Sunday, October 2, 2016

4. Bincangkan susun lapis masyarakat di Indonesia sebelum kedatangan kuasa barat.



A. Pengenalan.
Sebelum kedatangan Belanda masyarakat di Indonesia boleh dibahagikan kepada dua golongan iaitu golongan pemerintah dan golongan diperintan. Golongan pemerintah terdiri dari raja/sultan, anak-anak raja, bangsawan, pembesar, priyayi dan pemimpin agama. Manakala golongan diperintah ialah rakyat biasa kebanyakannya adalah petani serta hamba merupakan lapisan yang paling bawah. Setiap golongan ini mempunyai peranan dan tanggung jawabnya yang tersendiri.
B. Isi-isi.
Golongan Pemerintah.
1. Raja/Sultan.
Raja/Sultan berada pada kedudukan teratas dalam hierarki sosial  masyarakat Indonesia. Contohnya di Acheh dan Pulau Jawa. Sultan Acheh merupakan ketua agama Islam dan menjadi pelindung masyarakatnya. Sultan juga berkuasa mutlak dalam pemerintahan di wilayah jajahan takluknya. Baginda juga dianggap istimewa mempunyai sifat luar biasa dan berdaulat. Sultan dianggap Khalifah Allah dan pemimpin bagi umat Islam.
2. Kerabat Diraja.
Kerabat diraja membantu raja/sultan dalam pentadbiran di peringkat pusat dan mendiami kawasan ibu kota. Selain menjalankan tugas pentadbiran, mereka juga melaksanakan upacara keagamaan dan ritual di wilayah atau kerajaan mereka. Golongan pemerintah ini menguasai tanah dan perdagangan maritim. Terdapat juga raja dan kerabat diraja yang memerintah negeri yang terdiri daripada beberapa kumpulan etnik, contohnya Jawa, Sumatera dan Kalimantan. Golongan ini dapat mengumpul harta dan menghantar anak-anak mereka ke sekolah. Di Jawa, raja, kerabat diraja dan golongan bangsawan agak terasing daripada masyarakat disebabkan pengaruh agama dan tradisi. Golongan keturunan diraja dibahagi mengikut darjat keturunan masing-masing yang mempunyai status dan prestij tersendiri dalam masyarakat.
3. Pembesar/Uleebalang/Priyayi.
Lapisan seterusnya diikuti oleh golongan bangsawan yang terdiri daripada kerabat diraja dan bukan kerabat diraja. Di Jawa, golongan priyayi atau bangsawan menjadi penghubung antara sultan dan rakyat. Hubungan antara keduanya amat rapat. Mereka juga merupakan pemimpin kerohanian atau agama dalam masyarakat Jawa. Priyayi kebiasaannya mempunyai hubungan kekeluargaan dengan sultan atau kerabat diraja. Golongan ini juga berkuasa ke atas masyarakat peribumi dan ketua tempatan (bupati). Sementara di Acheh, kerabat diraja merupakan keturunan bekas sultan yang pernah memerintah Acheh. Pembesar atau Uleebalang juga mempunyai kedudukan yang tinggi dalam hierarki sosial di Indonesia terutamanya di Acheh. Mereka menggunakan gelaran Teuku dan merupakan tulang belakang pemerintahan dan pertahanan.
4. Ulama
Di Acheh, ulama menjadi penasihat agama Islam kepada sultan. Memunyai kedudukan tertinggi dan dihormati kerana ketinggian ilmu agamanya serta sering menjadi rujukan masyarakat. Ulama diberi gelaran Tengku sesuai dengan kedudukannya dalam masyarakat.

Golongan Diperintah.
1. Rakyat.
Rakyat terdiri dari pelbagai lapisan masyarakat. Mereka menjalankan aktiviti pertanian dan perikanan contohnya menjadi petani, nelayan, pelaut dan pedagang. Golongan rakyat khususnya petani tidak memiliki tanah tetapi menyewa tanah daripada golongan bangsawan. Mereka bercucuk tanam sebagai aktiviti harian seperti menanam padi. Rakyat memberi khidmat dengan mengerjakan tanah milik bangsawan, melaksanakan tugas yang diberikan dan menjadi askar dalam peperangan apabila raja/tuan tanah terlibat dalam peperangan. Rakyat yang kebanyakan petani membayar cukai dan amat setia kepada golongan pemerintah. Petani merupakan majority dalam masyarakat menjadi tunjang kegiatan ekonomi di Indonesia yang merupakan sebuah negara agraria.

