Monday, November 24, 2014

Soalan 2: Huraikan ciri-ciri kepimpinan Nabi Muhammad s.a.w. [20m]

Pengenalan

             Menurut pandangan Islam, manusia dijadikan Allah SWT sebagai khalifah di muka bumi dan setiap manusia adalah pemimpin secara langsung atau tidak langsung. Nabi Muhammad s.a.w. merupakan pemimpin yang dipilih dan dilantik oleh Allah SWT untuk memimpin manusia ke jalan yang benar. Kepimpinan baginda terserlah sewaktu baginda berada di kota Makkah iaitu sebelum menerima wahyu sebagai Nabi dan Rasul. Kepimpinan itu makin jelas setelah baginda berhijrah ke Madinah.
Isi
                Antara ciri kepimpinan Nabi Muhammad s.a.w. ialah bersifat adil. Isteri baginda iaitu Saidatina Aisyah binti Abu Bakar al Siddiq menyatakan baginda bersikap adil dalam segala hal seperti percakapan dan perbuatan. Baginda telah menghapuskan diskriminasi kaum dengan menghapuskan semangat assabiyah. Baginda juga membela kaum wanita serta memperkenalkan sistem ekonomi yang adil. Amalan riba dan penipuan yang selama ini menjadi kebiasaan para pedagang Arab telah diharamkan dan digantikan dengan ekonomi Islam.
                Seterusnya baginda juga seorang yang bijak. Baginda pintar mengatur taktik dan strategi peperangan. Contohnya, walaupun tentera Islam cuma seramai 313 orang dalam Perang Badar, namun dengan adanya strategi bijak yang diatur oleh baginda, mereka berjaya mengalahkan tentera Musyrikin/Quraisy Makkah yang seramai 1000 orang. Sebagai pemimpin tertinggi, baginda tidak sombong malah menerima pakai nasihat para sahabat. Contohnya baginda menerima cadangan Salman al Farisi agar menggali parit sekeliling kota Madinah untuk menyekat kemaraan tentera musuh dalam Perang Khandak.
                Selain itu, Nabi Muhammad s.a.w.  juga seorang yang berani dan tegas. Baginda bukan sahaja seorang nabi dan rasul yang diutuskan malah juga seorang pahlawan yang tiada tolok bandingnya. Baginda mengetuai setiap ekspedisi perang walaupun jumlah tenteranya kecil malah baginda berasa bertanggungjawab meniupkan semangat jihad dalam kalangan tentera Islam. Ketegasan baginda pula terserlah dengan menyingkirkan kaum Yahudi Bani Qainuqa’, Bani Nadhir dan Bani Quraizah dari bumi Madinah setelah melanggar Piagam Madinah. Mereka telah cuba menimbulkan keadaan huru-hara serta memecahbelahkan penduduk Madinah. Kesannya, penduduk Madinah kini Cuma terbatas kepada orang Islam sahaja.
                Baginda juga seorang yang cekal. Walaupun menerima tentangan hebat seawal usaha penyebaran Islam di Makkah, namun baginda tetap meneruskan dakwah Islamiyah walaupun terpaksa berhijrah ke tempat lain. Baginda tetap tabah menghadapi tentangan walaupun penentang itu datangnya daripada ahli keluarga terdekat seperti Abu Lahab yang merupakan bapa saudara baginda. Pelbagai cara digunakan oleh Quraisy untuk menunjukkan protes mereka namun usaha mereka itu menemui kegagalan dan akhirnya Nabi Muhammad s.a.w. berjaya membina sebuah negara Islam Madinah yang mampu menyaingi kota Makkah dari aspek ekonomi yang ketika itu dipegang oleh kaum Yahudi.
                Nabi Muhammad s.a.w. juga seorang yang berakhlak mulia. Akhlak mulia mampu menarik hati tidak kira kawan ataupun lawan. Dalam aspek kekeluargaan, baginda merupakan ketua keluarga yang patut dicontohi ekoran sifat pengasih dan penyayang. Contohnya, baginda sering membantu isteri memasak, menampal pakaian yang koyak, melayan anak-anak serta membersihkan rumah. Orang Arab Quraisy menggelarkan baginda ‘al-Amin’ kerana segala perkataan dan perbuatan baginda sentiasa dipercayai. Baginda juga seorang pemaaf seperti memaafkan Saidina Umar al Khattab yang pernah menjadi musuh ketat Islam malah pernah cuba membunuh baginda.
Penutup
                Ciri-ciri kepimpinan yang dimiliki Nabi Muhammad s.a.w. telah diimplementasi dalam dasar-dasar negara. Sebagai seorang pemimpin, baginda amat dihormati sehinggakan baginda dianggap seorang negarawan yang ulung.

No comments:

Post a Comment