Tuesday, November 7, 2017

Soalan 1 : Bincangkan sistem ekonomi yang dijalankan oleh Masyarakat Melayu di Tanah Melayu sebelum campur tangan British



              Sebelum  campur tangan British , Masyarakat Melayu di  Tanah Melayu telah mempunyai sistem ekonominya yang tersendiri . Sistem ekonomi tersebut adalah sistem ekonomi tradisional dan sistem ekonomi komersil . Setiap sistem ekonomi mempunyai ciri-ciri ekonomi dan kegiatan ekonomi yang tertentu . Antara ciri –ciri ekonomi boleh dilihat dari aspek pengkhususan pekerjaan , peralatan yang digunakan , tenaga buruh , modal dan sebagainya . Manakala kegiatan ekonomi yang dijalankan oleh Masyarakat Melayu di Tanah Melayu sebelum campur tangan British pula melibatkan kegiatan pertanian dan bukan pertanian .  Kegiatan ekonomi ini dijalankan secara sara diri dan komersil . Kegiatan ekonomi komersil biasanya melibatkan golongan pemerintah .
 Sebelum kedatangan British , masyarakat Melayu di Tanah Melayu menjalankan sistem ekonomi sara diri dan komersil . Antara ciri sistem ekonomi sara diri  ialah  pengkhususan pekerjaan . Masyarakat Melayu sebelum campur tangan British tiada pengkhususan pekerjaan . Mereka melakukan pelbagai aktiviti ekonomi tanpa menumpukan secara khusus kepada sesuatu aktiviti .Contohnya , mereka melakukan kerja- kerja di sawah pada waktu pagi manakala di sebelah petang pula mereka melakukan kerja -kerja melombong atau mencari hasil hutan .
 Manakala dalam sistem ekonomi komersial pula mempunyai pengkhususan pekerjaan . Hal ini adalah disebabkan ekonomi komersil ini berskala besar dan memerlukan penumpuan khusus dalam sesuatu perkerjaan pada satu masa. Contohnya , penanaman padi haruslah memerlukan pekerja yang betul betul mahir dalam selok belok tanaman kerana ia memerlukan penelitian yang baik bagi menghasilkan pengeluaran yang banyak .
Selain itu , sistem ekonomi sara diri yang dijalankan oleh Masyarakat Melayu di Tanah Melayu sebelum kedatangan British boleh dilihat dari aspek peralatan yang digunakan. Masyarakat Melayu menggunakan peralatan tradisional dalam melakukan sesuatu pekerjaan . Alatan tradisional itu biasanya dibuat sendiri oleh mereka mengikut kesesuaian pekerjaan yang dilakukan . Contohnya untuk menyemai anak padi , masyarakat Melayu menggunakan kuku kambing dan tenaga haiwan seperti kerbau digunakan untuk membajak petak-petak sawah .Manakala dalam kegiatan melombong bijih timah , Masyarakat Melayu menggunakan peralatan seperti cangkul untuk menggali tanah dan kuali untuk mengasingkan bijih daripada tanah .
Dalam sistem ekonomi komersil pula Masyarakat Melayu menggunakan peralatan yang moden . Contohnya mereka menggunakan jentera pembajak untuk membajak tanah .  Selain itu , untuk aktiviti jual beli , Masyarakat Melayu menggunakan mata wang  . Jelaslah  peralatan yang digunakan pada masa itu telah berjaya memudahkan masyarakat Melayu untuk melakukan sesuatu pekerjaan , pada masa yang sama ia menunjukkan Masyarakat Melayu telah mempunyai sistem ekonominya yang tersendiri.
Seterusnya , sistem ekonomi sara diri masyarakat Melayu di Tanah Melayu sebelum campur tangan British  mempunyai ciri tersendiri dari segi penggunaan tenaga buruh . Tenaga buruh pada masa ini hanya melibatkan ahli keluarga sahaja . Pembahagian kerja adalah mengikut jantina dan umur . Misalnya , kerja kerja berat di sawah dijalankan oleh kaum lelaki manakala kaum perempuan pula menjalankan kerja-kerja seperti menyemai anak pokok . Ini juga boleh dilihat daripada aktiviti penangkapan ikan , kerja kerja menangkap ikan di sungai dilakukan oleh kaum lelaki manakala perempuan menangkap ikan di tasik . Selain itu , kanak-kanak pula melakukan kerja-kerja yang lebih ringan seperti menjemur atau menyiang ikan .
