Monday, November 6, 2017

2. PERBEZAAN FUNGSI EKONOMI TELAH MENJADI FAKTOR UTAMA YANG MENDORONG PEMBENTUKAN MASYARAKAT MAJMUK DI TANAH MELAYU PADA AWAL ABAD KE-20. SEJAUH MANAKAH PERNYATAAN DI ATAS BENAR.



A. Pengenalan.
- Pada awal abad ke – 20, masyarakat majmuk muncul di Tanah Melayu akibat perkembangan ekonomi British. Penghijrahan orang Cina dan orang India ke Tanah Melayu telah mewujudkan tiga kumpulan masyarakat di Tanah Melayu. Orang Melayu merupakan penduduk peribumi di Tanah Melayu. Menurut J.S Furnival, masyarakat majmuk didefinisikan sebagai satu kelompok masyarakat di mana tidak wujud interaksi atau perhubungan dalam kalangan kaum.
- Perbezaan fungsi ekonomi sememangnya telah menjadi faktor utama yang telah mendorong pembentukan masyarakat majmuk di Tanah Melayu pada awal abad ke-20. Namun begitu, terdapat banyak faktor lain telah mendorong pembentukan masyarakat majmuk di Tanah Melayu.
B. Isi-isi.
a. Perbezaan fungsi ekonomi.
-  Faktor yang mendorong pembentukan masyarakat majmuk di Tanah Melayu ialah perkembangan ekonomi kapitalis yang menyebabkan perbezaan dalam fungsi ekonomi. Perbezaan fungsi ekonomi membawa kepada pengenalan kaum mengikut kegiatan ekonomi mereka.
- Perkembangan ekonomi komersial didorong oleh golongan imigran Cina yang terlibat dalam bidang perniagaan dan perlombongan bijih timah. Imigran India pula tertumpu di kawasan ladang getah dan sebilangannya tinggal di bandar untuk bekerja sebagai kerani dan buruh di pelabuhan. Orang Melayu masih kekal dalam sistem ekonomi tradisional dengan bekerja sebagai petani dan nelayan.
- Perbezaan dalam fungsi ekonomi telah memisahkan ketiga – tiga kaum tersebut dan secara tidak langsung mewujudkan masyarakat majmuk.
Faktor LAIN pembentukan masyarakat majmuk.
b. Perbezaan petempatan
- British ingin terus mengekalkan orang Melayu dalam ekonomi tradisional kerana tidak mahu masyarakat Melayu terdedah kepada pengaruh luar. British berasa bimbang jika pendedahan kepada pengaruh luar akan melahirkan golongan penentang dalam masyarakat Melayu. Oleh itu, orang Melayu kekal tinggal di kampung-kampung untuk mengekalkan status qou.
- British juga menggalakkan kemasukan pelabur asing dan penghijrahan golongan buruh dari negara China dan India yang terlibat dalam ekonomi moden. Masyarakat Cina ditempatkan di kawasan lombong yang akhirnya berkembang menjadi bandar-bandar.
- Kebanyakkan orang India pula ditempatkan dan tinggal menetap diladang-ladang atau estet dan segelintir tinggal di bandar. British tidak menggalakkan sebarang usaha asimilasi dalam kalangan tiga kaum di Tanah Melayu pada masa itu.
c. Perbezaan bahasa.
