OLEH-AHMAD BIN YAAKOB
Pada umumnya, negeri-negeri Melayu
mengamalkan sistem pembesar yang berasaskan Sistem Pembesar Empat Lipatan.
Pembesar Empat dibantu oleh Pembesar Lapan . Manakala Pembesar lapan dibantu
oleh Pembesar Enam Belas dan Pembesar Tiga Puluh Dua.[1]Sistem
ini diwarisi daripada pemerintahan
Kesultanan Melayu Melaka, bukan sahaja mempunyai persamaan dari segi struktur
politiknya, tetapi juga termasuk gelaran jawatan pembesar. Negeri-negeri
seperti Johor, Perak, Pahang dan Kedah derigan jelas mengikut Sistem Pembesar
Empat Lipatan seperti yang diamalkan di Melaka.
Sementara itu di negeri-negeri lain,
sistem pembesarnya tidak banyak berbeza dengan sistem yang diamalkan di Melaka,
kecuali dari segi gelaran pembesar-pembesarnya sahaja. Sebelum wujudnya sistem
beraja dan institusi kesultanan, di negeri Kedah, misalnya terdapat dua orang
pembesar yang bergelar Tun Dermadewa dan Tun Perkasa. Berdasarkan sistem
beraja, gelaran pembesar yang biasanya digunakan ialah Bendahara, Laksamana,
Temenggung,Maharaja Lela, Menteri, Seri Raja dan Seri Dewa. Bendahara merupakan
pegawai yang utama dalam struktur politik negeri Kedah. Walaupun begitu, tidak semua
negeri-negeri di Tanah Melayu mempunyai sistem pembesar yang sama.[2]
SISTEM PEMBESAR DI PERAK
Negeri Perak adalah antara
negeri Melayu yang mempunyai bilangan pembesar yang ramai. Pada umumnya corak
politik di negeri Perak hampir sama dengannegeri Melaka. Namun, perbezaan yang
ketara ialah dari segi kedudukan pembesar yang dibahagikan kepada Sistem
Pembesar Empat Lipatan. Gelaran pembesarnegeri terbahagi kepada empat
peringkat, iaitu Orang Besar Empat,Orang Besar Lapan, Orang Besar Enam Belas
dan Orang Besar Tiga Puluh Dua.Antara para pembesar ini, Orang Besar Empat adalah
pembesar yang paling berkuasa. Mereka terdiri daripada Orang Kaya Bendahara
Seri Maharaja,Orang Kaya Besar Maharaja Diraja, Orang Kaya Temenggung Paduka
Raja dan Orang Kaya Menteri Paduka Tuan. Jawatan Bendahara suatu ketika pernah
dijadikan satu jawatan diraja, iaitu dalam tingkat ketiga selepas Raja Muda
dengan gelaran Tuanku Raja Bendahara Wakilus-Sultan Wazirul-Kabir. Nama jawatan
tersebut telah dimansuhkan dan kini tarafnya diletakkan dalam susunan Orang
Besar Berempat dan dikenali dengan gelaran Orang Kaya Bendahara Seri Maharaja
orang Besar Berempat merupakan pemimpin kanan dalam pentadbiran negeri. Mereka
berkuasa di daerah masing-masing dan juga dalam pentadbiran kerajaan. Bendahara
pernah menjadi pemangku Sultan dan bertanggungjawab
dallm menentukan perlantikan
sultan yang baru. Temenggung berkuasa sebagai Ketua Mukim Kota Lama dan orang
Kaya Besar bertanggungiawab dalam menyelenggarakan istana. sementara Menteri
pula berkuasa penuh di Larut.
ORANG BESAR BERLAPAN
Orang Kaya Balai Maharaja Lela
(pembesar daerah Pasir Salak)
Laksamana Orang Kaya (pembesar
daerah Durian Sebatang)
Orang Kaya Syahbandar (pembesar
daerah di muara Sungai perak)
Panglima Kinta Seri Amarbangsa
(pembesar daerah Kinta)
Seri Akar Di Raja (Dato'Sagor)
-(pembesar daerah Kampung Gajah)
Panglima Bukit Gantang Seri
Amar Diraja -(Jawatan ini kosong semenjak tahun 1871)
Seri Adika Raja- (biasanya
dipegang oleh seorang zuriat yang utama dalam daerah paling hulu Sungai perak)
Imam Paduka Tuan -(jawatan
agama)
Selepas susunan orang Besar
Berempat ialah orang Besar Berlapan. Mereka terdiri daripada orang Kaya Balai
Maharaja Lela, Laksamana orang Kaya, orang Kaya syahbandar, Panglima Kinta seri
Amarbangsa, seri Akar di Raja (Dato'sagor), Panglima Bukit Gantang seri Amar
Diraja, seriAdika Raja dan Imam Paduka Tuan. Semua pembesar berkuasa di daerah
masing-masing, kecuali Imam paduka Tuan yang merupakan jawatan satu agama.
