Sunday, August 23, 2015

Sistem ekonomi tradisional dan ekonomi komersial di Indonesia pada abad ke-19.


Oleh-AHMAD BIN YAAKOB
Hasil Pembelajaran-Menjelaskan ciri-ciri ekonomi tradisional dan ekonomi komersial di Indonesia pada abad ke-19.
1.a.Ciri-ciri ekonomi tradisional di Indonesia
1.Pertanian secara sara diri untuk keperluan keluarga.
2.Penggunaan teknologi pertanian secara tradisional.
3.Tanah dikuasai oleh tuan tanah.
4.Kawasan penanaman yang terhad  dan menggunakan buruh keluarga.
5.Penggunaan modal yang kecil dan terhad.
6.Aktiviti ekonomi tradisional seperti pertanian tradisional, ternakan, perikanan, memburu binatang, mencari hasil hutan, kraftangandan sistem barter.
Ekonomi Sara Diri
Pertanian
Kegiatan ekonomi yang utama di Indonesia ialah penanaman padi. Padi ditanam di sepanjang dataran pantai lanar, Iembah, lembangan, dan lereng gunung berapi yang diteres.Penanaman padi sawah diusahakan secara giat di Pulau Jawa dan Madura kerana kesuburan tanah dan terdapat sistem pengairan. Padi sawah dituai pada bulan April setiap tahun dengan menggunakan kaedah primitif.

Selain penanaman padi sawah, padi huma atau padi bukit juga ditanam oleh masyarakat peribumi Indonesia. Padi ini ditanam di kawasan Timur Jawa yang lebih kering dan di lereng bukit yang tinggi.Kaedah penanaman padi bukit ialah sesuatu yang primitif, iaitu tebang dan bakar. Sebelum musim hujan, petani akan membakar kawasan hutan. Pembakaran hutan akan dilakukan sebanyak tiga kali untuk memastikan kesuburan tanah. Penanaman padi bukit hanya akan berlaku selama dua hingga tiga tahun di atas kawasan yang sama. Selepas itu, petani akan berpindah ke tempat lain dan melakukan kaedah yang sama.

Selain tanaman padi huma, tanaman lain seperti ubi kayu dan tanaman berasaskan ubi juga ditanam untuk menambahkan hasil keluaran makanan. Jagung juga penting sebagai bahan makanan dalam ekonomi sara diri Jagung ditanam di Madura, Jawa Timur, dan Sumatera. Tanaman ini diperkenalkan oleh Portugis pada abad yang ke-16.

       Masyarakat Indonesia juga menanam tebu dan kelapa. Tebu ditanam di wilayah Cheribon, dataran Pantai utara, bahagian Tengah Jawa, Jogjakarta  dan Surakarta.
Kelapa terdapat di seluruh pelosok Indonesia. Kelapa hidup subur di kawasan yang mempunyai suhu tinggi, hujan lebat, dan tanah yang berlumpur.Masyarakat peribumi Indonesia menanam rempah ratus seperti bunga cengkih, buah pala, dan kayu cendana. Bunga cengkih banyak ditanam di pulau-pulau Maluku, buah pala di Pulau Bonda, dan kayu cendana di Pulau Timur.
 Perusahaan
Perusahaan batik diusahakan oleh masyarakat peribumi Indonesia. Perusahaan batik dijalankan secara kecil-kecilan di Jawa Tengah. Aktiviti ini dilakukan sebelum musim menuai padi dan musim memungut hasil tanaman.
      Masyarakat Jawa menghasilkan corak batik yang mempunyai unsur alam seperti burung, kupu-kupu, buah-buahan dan sebagainya. Seni melukis corak batik ini diturunkan daripada satu generasi kepada generasi yang lain. Biasanya, kemahiran membuat batik akan diajar oleh ibu kepada anak perempuan mereka.[1]

b.Ciri-ciri ekonomi komersial di Indonesia.
Ekonomi komersial merujuk kepada kegiatan ekonomi yang tidak hanya terhad kepada memenuhi keperluan hidup sahaja. Akan tetapi ia merupakan kegiatan ekonomi yang dijalankan secara besar-besaran sehingga menjadi asas kepada pertukaran dan penjualan barangan.[2]

Menanam tanaman ekspot.
Kedatangan penjajah Belanda telah membawa kemerosotan ekonomi tradisional kerana Belanda mengutamakan tanaman ekspot. Pada tahun 1830-180 Gabenor Jeneral Belanda, Baron Van Den Bocsh memperkenalkan Sistem Tanaman Paksa. Pada peringkat awal tanaman jualan bertumpu kepada tebu dan nila.Kemudian diperluaskan kepada tanaman kopi, tembakau, teh, pencelup, kapas,rempah dan kulit kayu manis. Sistem Tanaman Paksa telah memberi keuntungan yang lumayan kepada kerajaan Belanda.