2. Hamba.
Hamba memduduki lapisan paling bawah. Kehidupan mereka bergantung kepada tuan tanah. Golongan ini biasanya dibebani dengan hutang- piutang.

C. Kesimpulan.
Masyarakat peribumi di Indonesia terpengaruh dengan unsur agama dan kepercayaan. Keadaan tersebut menyebabkan mereka terlalu mentaati raja mereka. Selepas penjajahan Belanda, susun lapis masyarakat di Indonesia mulai berubah. Kedudukan dan kuasa tradisi golongan bupati mulai merosot kerana mereka digantikan oleh pegawai Eropah atau golongan yang berpendidikan barat. Golongan priyayi dan pembesar tempatan dibayar gaji. Sultan juga kehilangan kuasa memerintah.



SUMBER- SKEMA PERCUBAAN SEJARAH STPM P3 NEGERI PAHANG 2016


3. Jelaskan peranan Yang di-Pertuan Agong dalam sistem pentadbiran dan pemerintahan di Malaysia.



A. Pengenalan.
Ketua negara Malaysia ialah Yang di-Pertuan Agong (YDPA). Baginda merupakan Raja Berperlembagaan dan tertakluk kepada Perlembagaan Malaysia. Jawatan baginda diwujudkan sejak tahun 1957 mengikut Perlembagaan Malaysia. YDPA merupakan lambang kedaulatan dan ketertinggian kuasa negara. Baginda menjadi tumpuan taat setia seluruh rakyat tanpa mengira bangsa dan kaum. YDPA dipilih oleh Majlis Raja – Raja dalam kalangan sembilan orang sultan Melayu mengikut peraturan pemilikan yang terkandung dalam Perlembagaan Malaysia. Jawatan YDPA dipegang secara bergilir – gilir dan bukan diwariskan mengikut keturunan. Jawatan YDPA dipegang selama lima tahun oleh setiap raja yang dipilih untuk memegang jawatan tersebut. YDPA tidak memiliki kuasa mutlak kerana baginda terikat dengan kuasa Perlembagaan Persekutuan. YDPA menjalankan kuasa pemerintahan negara berdasarkan nasihat Perdana Menteri.

B. Isi-isi.
YDPA merupakan ketua negara. Antara peranan atau tugas yang dilaksanakan oleh YDPA ialah pemerintah tertinggi angkatan tentera bersenjata Persekutuan Malaysia. Baginda merupakan lambang kedaulatan dan menjadi penaung kepada kekuatan negara. Majlis Angkatan Tentera dibawah kuasa am YDPA bertanggungjawab untuk memerintah, menjaga tatatertib, mentadbir dan menguruskan segala perkara yang berhubung dengan angkatan tentera. Baginda juga berkuasa untuk menjatuhkan hukuman, mengampunkan dan menangguhkan hukuman bagi kesalahan yang dibicarakan dalam mahkamah tentera. YDPA juga berkuasa mengampunkan kesalahan – kesalahan lain di dalam Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Labuan dan segala hukuman dijatuhkan dalam mahkamah syariah di Melaka, Pulau Pinang, Sabah, Sarawak dan Wilayah Persekutuan.
Dari aspek agama, YDPA ialah ketua agama Islam bagi negeri - negeri yang tidak beraja seperti Pulau Pinang, Melaka, Sabah, Sarawak dan Wilayah Persekutuan. YDPA merupakan pelindung dan penaung agama Islam di kawasan – kawasan tersebut. YDPA juga menjadi ketua agama Islam bagi negeri baginda sendiri.
Dalam bidang perundangan, YDPA bertanggungjawab untuk memperkenankan rang undang – undang yang diluluskan oleh Dewan Rakyat dan Dewan Negara sebelum diisytiharkan menjadi undang – undang yang sah. Semua perlaksanaan undang – undang yang diluluskan oleh Parlimen memerlukan pengiktirafan baginda sebelum dikuatkuasakan. Baginda mestilah mengiktiraf undang – undang yang baharu dalam tempoh 30 hari selepas diluluskan oleh Parlimen. Sekiranya baginda tidak bersetuju dengan rang undang – undang, baginda boleh merujuknya kepada Parlimen untuk dibincangkan semula.
Selain itu, YDPA mempunyai kuasa untuk melantik Perdana Menteri, Hakim dan Jemaah Menteri. Baginda juga berkuasa melantik dan mewujudkan jawatan Jemaah Menteri atas nasihat Perdana Menteri. Baginda berkuasa melantik anggota Jemaah Menteri selepas berunding dengan Majlis Raja – Raja. YDPA juga bertanggungjawab untuk melantik Ketua Hakim Negara Mahkamah Agong  dan hakim – hakim mahkamah tinggi. YDPA turut bertanggungjawab untuk memelihara kedudukan istimewa masyarakat Melayu dan kaum bumiputera di Sabah dan Sarawak.
Seterusnya, YDPA juga berkuasa untuk memanggil, menangguh dan membubarkan Parlimen atas nasihat Perdana Menteri. Tiada orang lain yang berhak melaksanakan tanggungjawab tersebut. Baginda juga boleh menolak permintaan untuk membubarkan Parlimen jika belum cukup tempoh lima tahun. Baginda boleh memberikan ucapan dalam Dewan Rakyat dan Dewan Negara. Di samping itu, YDPA boleh meminta supaya diadakan Mesyuarat Majlis Raja – Raja tentang keistimewaan, kedudukan, kemuliaan dan kebesaran Raja – Raja Melayu.
Di samping itu, YDPA juga bertanggungjawab mentauliahkan duta – duta yang dihantar ke luar negara dan menerima tauliah duta dari negara asing. Baginda juga perlu menyambut tetamu luar negara yang setaraf dengan baginda seperti Ratu England atau Maharaja Jepun. Baginda juga berperanan menganugerahkan pingat kehormat kepada orang yang telah berjaya atau berjasa kepada negara.
Baginda juga mempunyai kuasa mengisytiharkan Undang-undang Darurat di bawah “Undang-undang X” jika didapati keselamatan negara terancam. YDPA juga bertanggungjawab untuk menjaga keselamatan rakyat secara menyeluruh.