Di bawah lapisan Orang Besar
Berlapan ialah Orang Besar Enam Belas dan Orang Besar Tiga Puluh Dua. Walaupun tiada
senarai tertentu tentang Pembesar Enam Belas dan Pembesar Tiga Puluh Dua,
tetapi jawatan ini dikatakan muncul menjelang awal abad ke-20. Pembesar
daripada kedua-dua lapisan ini mendapat gelaran daripada pihakyangberkaitan
dengan kerabat Orang Besar Berempat dan Orang Besar Berlapan. Mereka turut
memainkan perana penting dalam pentadbiran negeri.
Tradisi negeri Perak menggambarkan
kecenderungan teori politik orang Melayu dengan menggunakan gandaan angka
empat. Teori ini memerlukan penggandaan angka empat serta sesuatu jawatan yang
telah ada sentiasa dikekalkan untuk mencukupkan bilangan yang dikehendaki.
Walaupun terdapat banyak jawatan yang diwujudkan mengikut sistem Empat Lipatan
ini, iaitu secara keseluruhannya berjumlah 60 jawatan, tetapi pada amalannya
hanya terdapat lebih kurang dua belas jawatan pembesar kesemuanya.[3]
Kesemua pembesar dilantik oleh sultan
melalui surat kuasa atau surat tauliah serta pemberian sebilah pedang sebagai
lambang jawatan. Ini bermakna, wujud hubungan dua hala antara sultan dengan
para pembesar.Sultan melantik para pembesar negeri, manakala para pembesar
negeri pula berkuasa untuk melantik sultan. Selain itu, para pembesar di Perak
mempunyai pengaruh yang kuat dalam menentukan perlantikan seseorang bakal sultan.
Mereka boleh mengenepikan mana-mana bakal sultan yang tidak disukai. Misalnya
pada tahun 1871, RajaYusuf gagal menjadi sultan kerana baginda telah gagal
mendapat sokongan dan diketepikan oleh para pembesar.
Apabila seseorang pembesar diberi surat
tauliah bermakna mereka berkuasa untuk mentadbirkan daerah masing-masing,
menjalankan kuasa perundangan, pertahanan dan memungUt cukai. Selain itu,
mereka juga bertanggungjawab terhadap adat istiadat dan dibantu oleh beberapa
orang timbalan dalam menjalankan tugas harian masing-masing.
SISTEM PEMBESAR DI NEGERI SELANGOR
Jawatan pembesar di Selangor sebelum Raja
Lumu dilantik menjadi rajanya yang pertama ialah Penggawa Permatang, Penggawa
Tua, Penghulu Aru, Tok Kelang, Dato'Naga, Dato',Menteri dan orang Kaya Kecil.
Asalnya mereka ialah pembesar daerah. Walaupun begitu, jawatan ini belum
diputuskan secara rasmi semasa British campur tangan di Selangor pada tahun
1874. Malah, tidak ada seorang pun pemegang jawatan ini menguasai sesuatu
daerah. Ini disebabkan bilangan penduduk Selangor ketika itu sangat kecil
sehinggakan mereka tidak dapat menyokong satu kelas pemerintah yang lebih
daripada beberapa cabang dinasti raja (Bugis-Riau).Anggota dinasti ini
mengambil alihjawatan pembesar daerah. Tidak ada gelaran diraja bagijawatan
ini, bahkan anak raja terpaksa menggunakan gelaran pembesar. Kedudukan
kelima-lima daerah di selangor yang ditadbirkan oleh para pembesar tertentu
pada tahun 1870-an adalah seperti berikut:
Bernam
Dikuasai oleh satu cabang zuriat diraja
sekurang-kurangnya selama dua atau tiga generasi. Pembesarnya pada tahun 1870
ialah anak saudara Sultan Abdul Samad (1857-98), iaitu bapanya berkahwin dengan
saudara perempuan sultan.
