Tuesday, November 7, 2017

Soalan 4 :Bincangkan struktur masyarakat di Indonesia sebelum kedatangan kuasa Barat.



Pengenalan
Struktur masyarakat di Indonesia sebelum kedatangan kuasa Barat terdiri daripada golongan pemerintah  dan yang diperintah.  Golongan pemerintah terdiri  daripada raja atau sultan, kerabat diraja, pembesar/priyayi dan golongan agama.  Manakala golongan yang diperintah pula ialah rakyat biasa yang kebanyakannya petani dan hamba.  Setiap golongan ini mempunyai peranan dan tanggungjawab tersendiri.
Isi
Golongan Pemerintah
i)     Raja atau Sultan
Raja atau sultan menduduki lapisan teratas dalam hierarki sosial masyarakat Indonesia, contohnya di Acheh dan Pulau Jawa.  Raja atau sultan bekuasa mutlak dalam pemerintahan  kerajaan dan wilayah jajahan takluknya. Baginda mengetuai kerajaan dan bertanggungjawab menyatukan rakyat, memakmurkan negara dan menjamin keselamatan negara.  Contohnya Sultan Acheh merupakan ketua agama Islam dan menjadi pelindung kepada masyarakat Acheh. Justeru itu baginda giat menyebarkan agama Islam melalui penaklukan dan perluasan kuasa.  Baginda  juga dianggap mempunyai keistimewaan luar biasa dan berdaulat serta tidak boleh diderhakai.  Kedudukan dan kuasa mutlak  sultan  diperkukuhkan dengan konsep sultan sebagai  Khalifah Allah dan pemimpin umat Islam.

ii)   Kerabat  Diraja
Lapisan seterusnya ialah golongan kerabat diraja.  Golongan ini membantu raja/sultan dalam pentadbiran pada peringkat pusat.  Mereka juga melaksanakan upacara keagamaan dan ritual di wilayah  pentadbiran mereka.  Seterusnya mereka  turut menguasai  tanah dan perdagangan maritim. Terdapat juga raja dan kerabat diraja yang memerintah  negeri yang terdiri daripada beberapa kumpulan etnik, contohnya Jawa , Sumatera dan Kalimantan.  Golongan ini dapat mengumpul harta dan menghantar anak-anak mereka ke sekolah. Di Jawa, raja, kerabat diraja dan golongan bangsawan agak terasing daripada masyarakat disebabkan pengaruh agama dan tradisi.  Golongan ini dibahagikan mengikut darjat keturunan masing-masing yang mempunyai status dan prestij tersendiri dalam masyarakat.

iii)      Pembesar/ Priyayi/ Uleebalang
Golongan ini menduduki lapisan ketiga  dalam hierarki sosial masyarakat Indonesia.  Mereka  terdiri daripada kerabat diraja dan bukan kerabat diraja.  Mereka dikenali sebagai priyayi, pembesar atau uleebalang, pembesar wilayah dan akhir sekali pembesar daerah.  Di Pulau Jawa, golongan priyayi atau bangsawan mempunyai hubungan kekeluargaan dengan sultan atau kerabat diraja.  Golongan ini menjadi penghubung antara sultan dengan rakyat jelata. Golongan priyayi merupakan pegawai tinggi dalam kerajaan. Mereka juga merupakan pemimpin agama dalam masyarakat.  Justeru itu, golongan ini sangat dihormati dan dipercayai oleh rakyat.  Mereka mempunyai  hubungan yang sangat rapat  dengan golongan petani dan berkuasa terhadap penduduk pribumi. 
   Sementara di Acheh, pembesar atau uleebalang mempunyai kedudukan yang tinggi dalam hierarki sosial masyarakatnya.  Mereka menggunakan gelaran teuku dan merupakan tulang belakang dalam pemerintahan dan pertahanan.
Pembesar wilayah pula bertanggungjawab terhadap pihak istana.  Tugas utama mereka ialah mengutip cukai, memberi konsesi dan monopoli  serta mendapatkan tenaga kerah dari daerah untuk dijadikan buruh atau tentera semasa peperangan. 
Pembesar daerah mempunyai kuasa autonomi di jajahan sendiri.  Mereka akan menyokong raja atau sultan untuk mengukuhkan kedudukannya.  Di Jawa dan Madura contohnya, pegawai kanan wilayah dan pembesar tempatan menjadi pengerusi di istana. 
Jawatan pembesar diwarisi dan mendapat pengesahan daripada pihak istana.  Kekuasaan pembesar bergantung kepada bilangan pengikut dan sumber pendapatannya.

iv)                 Golongan agama/ulama

Di Acheh, ulama menjadi penasihat agama Islam kepada sultan.  Mempunyai kedudukan yang mulia dan dihormati kerana ketinggian ilmu agamanya serta menjadi tempat rujukan masyarakat.  Ulama diberi gelaran Tengku sesuai dengan kedudukannya dalam masyarakat.

Golongan Diperintah
i)                    Rakyat
Terdiri daripada petani, nelayan, pelaut dan pedagang.  Golongan petani yang tidak mempunyai tanah terpaksa menyewa tanah daripada golongan bangsawan.  Mereka bercucuk tanam sebagai aktiviti harian seperti menanam padi.  Mereka perlu memberi khidmat dengan mengerjakan tanah milik bangsawan, melaksanakan tugas yang diberikan dan menjadi askar dalam peperangan.  Petani juga dikehendaki membayar cukai dan amat setia kepada golongan pemerintah.

ii)                  Hamba

Menduduki lapisan paling bawah.  Terbahagi kepada hamba abdi dan hamba berhutang.  Golongan hamba ini dimiliki oleh golongan pembesar.  Manakala hamba berhutang pula ialah orang bebas yang terikat dengan hutang.  Anak dan isterinya juga turut terikat dalam sistem ini.  Mereka dikerah bekerja untuk mem bayar hutang.
            Sistem perhambaan diamalkan secara meluas di Bali, Acheh, Palembang dan Lampung.  Namun amalan ini telah dihapuskan secara beransur-ansur setelah kedatangan Belanda.



                                                                                                             
Kesimpulan

            Susun lapis masyarakat di Indonesia sebelum kedatangan Belanda telah berjaya mengukuhkan kedudukan golongan pemerintah dan menjamin kesejahteraan rakyat.   Namun demikian, penguasaan Belanda  ke atas Indonesia telah menyebabkan berlakunya perubahan terhadap susun lapis masyarakat yang memperlihatkan hilangnya pengaruh dan kuasa golongan pemerintah, manakala golongan petani pula telah dipergunakan oleh pihak Belanda untuk mengeksploitasi ekonomi Indonesia.



 SUMBER-
SKEMA PEPERIKSAAN  PERCUBAAN  STPM SEJARAH PENGGAL 3 2017 TERENGGANU



No comments:

Post a Comment