C. Kesimpulan
 YDPA sebagai ketua negara memikul peranan dan tanggungjawab tidak terhad di dalam dan luar negara. Namun dalam menjalankan kuasa eksekutif, baginda bertindak atas nasihat Perdana Menteri. YDPA adalah simbol keunikan sistem pemerintahan beraja berpelembagaan yang diamalkan di negara kita sejak mencapai kemerdekaan sehingga hari ini.
SKEMA 

PERCUBAAN SEJARAH STPM P3 NEGERI PAHANG 2016


2. Terangkan faktor – faktor yang mendorong pembentukan masyarakat majmuk di Tanah Melayu pada awal abad ke – 20.



A. Pengenalan
Pada awal abad ke – 20, masyarakat majmuk muncul di Tanah Melayu akibat perkembangan ekonomi British. Penghijrahan orang Cina dan orang India ke Tanah Melayu telah mewujudkan tiga kumpulan masyarakat di Tanah Melayu. Orang Melayu merupakan penduduk peribumi di Tanah Melayu. Menurut J.S Furnival, masyarakat majmuk didefinisikan sebagai satu kelompok masyarakat di mana tidak wujud interaksi atau perhubungan dalam kalangan kaum. Golongan imigran Cina dan India datang ke Tanah Melayu atas beberapa faktor. Antaranya ialah perkembangan perlombongan bijih timah dan industri getah yang memerlukan buruh, maka orang Cina dan orang India dibawa masuk ke Tanah Melayu. Mereka dibawa masuk melalui beberapa cara seperti tiket kredit, sistem kangani dan ejen. Terdapat banyak faktor yang mendorong pembentukan masyarakat majmuk di Tanah Melayu. Ketiga – tiga kumpulan etnik ini hidup berasingan kerana terdapat beberapa halangan.

B. Isi-isi.
a. Perbezaan fungsi ekonomi.
            Antara faktor yang mendorong pembentukan masyarakat majmuk di Tanah Melayu ialah perkembangan ekonomi kapitalis yang menyebabkan perbezaan dalam fungsi ekonomi. Perbezaan fungsi ekonomi membawa kepada pengalaman kaum mengikut kegiatan ekonomi mereka. Perkembangan ekonomi komersial didorong oleh golongan imigran Cina yang terlibat dalam bidang perniagaan dan perlombongan bijih timah. Imigran India pula tertumpu di kawasan ladang getah dan sebilangannya tinggal di bandar untuk bekerja sebagai kerani dan buruh di pelabuhan. Orang Melayu masih kekal dalam sistem ekonomi tradisional dengan bekerja sebagai petani dan nelayan. Perbezaan dalam fungsi ekonomi telah memisahkan ketiga – tiga kaum tersebut dan secara tidak langsung mewujudkan masyarakat majmuk.