Selangor
Sebuah daerah diraja negeri
selangor yang asal dan surtan tidak lagi bersemayam di situ menjelang
pertengahan abad ke 19. Sehingga tahun 1820, daerah ini ditadbirkan oleh anak
sulung dan waris takhta kerajaan, Raja MudaMusa. Semasa berlaku perang saudara,
pemerintahan daerah ini telah bertukar tangan.
Kelang
Ibu negeri diraja bagi negeri
serangor. Semasa pemerintahan sultan Muhammad (1826-1857), daerah Kelang
ditadbir oleh putera baginda,Raja Sulaiman. setelah Raja Sulaiman meninggal
dunia, puteranya Raja Mahadi terah diketepikan oleh SultanAbdul Samad yang
menggantikan sultan Muhammad. Daerah ini telah diberi kepada menantu baginda,
Raja Abdullah sehingga membawa kepada perang saudara
di Selangor. Daerah ini juga pernah diberi kepada seorang lagi menantu
sultan, Tunku Kudin yang kemudiannya dilantik oleh baginda menjadi ,Wakil Yamtuan,bagi
seturuh Selangor.
Langat
Sebuah daerah yang kurang penting
berbanding dengan daerah-daerah lain di selangor. Daerah ini ditadbirkan oleh
sultan sendiri. Dalam tahun 1862, SultanAbdul samad memberi daerah Langat kepada
Tunku Kudin. Tidak rama kemudian, sultan mengambil semula daerah Langat sebagai
pertukaran dengan daerah Kelang yang diberikan kepada Tunku Kudin.
Lukut
Sebuah daerah yang kaya dengan
bijih timah di Selangor. Pada tahun 1846, daerah ini diberi oleh sultan
Muhammad kepada Raja Jumaat kerana perkhidmatan beliau. Apabila Raja Jumaat
meninggal dunia, daerah Lukut diserahkan kepada puteranya, Raja Bot. Daerah
Lukut kemudiannya diserahkan kepada Negeri Sembilan selepas satu penyusunan
sempadan dibuat pada tahun 1880.[4]
SISTEM PEMBESAR DINEGERI SEMBILAN
Sistem pemerintahan di Negeri
sembilan dibentuk mengikut Adat perpatih.Pada abad ke-18, orang Minangkabau
berhijrah dari Sumatera ke Negeri sembilan bersama dengan saudara-mara
masing-masing. Mereka hidup secara berkumpulan mengikut hubungan kekeluargaan.
Perkataan,Negeri sembilan, bermaksud 'sembilan buah negeri', tetapi telah dipersetujui bahawa gelaran
nama ini tidak pernah mengandungi sembilan buah daerah yang khas.
Berdasarkan Adat Perpatih, Negeri sembilan
dibahagikan kepada beberapa daerah atau jajahan yang disebut luhak atau luak.
Mengikut tradisinya memang sudah lama wujud empat buah daerah besar dengan
setiap satu ditadbir oleh seorang pembesar yang bergelar undang Berempat. Empat
buah daerah yang asal ialah Sungai Ujong, Rembau, Jelebu dan Johol. Terdapat
beberapa orang pembesar rendah daerah separuh bebas yang berkaitan dengan salah
satu daripada empat daerah besar ini. Undang Berempat menjadi ketua bagi setiap
luak dan ketua bagi luak-luak yang lain dikenali sebagai Penghulu. Walau
bagaimanapun, pihak yang sebenarnya berkuasa di Negeri Sembilan bukanlah Yang
Dipertuan Besar, tetapi empat orang Undang tersebut. Undang berhak untuk
memilih dan melantik sesiapa sahaja daripada kerabat diraja menjadi Yang
Dipertuan Besar. Para pembesar lain di bawah undang dan Penghulu dikenali
sebagai Lembaga, Buapak dan Perut. Lembaga merupakan ketua kepada suku-suku
anggota masyarakat. Terdapat lebih kurang 12 suku dengan setiap luak biasanya
mempunyai empat suku. Lembaga bertanggungiawab ke atas suku-sukunya dalam
aspek-aspek yang berkaitan dengan keselamatan dan keamanan, menyelesaikan
perbalahan sesama suku, mengawal dan mengadili pembahagian harta pusaka serta
menjadi orang perantaraan antara anggota sukunya dengan Undang.[5]
Suku masyarakat Buapak terdiri daripada
kumpulan keluarga yang disebut Perut. Ahli-ahli dalam sesuatu Perut akan
memilih seorang ketua yang digelar Buapak. Bilangan Buapak agak ramai dan
tugasnya sama dengan Lembaga, tetapi terbatas kepada keluarga yang menjadi
anggota sesuatu Perut.Buapak hanya berkuasa dalam kalangan ahli perutnya
sahaja. Tugas Buapak ialah menjalankan adat istiadat berkaitan dengan
perkahwinan, upacara bercukur rambut, berkhatan dan penceraian.[6] Negeri
sembilan terdiri daripada sembilan buah negeri, iaitu sungai Ujong,Rembau,
Johol, Jelebu, Jempol, Seri Menanti, Inas, Terachi dan Gunung Pasir.Berikut
adalah senarai kawasan atau daerah di Negeri Sembilan yang mempunyai pembesar:
1. SungaiUjong
Dibahagikan kepada dua
bahagian, iaitu kawasan pedalaman yang dikuasai oleh Datuk Kelana dan rantau
tengah sungai Linggi yang dikuasai oleh Dato' Syahbandar.
