Tuesday, August 14, 2018

WAWASAN 2020

OLEH-AHMAD BIN YAAKOB
      Wawasan 2020 merupakan satu rangka tindakan konkrit bersifat jangka panjang yang menjadi panduan kepada pelbagai dasar lain yang lebih luas berkaitan pembangunan negara. Rangka tindakan ini menetapkan dengan jelas arah tujuan, cabaran dan sasaran negara untuk mencapai satu tahap kemajuan ekonomi yang diinginkan dalam jangka masa yang ditetapkan. Wawasan 2020 digubal berlandaskan keyakinan bahawa rakyat Malaysia yang berbilang kaum akan bersatu tenaga, berusaha dan bekerjasama ke arah mencapai matlamat yang digariskan oleh wawasan tersebut. Melalui wawasan ini, matlamat akhirnya adalah untuk menjadi sebuah negara maju. Mengikut sasaran yang ditetapkan pada tahun 2020, Malaysia akan menjadi sebuah negara yang benar-benar maju, bersatu, mampu berdikari, progresif dan makmur. Rakyat Malaysia pula berpeluang menikmati kehidupan yang lebih sempurna dalam sebuah masyarakat yang demokratik, bertolak ansur, bermoral, adil, mampu bersaing. Dinamik serta mempunyai daya ketahanan yang tinggi.[1]  

CABARAN WAWASAN 2020 DAN HALA TUJU NEGARA.
CABARAN PERTAMA
MEMBINA NEGARA BANGSA YANG BERSATU-PADU.
Malaysia memerlukan perpaduan antara kaum dan integriti peringkat wilayah dan nasional ke arah sebuah negara yang aman dan harmoni. Malaysia menjadi negara yang aman, berintegrasi pada peringkat wlayah dan kaum dengan rakyat hidup dalam harmoni, bekerjasama sepenuhnya secara adil serta didokong oleh satu bangsa Malaysia yang mempunyai kesetiaan politik  dan dedikasi kepada negara. Perpaduan yang menjadi cabaran pertama Wawasan 2020 merupakan asas kekuatan yang penting untuk kejayaan sesebuah negara.[2]

      Semua ini telah dilakukan melalui pelbagai dasar kerajaan sepanjang tiga dekad yang lalu. Antara strategi ialah  seperti Dasar Pendidikan Kebangsaan, Dasar Bahasa Kebangsaan Dasar Kebudayaan Kebangsaan dan Dasar Pembangunan Nasional[3].

CABARAN KEDUA
MEMBINA MASYARAKAT BERJIWA BEBAS, TENTERAM DAN BERKEYAKINAN.
Keyakinan terhadap diri, bangga dengan segala yang dicapai serta mampu menghadapi pelbagai masalah. Masyarakat Malaysia mesti dapat dikenali melalui usaha untuk mencapai kecermerlangan, sedar terhadap semua kemampuan yang ada, tidak mudah mengalah kepada sesiapa dan dihormati oleh rakyat negara lain.

      Dengan memiliki dan menghayati ciri-ciri di atas, rakyat Malaysia akan menjadi sebuah bangsa gagah yang sentiasa berusaha untuk memajukan negara sehingga dapat mengangkat martabat bangsa dan negara di persada antarabangsa. Strategi yang telah dilaksanakan ialah melalui Dasar Pendidikan Kebangsaan dengan memberi tumpuan kepada konsep pembelajaran sepanjang hayat, kemahiran insaniah serta sifat kreatif dan inovatif.
CABARAN KETIGA
MEMUPUK DAN MEMBINA MASYARAKAT DEMOKRATIK DAN MATANG.
Mewujud dan membangunkan masyarakat demokratik yang matang, mengamalkan satu bentuk persefahaman yang matang, demokrasi Malaysia berasaskan masyarakat yang boleh menjadi contoh kepada banyak negara membangun.    

      Amalan persefahaman yang matang dan prinsip demokrasi yang diamalkan oleh Malaysia dapat menjadi contoh kepada negara membangun yang lain. Suatu usaha perlu dipupuk untuk membina masyarakat yang matang dan dalam masyarakat yang berdemoratik akan diberi kebebasan untuk memilih kerajaan yang bakal memimpinnya. Kebebasan memilih untuk memberi peluang kepada perasaan yang tidak berpuas hati melalui saluran tertentu.
CABARAN KEEMPAT
MEWUJUDKAN MASYARAKAT YANG BERMORAL DAN BERETIKA.
Mewujudkan masyarakat yang bermoral dan beretika, di mana warganegaranya mempunyai nilai agama dan jiwa yang didorong oleh tahap etika yang paling tinggi. Seseorang yang beretika baik perlu mempunyai ilmu pengetahuan, kemahiran dan keinginan yang tinggi. Etika merupakan tingkah laku yang berkait rapat dengan kelakuan yang dibina berdasar tiga unsur iaitu ilmu, kemahiran dan pengetahuan.

      Ketiga-tiga unsur berperanan memupuk  dan melahirkan masyarakat Malaysia yang dinamik bagi meningkatkan hasil kerja yang cemerlang. Masyarakat yang patuh kepada amalan agama dan budaya yang cemerlang, keberkesanan pendidikan dan sistem kekeluargaan yang unggul akan melahirkan manusia yang beretika dan bermoral.[4]

CABARAN KELIMA
MEWUJUDKAN MASYARAKAT YANG MATANG, LIBERAL DAN BERTOLAH ANSUR.
Masyarakat yang matang dapat berfikir secara rasional dan tidak bertindak   secara melulu dalam keadaan apa sekalipun. Masyarakat yang liberal dapat membebaskan diri daripada fahaman yang sempit dan berfikiran terbuka untuk menerima segala perubahan serta pandangan orang lain.