- Masyarakat majmuk juga wujud apabila ketiga – tiga kaum mengamalkan bahasa yang berbeza. Orang Cina yang berhijrah ke Tanah Melayu bertumpu di kawasan perlombongan bijih timah di sekitar Kuala Lumpur, Ipoh dan Seremban. Mereka hidup berkelompok dalam puak masing – masing. Hubungan sosial dalam kalangan puak Cina juga tidak erat kerana mempunyai dialek yang berbeza.
- Orang India pula terdiri daripada pelbagai kumpulan etnik yang berbeza seperti Tamil, Telegu, Punjabi dan sebagainya. Setiap kelompok ini menggunakan bahasa masing – masing, maka pergaulan antara mereka juga tidak erat .
- perbezaan semakin jelas apabila orang Cina, India dan Melayu bertutur dalam bahasa masing-masing iaitu bahasa Melayu, bahasa Tamil, Cina dan Inggeris.
d. Perbezaan pengamalan budaya
-Setiap kumpulan masyarakat hidup secara berasingan. Mereka terus mengekalkan budaya masing – masing seperti pakaian, adat resam, makanan, tradisi dan perayaan.
e. Sistem pendidikan.
- Setiap masyarakat juga mempunyai sistem pendidikannya yang tersendiri. Sistem pendidikan tersebut mengukuhkan lagi sifat kemajmukan masyarakat di Tanah Melayu.
- Masyarakat peribumi, iaitu orang Melayu mendapat pendidikan berdasarkan agama Islam di sekolah – sekolah pondok. British juga menubuhkan sekolah – sekolah Melayu. Sistem pendidikan tempatan kurang berkualiti. Masyarakat tempatan hanya diajar membaca, menulis dan mengira.
- Pendidikan orang Cina pula berasaskan negara China dan menggunakan bahasa pengantar bahasa Cina. Guru – guru, sukatan pelajaran dan buku – buku digunakan juga dibawa dari negara China.
- Orang India pula menubuhkan sekolah – sekolah Tamil di ladang – ladang untuk memberikan pengetahuan asas kepada orang India. Mata pelajaran yang diajar juga berdasarkan negara India.
f. Perbezaan agama.
- Satu lagi faktor yang mendorong pembentukan masyarakat majmuk ialah perbezaan agama. Setiap kumpulan etnik menubuhkan institusi dan tempat beribadat masing – masing. Masyarakat Melayu yang beragama Islam membina surau dan masjid.
- Masyarakat India yang beragama Hindu pula membina kuil di ladang – ladang untuk beribadat dan menjalankan upacara keagamaan.
- Masyarakat Cina yang mengamalkan agama Buddha dan menyembah nenek moyang pula membina tokong dan pagoda mereka di bandar. Setiap kaum menubuhkan institusi sosial dan persatuan masing – masing untuk menjaga kepentingan sendiri. Penubuhan persatuan – persatuan tidak rasmi juga mampu melindungi dan mengekalkan identiti setiap kaum di Tanah Melayu.
C. Kesimpulan.
- Tuntasnya, selain perbezaan fungsi ekonomi terdapat banyak faktor yang telah mendorong pembentukan masyarakat majmuk di Tanah Melayu pada awal abad ke-20. Pembentukan masyarakat majmuk yang wujud telah melebarkan jurang perbezaan kaum di Malaysia.  Perubahan hanya berlaku selepas kemerdekaan apabila kerajaan mementingkan perpaduan  kaum bagi menjamin kedudukan politik dan ekonomi serta mengelakkan tragedi 13 Mei dari berulang. 
SUMBER-