2. SungaiLinggi
Daerah kecil yang diambil dari
sungai ujong, dikuasai oleh Datuk Muda Linggi.
3. SungaiRayaLukut
Kedua-dua daerah ini dibuka
oleh orang Bugis.
4. Rembau
Mempunyai seorang sahaja
pembesar daerah, iaitu Undang.
5. Tampin
Sebuah daerah yang diambil dari
Rembau dan pembesarnya bergelar Tuanku Besar Tampin'.
6. Inas dan Gemenceh
Dua buah daerah kecil yang
diambil dari Johol. Datuk Inas dan Datuk Gemencheh mengakui Undang Johol
sebagai ketua besar mereka.
7. Jelebu
Mempunyai seorang pembesar
daerah yang bergelar Undang.
Sistem Pembesar di Johor
Pembesar di Johor memainkan
Peranan penting dalam sistem pemerintahan pada abad ke-19. Pada tahun 1860 dan
1870-an, pembesar Johor dipilih berdasarkan tahap pendidikan, kebolehan,
keupayaan, pengalaman, kelayakan, kecekapan, dan keakraban dengan pemerintah.Pembesar
Johor dilantik oleh sultan. Baginda akan mempertimbangkan faktor keturunan
dalam pelantikan tersebut. Pembesar bertindak sebagai pegawai kerajaan yang
diberi gaji, mempunyai tugas khas, dan menjalankan tugas berdasarkan peraturan
yang ditetapkan dalam sistem pemerintahan negeri.[7]
Pada abad ke-19, pegawai-pegawai kerajaan
menjalankan tugas dalam sistem birokrasi baharu yang mempunyai sedikit
perbezaan dengan sistem pemerintahan Melayu tradisional. Namun, dalam sistem
birokrasi ini,pembesar masih di bawah kawalan sultan dan berkhidmat untuk
sultan.Sultan yang melantik pembesar negeri. Ini bermakna peranan, kedudukan dan
kewibawaan yang ada pada pembesar datang daripada sultan.Ini menyebabkan
pembesar sedia berkhidmat untuk sultan.
Golongan pembesar di Johor terdiri daripada
kerabat diraja, iaitu Tengku,Ungku, Raja dan Wan serta golongan Tuan/Dato yang bukan berdarah raja. Mereka dilantik
menjadi ahli Lembaga Penasihat atau Majlis Negeri.Pembesar kanan seperti
kerabat diraja, Menteri Besar, dan Setiausaha Negeri sering bermesyuarat dengan
sultan, menasihati dan membantu baginda dalam melaksanakan tugas pentadbiran
negeri.[8]
Pembesar yang terkemuka di Johor ialah:
1.Dato'Jaafar bin Muhammad
merupakan Menteri Besar Johor yang pertama dan bertanggungjawab menjalankan
pentadbiran negeri Johor.
2.Dato’ Muhammad Salleh bin
Perang dikenali sebagai Dato Bentara Luar. Beliau merancang dan mengawal
pembangunan negeri serta merancang Pengurusan kewangan negeri Johor.
3.Dato' Abdul Rahman bin Andak
digelar Dato' Seri Amar Diraja menjadi pembantu kepada Menteri Besar. Tugas
utama beliau ialah mengawal hubungan Johor dengan British, mengeratkan hubungan
Johor dengan pegawai British dan pedagang asing, serta memastikan British tidak
menguasai fohor.