Manakala untuk sistem ekonomi komersial pula , ia melibatkan penggunaan tenaga buruh daripada luar . Contohnya dalam kegiatan melombong bijih timah , pembesar-pembesar Melayu membawa masuk buruh-buruh daripada Negara China untuk menjalankan kegiatan melombong di tanah-tanah milik mereka . Buruh-buruh ini mempunyai kemahiran yang tersendiri sehingga membolehkan mereka memperkenalkan kaedah perlombongan bijih timah yang baru di Tanah Melayu seperti kaedah pam kelikir dan palung . Jelaslah bahawa penggunaan tenaga buruh mengikut jantina dan umur memperlihatkan Masyarakat Melayu di Tanah Melayu merupakan masyarakat yang rajin berusaha dan pada masa yang sama masyarakat ini juga mempunyai sistem  ekonominya yang tersendiri .
Seterusnya sistem ekonomi sara diri Masyarakat Melayu di Tanah Melayu  sebelum campur tangan British juga mempunyai ciri dari aspek penggunaan modal . Modal tidak diperlukan pada masa ini kerana kegiatan atau aktiviti yang dilakukan adalah berskala kecil dan tidak begitu meluas untuk ekonomi  sara diri . Hal ini kerana hasil daripada kegiatan ekonomi yang dijalankan hanyalah untuk kegunaan ahli keluarga sahaja  . Hal ini boleh dilihat daripada penggunaan biji benih untuk tanaman padi pada musim hadapan , ia menggunakan biji benih yang diperolehi daripada simpanan hasil keluaran yang lepas . Hal ini mendatangkan kesan yang baik dan buruk kepada masyarakat terhadap pengeluaran hasil . Jika baka biji benih yang disimpan itu berkualiti maka hasil tanaman akan membesar dengan baik dan jika tidak , ia akan menjadi sebaliknya .
Manakala dalam sistem ekonomi komersial pula , modal yang besar diperlukan untuk menjalankan sesuatu kegiatan ekonomi kerana hasil pengeluaran akan dieksport . Contohnya dalam kegiatan perlombongan , modal diperlukan untuk membawa masuk buruh China dan penggunaan jentera . Manakala hasil keluarannya dieksport ke Eropah .  Situasi yang sama juga berlaku dalam kegiatan pertanian seperti tanaman padi apabila modal yang banyak diperlukan untuk penggunaan jentera membajak dan menuai. Manakala hasil tanaman padi dieksport ke Singapura . Oleh itu , jelaslah penggunaan modal mempengaruhi jenis sistem ekonomi Masyarakat Melayu di Tanah Melayu sebelum campur tangan British
Akhir sekali , sistem ekonomi Masyarakat Melayu sebelum campur tangan British mempunyai ciri dari segi skala pengeluaran . Skala pengeluaran adalah bersaiz kecil dan terhad untuk ekonomi sara diri . Contohnya kegiatan pertanian seperti tanaman sayur atau ubi hanya ditanam di belakang rumah sahaja . Manakala kegiatan menternak binatang seperti  menternak ayam atau lembu juga dilakukan di belakang atau di bawah rumah. Hasil pengeluaran hanyalah untuk kegunaan keluarga sahaja . Hasil pengeluaran yang lebih akan disimpan ataupun ditukar melalui sistem barter bagi memperolehi barangan lain . Contohnya , lebihan hasil tangkapan ikan oleh penduduk di pesisir pantai akan dikeringkan atau ditukarkan dengan penduduk pedalaman untuk mendapatkan beras.
Manakala sistem ekonomi komersil pula melibatkan pengeluaran berskala besar kerana ia  melibatkan dagangan dengan orang luar . Skala pengeluaran yang besar membolehkan lebihan hasil dieksport ke luar Tanah Melayu. Contohnya dalam kegiatan perdagangan , masyarakat Melayu menjual hasil keluaran seperti bijih timah dan lada hitam kepada pedagang China , Eropah dan India di pelabuhan-pelabuhan seperti Pulau Pinang dan Melaka .  Hal ini mengukuhkan lagi pendapat yang menyatakan Masyarakat Melayu di Tanah Melayu telah mempunyai sistem ekonominya yang tersendiri sebelum campur tangan British .
Kesimpulannya , sebelum campur tangan British , Masyarakat Melayu di Tanah Melayu telah mempunyai sistem ekonomi sara diri dan komersil . Sistem ekonomi sara diri dijalankan oleh rakyat manakala sistem ekonomi komersil dimonopoli oleh golongan pemerintah . Selepas campur tangan British , sistem ekonomi Masyarakat Melayu berfokus kepada sistem ekonomi sara diri . Manakala sistem ekonomi komersil dimonopoli oleh kaum imigran seperti British dan Cina.
 SUMBER-
SKEMA PEPERIKSAAN  PERCUBAAN  STPM SEJARAH PENGGAL 3 2017 TERENGGANU

No comments:

Post a Comment