JPN PAHANG SKEMA PERCUBAAN STPM P3 940/3

SOALAN 1 Bandingkan ciri-ciri ekonomi tradisional dan ekonomi komersil di Tanah Melayu sebelum campur tangan British



SET 2 KELANTAN
SOALAN 1

A) PENGENALAN
1. Sebelum campur tangan British, sistem ekonomi Tanah Melayu bersifat ekonomi tradisional. Tiada penggunaan teknologi moden. Tenaga utama dalam kalangan ahli-ahli keluarga. Rakyat jelata memainkan peranan mengusahakan ekonomi tradisional dari peringkat awal hingga ke peringkat pengeluarannya. Tidak ada dorongan untuk mengeluarkan lebihan tanaman kerana cukai yang selalunya dikenakan adalah tinggi. Tanah-tanah boleh diusahakan sesuka hati atau hanya perlu meminta kebenaran pembesar kerana tanah dianggap milik raja.
2. Manakala ekonomi komersil pula merujuk kepada aktiviti ekonomi menjuruskan kepada lebihan pengeluaran. Kegiatannya berlandaskan perdagangan, perlombongan dan pertanian dagangan secara eksport.  Pemodalnya terdiri daripada raja dan pembesar dan mereka memonopoli kegiatan ekonomi yang dijalankan secara komersil ini.
B. ISI
a. Ciri-Ciri Ekonomi Tradisional
1. Ekonomi tradisional tiada pengkhususan kerja. Dijalankan oleh rakyat biasa. Mereka melakukan pelbagai jenis kegiatan ekonomi seperti bertani, nelayan, mencari hasil hutan dan sebagainya.  Tidak ada pembahagian tugas kecuali antara lelaki dengan wanita atau orang tua dan kanak-kanak.  Orang tua dan kanak-kanak biasanya diberi kerja yang ringan dan setiap pekerjaan melibatkan semua anggota.
2. Kegiatan ekonomi pula berkait rapat dengan persekitaran tempat tinggal dan keluasan kawasan ekonomi yang terhad.  Ia bergantung kepada tempat tinggal sama ada berhampiran dengan laut, sungai kawasan sawah ataupun kawasan pendalaman.
3. Ekonomi tradisional juga menggunakan alatan tradisional. Contohnya alat menangkap ikan mereka gunakan jala, bubu, kail dan dalam bidang pertanian pula mereka menggunakan binatang, cangkul, sabit, parang dan sebagainya. Tenaga ahli-ahli keluarga digunakan dari peringkat awal hingga ke peringkat pengeluaran
4. Ciri-ciri ekonomi tradisional juga dijalankan amalan bergotong royong dan berderau. Ia dilakukan bersama atau secara berkumpulan untuk mempercepatkan sesuatu pekerjaan.
5. Hasil yang dikeluarkan terhad dan tiada lebihan hasil. Ekonomi yang dilaksanakan adalah untuk keperluan keluarga sahaja dan modal yang dikeluarkan sangat terhad.
6. Jenis ekonomi tradisional seperti pertanian padi huma, menangkap ikan, mencari hasil hutan, memburu binatang, pertukangan dan perlombongan secara kecil-kecilan.
b. Ekonomi Komersil
1. Manakala ekonomi komersil pula dilaksanakan oleh golongan pemerintah.  Raja dan pembesar biasanya menjadi pemodal dan ekonomi diusahakan oleh meraka yang berpengalaman dan ada kepakaran melaksanakannya.  Pembesar juga akan jadi usahawan, menguasai dan mengawasi perdagangan import dan eksport.  Mereka juga melantik wakil tertentu untuk menjalankan perniagaan yang dikenali sebagai kiwi.
2. Ekonomi komersil juga melibatkan penggunaan mata wang.  Pada tahun 1800-an negeri Melayu mempunyai mata wang sendiri.  Barang berharga seperti emas, perak atau tembaga dijadikan sebagai mata wang.  Pada abad ke-19 urus niaga di Negeri Sembilan, Pahang, Selangor dan Perak menggunakan mata wang timah yang dikenali sebagai jongkong tampang yang berbentuk separuh piramid atau pagoda.
3. Tempat berlakunya jual beli biasanya di pelabuhan, kuala sungai, kawasan pasar yang strategik seperti di bandar dan pusat-pusat pentadbiran.
4. Wujudnya perdagangan dengan luar negara dan pelabur daripada luar negara. Perniagaan dijalankan di muara sungai yang menjadi pelabuhan persinggahan, pelabuhan yang mejadi tempat persingahan saudagardari Asia Tenggara, Cina, Arab, India dan sebagainya. Contohnya di Selat Melaka, Kuala Terengganu, Kota Bharu, Kuantan, Pahang, Pulau Pinang dan sebagainya.  Ia juga melibatkan pelaburan asing yang datang melabur.
5. Manakala jenis-jenis ekonomi komersil seperti pertanian padi sawah secara komersil seperti di Kedah dan Kelantan. Lada hitam, gambir, nenas, tebu,dan ubi kayu ditanam secara ladang.  Aktiviti perlombongan dijalankan secara besar-besaran.  Ekonomi komersil juga melibatkan perdagangan dan pelaburan.

C) KESIMPULAN
1. Kesimpulannya, sistem ekonomi Tanah Melayu sebelum campur tangan Barat merupakan sistem ekonomi tradisional dengan tumpuannya ke atas pertanian dan sistem ekonomi secara kecil-kecilan.

2. Tanah Melayu begitu kaya dengan hasil alam sehingga perdagangan dapat dijalankan dengan negara-negara Eropah dan negeri-negeri Selat sejak awal abad ke- 19 lagi.

3. Kekayaan hasil bumi ini juga menarik ramai saudagar Cina dan Eropah menanam modal dalam perusahaan pertanian dagangan dan perlombongan
sumberr-JPN KELANTAN

Sunday, November 5, 2017

RUKUN NEGARA

OLEH-AHMAD BIN YAAKOB
      Malaysia mempunyai ideologi negara yang dikenali sebagai Rukun Negara. Ideologi negara ini digubal sebagai sebahagian daripada usaha kerajaan untuk menyatukan rakyat dan membimbing mereka ke arah perpaduan. Rukun Negara dihasilkan melalui penyatuan idea dan pemikiran pelbagai kaum yang peka terhadap keperluan untuk mewujudkan sebuah negara yang bukan sahaja mempunyai identiti sendiri, tetapi juga berkongsi pegangan yang sama.