4.Dato' Muhammad Ibrahim Munshi
digelar Dato' Bentara Dalam dan Bapa Pendidikan Melayu Johor. Beliau merupakan
Ketua Jabatan Pendidikan Johor yang pertama pada tahun 1883. Beliau mendirikan
banyak sekolah dan mendesak supaya pendidikan diwajibkan kepada semua
rakyat Johor. Beliau dilantik menjadi
Timbalan Menteri yang pertama pada tahun 1893.[9]
Sistem Pembesar di Pahang
Sistem pembesar di Pahang hampi sama
dengan Melaka. Pahang mempunyai seorang Bendahara, Penghulu Bendahari dan
Temenggung. Pada abad ke-17 para pembesar Pahang dilantik oleh Sultan Johor
seperti Orang Besar Indera Mahajara Perba Jelai atau Tok Raja, Orang Kaya
Indera Segara Temerloh, Orang Kaya
Pahlawan Chenor dan Orang Kaya Indera Syahbandar.[10]
Pada abad ke-19 di Pahang, Bendahara
memainkan peranan penting dalam pemerintahan. Beliau bertanggungjawab
mengendalikan urusan perhubungan luar, mengetuai peperangan, mengadili kes-kes
perbicaraan serta menjadi lambang perpaduan rakyat. Bendahara sangat bergantung
kepada peranan Orang Besar Berempat seperti Orang Kaya Indera Syahbandar, Orang
Kaya Indera Maharaja Perba, Orang Kaya Indera Segara Temerloh dan Orang Kaya
Indera Pahlawan, Chenor. Orang Besar Berempat akan mengenakan cukai atau
kutipan lain apabila keadaan memerlukan. Contohnya, pembesar boleh memungut
cukai daripada setiap penduduk di daerah mereka untuk membiayai perbelanjaan ke
Pekan bagi tujuan mengadap sultan.[11]
Pembesar boleh mengenakan cukai terhadap
barang yang diimpot dan diekspot di daerah masing-masing. Kadangkala, mereka
memegang hak monopoli terhadap barang tertentu yang kemudian dijual kepada
rakyat dengan harga yang lebih tinggi.
Orang Besar Berempat juga mengendalikan kes jenayah dan awam.Pada
teorinya, hukuman mati hanya boleh dijatuhkan oleh sultan, tetapi secara
praktiknya, pembesar berkuasa penuh di daerah mereka. Biasanya semakin jauh
daerah itu dari Pekan, semakin kuat kuasa dan kebebasan Orang Besar Berempat.
Mereka juga menjadi ahli dalam Majlis Penasihat Istana. Sultan memerlukan
mereka dalam perundingan tentang hal-hal negeri yang penting.[12]
Orang Besar Berlapan dan Orang Besar Enam
Belas mempunyai bidang kuasa yang sama seperti Orang Besar Berempat; cuma kuasa mereka terhad dalam
kutipan cukai, pengadilan dan pentadbiran sahaja. Mereka juga diberi daerah
kecil untuk ditadbir.[13]
Terdapat dua orang Pembesar Berlapan
yang mempunyai hak kuasa yang sama dengan Orang Besar Berempat. Mereka ialah
Orang Kaya Lipis dan Orang Kaya Semantan.[14]
Satu lagi kumpulan pembesar yang memegang
kuasa yang luasdi Pahnag ialah Orang Besa Raja. Mereka biasanya adalah orang
kesayangan di istana yang menjadi terkenal semasa peperangan. Contohnya Imam
Perang Rasul. Beliau berjuang di pihak sultan semasa Perang Saudara di Pahang
dan telah meningkatkan imej pasukan tentera Pahang dalam peperangan tersebut.
Oleh sebab jasa tersebut, maka beliau telah dianugerahkan gelaran Orang Kaya
Imam Perang Indera Gajah Pahang atau Tok gajah. Tok Gajah juga dikurniakan
kawasan Pulau Tawar dan Budu.
