang diketuai oleh U Nu bertolak ke London dan menandatangani Rang Undang-Undang Kemerdekaan Myanmar yang menyerahkan kerajaan Myanmar kepada Presiden Kesatuan Myanmar.[6]        
  
2.menggalurkan penentangan rakyat secara bersenjata.
3.2.3 Kemerdekaan di Myanmar dan Indonesia abad ke-20.
1.Langkah-langkah mencapai kemerdekaan.






[1] “Perjuangan Mencapai Kemerdekaan”,dalam Modul Pengajaran dan Pembelajaran STPM Sejarah Penggal 3,138.
[2] Ruslan Zainuddin dan Abd Sukor Yusuf,AceAhead Teks STPM Sejarah Malaysia dan Asia Tenggara (1800-2000)Penggal 3 , (Shah Alam: Oxford Fajar,2013) ,337.  
[3] Ibid,337
[4] “Perjuangan Mencapai Kemerdekaan”,138.
[5] Ruslan Zainuddin dan Abd Sukor Yusuf,AceAhead Teks STPM Sejarah Malaysia dan Asia Tenggara (1800-2000)Penggal 3 ,338.
[6] Ong Loo Chen, Pra U Teks STPM Penggal 3, (Bandar Baru Bangi:Penerbitan Pelangi Sdn. Bhd.,2015),368.