      Rukun Negara telah diisytiharkan pada 31 Ogos 1970 sebagai satu susunan prinsip hidup bermasyarakat yang mengadungi nilai0nilai kenegaraan dan norma-norma sosial yang mencakupi seluruh aspek kehidupan bernegara seperti agama, budaya, politik, ekonomi dan perundangan. Setiap prinsip itu berperanan melahirkan sebuah negara yang rakyatnya hidup bersatu-padu, aman dan harmoni.[1]   

OBJEKTIF RUKUN NEGARA
      Rukun Negara menggariskan cita-cita murni negara untk mewujudkan satu masyarakat Malaysia yang bersatu, demokratik, adil, liberal dan progresif. Hasrat ini berpandukan kepada lima objektif yang termaktub dalam Rukun Negara, iaitu;
a)mewujudkan  perpaduanyang lebih erat dalam kalangan seluruh masyarakat..
b)memelihara cara hidup yang demokratik.
c)mencipta satu masyarakat yang adil supaya kemakmuran negara dapat dinikmati bersama secara adil dan saksama.
d)membentuk satu sikap yang liberal terhadap tradisi kebudayaan yang kaya dan pelbagai corak.
e)membina sebuah masyarakat progresif berlandaskan sains dan teknologi moden.

      Kelima-lima objektif di atas terkandung dalam lima prinsip berikut;
a)Kepercayaan kepada Tuhan.
b)Kesetiaan kepada Raja dan Negara.
c)Keluhuran Perlembagaan.
d)Kedaulatan Undang-Undang.
e)Kesopanan dan Kesusilaan.

      Penerimaan seluruh rakyat Malaysia terhadap prinsip-prinsip Rukun Negara dan mengamalkannya dalam kehidupan masing-masing dapat membantu usaha ke arah melahirkan perpaduan yang kukuh dalam kalangan rakyat tanpa mengira keturunan atau kaum. Langkah ini dapat menghapuskan perasaan kegelisahan rakyat, tekanan hidup dan mengurangkan krisis dalam kehidupan masyarakat dan negara serta menjamin kestabilan politik dan sistem kerajaan yang berlandaskan amalan demokrasi.[2]  

PRINSIP-PRINSIP RUKUN NRGARA
      Agama merupakan asas dalam kehidupan untuk memandu seseorang bertindak melakukan kebaikan dan menghindari segala bentuk kejahatan. Setiap kaum di Malaysia menganuti pelbagai agama seperti Islam, Buddha, Hindu, Kristian, Sikh dan lain-lain. Islam merupakan agama rasmi bagi Persekutuan tetapi agama lain masih bebas diamalkan supaya setiap warganegara akan patuh kepada agama yang dianuti. Malaysia menghormati kebebasan beragama dan tidak ada dasar diskriminasi kepada warganegara atas dasar kepercayaan agama masing-masing.[3]
KESETIAAN KEPADA RAJA DAN NEGARA
Malaysia merupakan sebuah negara yang mengamalkan sistem beraja dengan Yang di-Pertuan Agong menjadi ketua negara dan lambang perpaduan rakyat. Seiring dengan kedudukan baginda sebagai raja berperlambagaan , sistem beraja juga diamalkan di setiap negara beraja dan Yang Dipertua Negeri bagi negeri-negeri yang tidak beraja.

      Kesetiaan kepada Raja dan Negara bermaksud setiap warganegara hendaklah memberi sepenuh taat setia kepada Yang di-Pertuan Agong. Manakala di peringkat negeri, rakyat hendaklah memberi taat setia kepada Raja dan Yang Dipertua Negeri masing-masing, selain kesetiaan kepada Yang di-Pertuan agong.

      Sikap kesetiaan ini merupakan nilai yang amat berharga dan menjadi ikatan dalam memupuk kecintaan rakyat kepada negara. Kesetiaan yang tidak berbelah bagi kepada Raja dan Negara merupakan antara faktor yang boleh menyatukan rakyat Malaysia yang berbilang kaum. Oleh itu sebarang usaha yang cuba mengalihkan kesetiaan rakyat kepada Raja dan Negara adalah satu unsur yang jelas bertentangan dengan prinsip Rukun Negara.