Datuk Bahaman juga merupakan pembesar
Pahang yang penting. Beliau merupakan panglima perang yang banyak berjasa
kepada sultan Pahang. Beliau telah membantu Bendahara Wan Ahmad dalam tiga siri
peperangan iaitu pada tahun 1858, 1860, 1862 serta Perang Kelang di
Selangor.Disebabkan kegagahan tersebut, beliau dianugerahkan gelaran Orang Kaya
Dato’ Setia Perkasa Pahlawan Semantan. Beliau juga dilantik sebagai pembesar Temerloh setelah kematian
Orang Kaya Indera Segara.[15]
SISTEM PEMBESAR DI KELANTAN
Negeri Kelantan mengamalkan
sistem pembesar yangberbeza dengan negeri-negeri yang lain. Para pembesar di
Kelantan menggunakan gelaran seperti Tuan dan Wan.Perdana Menteri merupakan
pembesar yang utama dalam sistem politik di Kelantan. Pada tahun l80l semasa
pemerintahan Sultan Muhammad I (1800-35),baginda menubuhkan sebuah Badan Jemaah
Menteri untuk memudahkan dan melicinkan lagi jentera pentadbiran. Tujuh orang
pembesar dilantik untuk membantu baginda mentadbir negeri-.Antara pembesar
tersebut ialah Long Jenal (Raia Bendahara Banggol), Long Ismail (Raja Kampung
Laut), Long Yusuf (Raja Bukit Panor) Long Tan (Tengku Aria Pahlawan), Tengku
Long Muda (Tengku Kota), Anak Penghulu Adas (Dato' Kaya Hulubalang Kaduk) dan Anak Mandor Mes (Dato'Panglima Perang
Londang).
Semasa pemerintahan SultanMuhammad
II (1837-89) pula,Badan Jemaah Menteri telah diperkenalkan untuk melicinkan pemerintahan dan pentadbiran
negeri. Badan Jemaah Menteri yang setiap satu dianggotai oleh empat orang pembesar
ialah:
1.Menteri Pentadbiran dan
Mengimarahkan Negeri (kemajuan dan pembangunan negeri)
2.Menteri Perbendaharaan (harta
benda dan hasil mahsul kerajaan)
3.Menteri Luar-hal-hal berkaitan dasar dan urusan luar negeri)
4.Menteri Dalam Negeri (menjaga
keamanan negeri)
5.Menteri Peperangan- hal
berkaitan berkaitan ketenteraan, peperangan, pertahanan
dan keamanan negeri)
6.Menteri Istana-(istiadat
kebesaran diraja dan adat istiadat.rasmi)
7.Penasihat Raja (urusan hal-hal besar yang bukan rahsia)
8.Menteri Keadilan dan
Kehakiman (urusan keadilan dan kehakiman). Ini menunjukkan pada abad ke 19,
negeri Kelantan sudah mempunyai sebuah
sistem pentadbiran yang lengkap.[16]
[1] Ruslan Zainuddin dan Abd Sukor Yusuf, Ace Ahead Teks STPM Sejarah Malaysia dan
Asia Tenggara (1800-2000), (Shah Alam: Oxford Fajar Sdn. Bhd.,2014),5.
[2] Ruslan
Zainuddin , Sejarah Malaysia, (Shah
Alam: Fajar Bakti Sdn. Bhd, 2003),21.
[3]
Ibid,22.
[4] Ibid,24.
[5] Ibid,25
[6] Ong
Loo Chen, Teks STPM Sejarah, (Bandar Baru Bangi: Penerbitan Pelangi Sdn.Bhd,
2013,12.
[7] Ong
Loo Chen, Teks STPM Sejarah, (Bandar
Baru Bangi: Penerbitan Pelangi Sdn.Bhd, 2014,9.
[8] Ibid,10.
[9] Ong
Loo Chen, Teks STPM Sejarah, (Bandar Baru Bangi: Penerbitan Pelangi Sdn.Bhd,
2013,10.
[10] Zainuddin
, Sejarah Malaysia, (Shah Alam: Fajar
Bakti Sdn. Bhd, 2003),27.
[11] Ong
Loo Chen, Teks STPM Sejarah, (Bandar Baru Bangi: Penerbitan Pelangi Sdn.Bhd,
2013),10.
[12] Ong Loo Chen, Teks STPM Sejarah, (Bandar Baru
Bangi: Penerbitan Pelangi Sdn.Bhd, 2014),10.
[13]
Ruslan Zainuddin dan Abd Sukor Yusuf, Ace
Ahead Teks STPM Sejarah Malaysia dan Asia Tenggara (1800-2000,8.
[14] Ong Loo Chen, Teks STPM Sejarah, (Bandar Baru
Bangi: Penerbitan Pelangi Sdn.Bhd, 2014),10.
[15] Ibid,11.
[16] Ruslan
Zainuddin , Sejarah Malaysia, (Shah
Alam: Fajar Bakti Sdn. Bhd, 2003),27.
No comments:
Post a Comment