      Masyarakat yang bertolak ansur pula digambarkan melalui kebebasan yang dianuti oleh setiap rakyat untuk mengamalkan adat resam, kepercayaan dan kebudayaan masing-masing tanpa menjejaskan kesetiaan kepada negara. Usaha untuk mewujudkan masyarakat yang matang, liberal dan bertolak ansur dapat dilihat melalui pelbagai peruntukan yang termaktub dalam Perlembagaan Perlembagaan Persekutuan, sistem demokrasi yang menjadi amalan sejak merdeka.Kewujudan pelbagai parti politik berbilang bangsa serta melalui pelbagai dasar yang bertujuan mewujudkan keharmonian antara kaum.

MEWUJUDKAN MASYARAKAT YANG MAJU DAN SAINTIFIK
Masyarakat yang maju adalah sebuah masyarakat yang dapat menyerap segala perubahan yang berlaku di persekitarannya untuk membina dan mencapai kecemerlangan. Masyarakat yang maju tidak boleh berpisah daripada masyarakat saintifik Hal ini kerana penguasaan ilmu pegetahuan terutama ilmu yang berteraskan sains dan teknologi sering dijadikan ukuran kepada kemajuan sesebuah bangsa. Masyarakat maju dan saintifik adalah masyarakat yang mempunyai budaya ilmu yang dapat menjana produktiviti dan amalan kreatif serta inovatif.

      Malaysia seharusnya mempunyai daya perubahan tinggi dan memandang ke hadapan bukan sahaja sebagai pengguna teknologi, tetapi turut sama menyumbang kepada tamadun saintifik dan teknologi masa depan

MEWUJUDKAN MASYARAKAT BERBUDAYA PENYAYANG.
Masyarakat berbudaya penyayang merujuk kepada sistem sosial yang meletakkan kepentingan masyarakat melebihi melebihi kepentingan individu dan kebajikan insan yang tidak berkisar kepada negara atau individu, tetapi di sekeliling sistem kekeluargaan yang kukuh.

      Masyarakat penyayang sering dicirikan dengan kehidupan yang muafakat , saling memahami dan menghormati, bekersamadan saling membantu antara satu sama lain. Masyarakat penyayng tidak memiliki sifat individualistik tetapi meletakkan kepentingan masyarakat melebihi kepentingan diri. Asas-asas yang kukuh  dalam pembinaan masyarakat penyayang dan budaya penyayang ialah kepathan kepada agama , nilai-nilai murni yang diwarisi daripada amalan tradisi dan institusi kekeluargaan.

      Kasih-sayang dalam masyarakat bermula daripada kasih-sayang yang terjalin dalam keluarga. Hubungan  baik sesama manusia amat ditekankan dalam agama. Budaya teradisi yang penuh dengan nilai-nilai murni perlu ditonjolkan dan dihayati semula untuk memupuk masyakat yang bersifat penyayang .

MENJAMIN MASYARAKAT YANG ADIL DAN SAKSAMA DALAM BIDANG EKONOMI.  
Pengagihan kekayaan negara dilaksanakan secara adil dan saksama dengan mewujudkan perkongsian secara bersama dalam kalangan semua semua rakyat dalam suasana ekonomi yang berkembang. Masyarakat yang dibentuk itu akan menghapuskan pengenalan kaum yang berdasarkan fungsi ekonomi yang diwarisi dari zaman penjajah serta kemunduran kaum dari sudut ekonomi

      Pada masa lalu, kerajaan telah melaksanakan pelbagai dasar seperti Rancangan Pembangunan lima Tahun, Rancangan Pembangunan Luar bandar , Dasar Ekonomi Baru dan Dasar Pembangunan Nasional sebagai sebahagian daripada langkah  untuk menjamin keadilan ekonomi untuk semua dan pada masa yang sama untuk meningkatkan taraf hidup rakyat daripada semua lapisan kaum.

MEMUPUK DAN MEMBINA MASYARAKAT YANG MAKMUR.
Masyarakat yang makmur dikaitkan dengan masyarakat yang hidup dalam kemewahan dan mempunyai taraf hidup yang tinggi. Pada masa yang sama , tiada ahli masyarakat yang hidup melarat dalam kemiskinan. Pendapatan isi rumah dan pendapatan negara berada pada tahap yang tinggi. Bagi mencapai hasrat untuk menjadi masyarakat yang makmur, masyarakat Malaysia perlu mempunyai kekuatan ekonomi untuk bersaing, dinamik dan kental menghadapi pelbagai cabaran yang mendatang.[5]    


[1]Ruslan Zainuddin dan Abd Sukor Yusof, Ace Ahead Teks STPM Sejarah Malaysia Dan Asia Tenggara (1800-2000) Penggal 3 Edisi Kedua.(Shah Alam: Oxford Fajar, 2017),212.
[2] Ibid,237.
[3] “Wawasan 2020,” dalam Modul Pengajaran dan Pembelajaran STPM Sejarah, (Bandar Baru Bangi: PST Enterprise, 2013),100.
[4] S.B.Teoh,Norizan Yusoff dan Nurul Huda Md Yusop, Sejarah STPM Penggal 3,181.
[5] Ruslan Zainuddin dan Abd Sukor Yusof, Ace Ahead Teks STPM Sejarah Malaysia Dan Asia Tenggara (1800-2000) Penggal 3 Edisi Kedua.,239.

No comments:

Post a Comment