      Prinsip ini juga bertujuan untuk melahirkan rakyat yang bertanggungjawab dan sanggup berkorban demi kepentingan negara. Pegangan teguh kepada prinsip ini dipercayai dapat melahirkan rakyat yang mematuhi undang-undang dan menjada harta awam, menghormati simbol-simbol yang menjadi lambang kedaulatan negara, produktif dan berusaha untk memelihara nama baik negara sepanjang masa, sanggup menyumbang tenaga untuk pembangunan negara dan masyarakat dan bersedia untuk mempertahankan negara daripada ancaman luar.[4]

      Di Malaysia Perlembagaan Persekutuan merupakan undang-undang tertinggi negara yang berfungsi memberi hak dan keistimewaan kepada setiap warganegara. Oleh itu setia rakyat telah digariskan tanggungjawab mereka terhadap negara dan perlu menghormati latar belakang serta sejarah perlembagaan tersebut.

      Setiap rakyat hendaklah menerima, mematuhi dan mempertahankan kemuliaan Perlembagaan berdasarkan beberapa perkara asas tersebut iaitu;
a)konsep raja berperlembagaan
b)kedudukan istimewa orang Melayu dan kaum Bumiputera yang lain.
c)Islam sebagai agama bagi Persekutuan dan mengamalkan kebebasan beragama
d)bahasa Melayu adalah bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi kebangsaan dan bahasa rasmi serta kebebasan menggunakan bahasa ibunda masing-masing.
e)jaminan tentang hak dan kebebasan asasi rakyat.

KEDAULATAN UNDANG-UNDANG
      Kedaulatan undang-undang merupakan asas kepada prinsip keadilan di Malaysia untuk memberi kebebasan asasi kepada rakyatnya. Ini menjamin kebebasan rakyat untuk bersuara, beragama, perlindungan di sisi undang-undang, kebebasan memiliki harta dan lain-lain lagi.

      Kebebasan rakyat tersebut masih dikawal dengan peraturan dan batasan tertentu supaya tidak disalahguna bagi pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab. Undang-Undang negara perlu dipatuhi supaya kehidupan rakyat aman dan damai serta menjamin kemajuan negara tanpa sebarang halangan.[5]    

KESOPANAN DAN KESUSILAAN
      Mengikut prinsip ini, setiap individu dan kumpulan dalam masyarakat dikehendaki bertindak dan berkelakuan secarasopan dan bertatasusila. Mereka juga harus mempunyai moral yang tinggi, menghormati orang lain dan tidak membangkitkan perkara-perkara yang boleh  menyentuh sensitiviti mana-mana kaum., terutamanya berkaitan asal-usul keturunan, bahasa, agama, kebudayaan dan kepercayaan.

      Jika amalan ini dapat dipatuhi oleh setiap warganegara, hubungan baik yang sedia terjalin antara kaum akan terus berkekalan dan rakyat hidup dalam suasana muhibah tanpa sebarang perasaan prasangka antara satu sama lain.[6]


[1]Ruslan Zainuddin dan Abd Sukor Yusof, Ace Ahead Teks STPM Sejarah Malaysia Dan Asia Tenggara (1800-2000) Penggal 3 Edisi Kedua.(Shah Alam: Oxford Fajar, 2017),212.
2i]Ruslan Zainuddin dan Abd Sukor Yusof, Ace Ahead Teks STPM Sejarah Malaysia Dan Asia Tenggara (1800-2000) Penggal 3 Edisi Kemaskini.(Shah Alam: Oxford Fajar, 2014), 229.
[3] S.B.Teoh,Norizan Yusoff dan Nurul Huda Md Yusop, Sejarah STPM Penggal 3, (Shah Alam: SAP PUBLICATIONS (M) SDN. BHD,2014), 179.
[4]Ruslan Zainuddin dan Abd Sukor Yusof, Ace Ahead Teks STPM Sejarah Malaysia Dan Asia Tenggara (1800-2000) Penggal 3 Edisi Kemaskini.230
[5]S.B.Teoh,Norizan Yusoff dan Nurul Huda Md Yusop, Sejarah STPM Penggal 3,180.  
[6]S.B.Teoh,Norizan Yusoff dan Nurul Huda Md Yusop, Sejarah STPM Penggal 3,