Pengenalan sistem ekonomi wang.
Pengenalan sistem ekonomi komersial di Indonesia telah membawa kepada wujudnya sistem ekonomi wang. Perkembangan industri gula bukan hanya melibatkan masyarakat tempatan Pulau Jawa sahaja, malah telah membawa masuk ramai tenaga buruh dari pulau-pulau lain di Indonesia.

      Peluasan ekonomi komersial telah menarik kemasukan pelabur asing dan pemodal swasta ke Indonesia agi membuka ladang-ladang bagi menanam tanaman ekspot. Golongan petani dan buruh-buruh ladang mula dibayar upah dalam bentuk wang oleh pengusaha ladang dan kilang milik swasta. Kemudahan kredit turut disediakan dengan tertubuhnya Bank Tunai Desa pada tahun 1904 bagi melindungi peminjam-peminjam wang dan mencegah merekadaripada ke pajak  gadai atau dieksploitasi oleh orang tengah.[3]

Peguasaan  ekonomi oleh Pengusaha Eropah dan China.
Melalui Sistem Tanaman Paksa , kerajaan Belanda memberi hak kepada orang Cina yang bertindak sebagai orang tengah bagi mengutip cukai dan membeli hasil tanaman ekspot daripada petani dengan harga yang telah ditetapkan melalui ‘dasar beli murah, jual mahal’. Orang Cina bertindak menindas petani dengan memberi kemudahan pinjaman wang dengan mengenakan kadar faedah yang tinggi.Pengusaha swasta dari Eropah pula turut menindas petani dengan bekerja di kilang-kilang milik syarikat swasta dengan bayaran gaji yang sangat minimum.[4]  

Perdagangan
Masyarakat peribumi Indonesia juga menjalankan perdagangan secara kecil-kecilan.
Perdagangan ini berlaku antara kawasan pedalaman dengan kawasan pantai di pelabuhan.

Pedagang-pedagang Jawa dan pedagang kecil membawa barangan seperti garam, periuk, belanga, kain, dan rempah ke kawasan pedalaman dan membawa hasil kampung seperti barangan makanan ke pelabuhan. Garam merupakan bahan urus niaga yang agak penting bagi masyarakat peribumi Indonesia yang tinggal di kampung. Pemprosesan garam dilakukan di Pulau Madura dan Pantai Jawa Timur.

Garam dihasilkan melalui sejatan daripada kuali-kuali garam besar yang dibina di sepanjang pantai.Garam ini diperdagangkan oleh saudagar Cina ke kampung di pedalamanIndonesia. Saudagar Cina bertindak sebagai orang tengah dalam perniagaan garam di Indonesia. Perusahaan tradisional seperti membuat alatan rumah, genting, batu bata dan alat-alat dari besi juga merupakan kegiatan ekonomi masyarakat peribumi. Produk yang dihasilkan sama ada melalui tempahan atau petukang akan menjualnya di pasar. Aktiviti perdagangan turut mempengaruhi aktiviti ekonomi lain, iaitu pertanian dan perlombongan.[5]



[1] Ong Loo Chen, Pra U Teks STPM Penggal 3, (Bandar Baru Bangi:Penerbitan Pelangi Sdn. Bhd.,2013),299
[2]S.B.Teoh, Norizan Yusoff,Nurul Huda Md Yusop, Sejarah STPM Penggal 3,(Shah Alam: SAP Publication (M) Sdn.Bhd.,2014) ,241.
[3]Ibid,246.
[4]Ibid.
[5]Ong Loo Chen, Pra U Teks STPM Penggal 3, (Bandar Baru Bangi:Penerbitan Pelangi Sdn. Bhd.,2015),298. 

1 comment:

  1. Ada yang bahagian aktiviti perlombongan?? Sebab tu antara isi penting untuk rujukan esei

    ReplyDelete