b. Dasar pecah dan perintah.
            British mengamalkan dasar pecah dan perintah demi menjaga kepentingan politik dan ekonomi mereka di Tanah Melayu. British ingin terus mengekalkan orang Melayu dalam ekonomi tradisional  kerana tidak mahu masyarakat Melayu terdedah kepada pengaruh luar. British berasa bimbang jika pendedahan kepada pengaruh luar akan melahirkan golongan penentang dalam masyarakat Melayu. British juga menggalakkan kemasukan pelabur asing dan penghijrahan golongan buruh dari Cina dan India yang terlibat dalam ekonomi moden. British tidak menggalakkan sebarang usaha asimilasi dalam kalangan tiga kaum di Tanah Melayu pada masa itu.
c. Pengamalan budaya yang berbeza.
            Masyarakat majmuk juga wujud apabila ketiga – tiga kaum mengamalkan budaya yang berbeza. Orang Cina yang berhijrah ke Tanah Melayu bertumpu di kawasan perlombongan bijih timah di sekitar Kuala Lumpur, Ipoh dan Seremban. Mereka hidup berkelompok dalam puak masing – masing. Hubungan sosial dalam kalangan puak Cina juga tidak erat kerana mempunyai dialek yang berbeza. Orang India pula terdiri daripada pelbagai kumpulan etnik yang berbeza seperti Tamil, Telegu, Punjabi dan sebagainya. Setiap kelompok ini menggunakan bahasa masing – masing, maka pergaulan antara mereka juga tidak erat. Setiap kumpulan masyarakat hidup secara berasingan. Mereka terus mengekalkan budaya masing – masing seperti pakaian, adat resam, makanan, tradisi dan perayaan.
d. Sistem pendidikan.
            Setiap masyarakat juga mempunyai sistem pendidikannya yang tersendiri. Sistem pendidikan tersebut mengukuhkan lagi sifat kemajmukan masyarakat di Tanah Melayu. Masyarakat peribumi, iaitu orang Melayu mendapat pendidikan berdasarkan agama Islam di sekolah – sekolah pondok. British juga menubuhkan sekolah – sekolah Melayu. Sistem pendidikan tempatan kurang berkualiti. Masyarakat tempatan hanya diajar membaca, menulis dan mengira. Pendidikan orang Cina pula berasaskan negara China dan menggunakan bahasa pengantar bahasa Cina. Guru – guru, sukatan pelajaran dan buku – buku digunakan juga dibawa dari negara China. Orang India pula menubuhkan sekolah – sekolah Tamil di ladang – ladang untuk memberikan pengetahuan asas kepada orang India. Mata pelajaran yang diajar juga berdasarkan negara India.
e. Perbezaan agama.
            Satu lagi faktor yang mendorong pembentukan masyarakat majmuk ialah perbezaan agama. Setiap kumpulan etnik menubuhkan institusi dan tempat beribadat masing – masing. Masyarakat Melayu yang beragama Islam membina surau dan masjid. Masyarakat India yang beragama Hindu pula membina kuil di ladang – ladang untuk beribadat dan menjalankan upacara keagamaan. Masyarakat Cina yang mengamalkan agama Buddha dan menyembah nenek moyang pula membina tokong dan pagoda mereka di bandar. Setiap kaum menubuhkan institusi sosial dan persatuan masing – masing untuk menjaga kepentingan sendiri. Penubuhan persatuan – persatuan tidak rasmi juga mampu melindungi dan mengekalkan identiti setiap kaum di Tanah Melayu.
C. Kesimpulan.
    Pembentukan masyarakat majmuk yang wujud semasa penjajahan British hanya diubah setelah Tanah Melayu mencapai kemerdekaan. Perubahan tersebut berlaku sebagai langkah Bristish untuk memberikan kemerdekaan. Perpaduan rakyat yang berbilang kaum dapat menjamin kepentingan ekonomi dan pelaburan British di Tanah Melayu.
sumber-SKEMA PURCUBAAN SEJARAH 

STPM P3 NEGERI PAHANG 2016





Saturday, October 1, 2016

1. Huraikan peranan pembesar di Tanah Melayu sebelum campur tangan British.

A. Pengenalan.
         Sehingga pertengahan abad ke-19, para pembesar memainkan peranan penting dalam sistem politik di Tanah Melayu.  Setiap pembesar mempunyai peranannya dalam politik, ekonomi dan sosial. Peranan mereka jelas dalam setiap tahap pemerintahan.
B. Isi-isi.
POLITIK
-           Pembesar memainkan peranan utama dalam politik. Mereka membantu sultan dalam aspek perundangan, adat resam dan kehakiman. Mereka merupakan golongan yang memonopoli segala kuasa politik dalam kerajaan. Golongan ini mempunyai kuasa melantik raja, contohnya empat Undang (Jelebu,Sg Ujong, Rembau, Johol) di Negeri Sembilan akan melantik Yang Di Pertuan Besar Negeri Sembilan.
-           Pembesar membantu raja dalam menjalankan pemerintahan dan pentadbiran negeri mereka serta mempunyai cop mohornya sendiri.
-           Pembesar juga menjadi penasihat atau menjadi ahli Jemaah penasihat Sultan. Pada tahun 1800, Sultan Muhammad 1 (Sultan Kelantan) telah melantik seramai 7 orang pembesar untuk memudahkan dan melicinkan pentadbirannya, Sultan Abu Bakar (1862-1895) telah melantik Jemaah Menteri untuk menasihati Sultan Johor.
-           Pembesar turut membantu raja mentadbir kawasan-kawasan tertentu di luar wilayah yang dipanggil “pegangan” yang merupakan anugerah sultan kerana jasa dan kecemerlangannya atau menjadi daerah/jajahan. Misalnya Dato Bahaman menguasai kawasan Semantan dengan gelaran Orang Kaya Semantan; Tok Gajah mentadbir Pulau Tawar; Ngah Ibrahim menguasai Larut.
-           Pembesar juga memainkan peranan penting menjaga keamanan dan keselamatan Negara. Contohnya Jemaah Menteri Peperangan di Kelantan menguruskan hal ehwal peperangan,ketenteraan, pertahanan dan keamanan; Lembaga di negeri Sembilan menjaga keselamatan dan keamanan kawasan anak buahnya. Pembesar juga memastikan penduduk di bawah jagaannya taat setia kepada pemerintah.
-           Pembesar juga bertanggungjawab menyediakan dan membekalkan tenaga ketenteraan untuk mempertahankan negara dan juga untuk meluaskan empayar (jika berkenaan).
-           Pembesar juga memainkan peranan penting menjadi penghubung antara rakyat dengan pemerintah.

EKONOMI
-           Pembesar turut memainkan peranan penting dalam hal-hal yang berkaitan dengan memungut cukai. Contohnya pembesar di pelabuhan (Syahbandar) mengutip cukai daerah/jajahan mengutip cukai daripada rakyat di kawasannya dengan bantuan penghulu.
-           Pembesar juga menguasai sumber ekonomi seperti lombong bijih timah dan juga hasil eksport lain. Mereka juga menggunakan sistem kerah dan sistem serah untuk mendapatkan hasil. Pendapatan mereka juga lumayan dan kadang kala melebihi sultan dan menyebabkan mereka lebih kaya. Contohnya Long Jaafar dan Ngah Ibrahim yang menguasai Larut.
-           Pembesar juga mesti memastikan urusan perdagangan dalam negeri berjalan lancar termasuk menentukan timbangan dan sukatan yang betul.
-           Dengan keizinan sultan pembesar juga melibatkan diri dalam perdagangan. Mereka menjadi pengeluar modal. Perniagaan dan perdagangan pembesar diuruskan oleh wakil-wakilnya. Mereka juga diberi monopoli dalam aktiviti perdagangan dan perniagaan.
-           Pembesar juga turut bertanggungjawab menjaga perairan daripada pencerobohan lanun, mengawasi pedagang-pedagang, menjaga hal ehwal pedagang asing, mengaturkan tempat perniagaan dan menyediakan gudang untuk menyimpan barang-barang.


SOSIAL
-           Pembesar turut bertanggungjawab untuk menjaga kebajikan anak buahnya dan memastikan supaya seluruh penduduk di kawasnnya taat setia kepada sultan.
-           Mereka juga dikehendaki menjaga keamanan kawasan jagaannya.
-           Pembesar turut menjadi hakim dalam sesuatu perbicaraan contohnya bagi meleraikan perselisihan.
-           Selain itu mereka turut mengetuai kerja-kerja sosial seperti pembinaan surau, masjid, balai raya, jambatan dan sebagainya..
-           Pembesar turut menjalankan adat istiadat istana. Di Kedah contohnya pembesar akan menjunjung duli semasa hari raya.

C. Kesimpulan
-           Golongan pembesar memainkan peranan penting sebagai penggerak dalam sistem pemerintahan di negeri-negeri Melayu sebelum campur tangan British. Namun campur tangan British dan pengenalan sistem pentadbiran barat telah menjejaskan kedudukan politik, ekonomi dan sosial pembesar Melayu. Walau bagaimanapun perkhidmatan sebahagian para pembesar Melayu, seperti penghulu tetap digunakan oleh British untuk membantu pegawai-pegawainya.
          SUMBER-SKEMA PEPERIKSAAN P3 NEGERI PAHANG 2016