Pages

Thursday, August 2, 2018

3.1.1 FAKTOR KEMUNCULAN SEMANGAT NASIONALISME

TEMA 3 NASIONALISME DAN PEMBENTUKAN NEGARA BANGSA
OLEH- AHMAD BIN YAAKOB
Gerakan nasionalisme di Tanah Melayu bermula secaralebih teratur pada awal abad ke-20 . Kesedaran ini timbul sebagai tindak balas masyarakat tempatan yang tidak berpuas hati dengan pentadbiran British. Kesedaran ini diperkuatkan lagi apabila orang Melayu yang menerima pendidikan agama dan sekular dari negara luar mula kembali ke tanah air.Golongan intelektual ini tampil ke hadapan untuk memainkan peranan masing-masing dalam menyedarkan masyakat Melayu yang serba mundur dan ketinggalan melalui pelbagai cara termasuk gerakan persatuan, kelab dan kesatuan.[1]

a.Konsep nasionalisme
Nasionalisme bermaksud perasaan cinta akan bangsa dan tanah air yang mendalam.Ia juga bermaksud keinginan untuk berjuang membebaskan tanah air. Tujuannya ialah untuk menebus maruah bangsa dan menentukan nasib sendiri.[2]
1.Pengaruh agama Islam.
Agama menjadi faktor penting yang menyatukan orang Melayu pada peringkat awal kebangkitan nasionalisme di Tanah Melayu. Pada tahap inigerakan nasionalisme di Tanah Melayu lebih dipengaruhi oleh gerakan Pan-Islamisme di Timur Tengah yang muncul pada akhir abad ke-19 dan awal abad ke-20.

Gerakan Pan Islamisme di Timur Tengah.
Gerakan Pan Islamisme yang dipelopori  oleh Syeikh Muhammad Abduh dan Sayid Jamaluddin al-Afghani bertujuan memberi satu tafsiran baru kepada agama Islam supaya sesuai dengan peredaran zaman bagi mengatasi masalah kemunduran umat islam di seluruh dunia.

      Gerakan Pan-Islamisme berjaya mempengaruhi pelajar Melayu yang mendapat pendidikan di Universiti al-Azhar, Mesir dan lain-lain negara di Timur Tengah. Pada tahun 1906, pengaruh gerakan ini mula dibawa masuk ke Tanah Melayu apabila mereka kembali ke tanah air. Pelajar lulusan dari Timur Tengah memulakan Gerakan Pemulihan Islam untuk menyeru orang Melayu supaya kembali semula berpegang kepada ajaran al-Quran dan hadis.

      Antara tokoh penting gerakan ini ialah Syeikh MohdTahir Jalaludin, Syed Syeikh al-Hadi, Haji Abbas Taha dan Syeokh Muhammad Salim al-Khalili.Kebanyakan mereka berasal dari keturunan Jawi-Arab dan Jawi Peranakan.[3]  
Perjuangan Kaum Muda.
Kemunculan Gerakan Pemulihan Islam ini disifatkan sebagai titik penting dalam perkembangan gerakan kebangsaan di Tanah Melayu.Ia berkait rapat dengan keadaan masyarakat Melayu ketika itu yang serba ketinggalan dalam berbagai bidang  berbanding dengan kaum-kaum lain.

Pada awal kurun ke-20, semangat kebangsaan dibangkitkan oleh golongan pelajar yang mendapat pendidikan di Timur Tengah, khususnya di Mesir. Pelajar yang menuntut di Universiti Al-Azhar telah terpengaruh dengan idea pemulihan Islam yang dibawa oleh Sayid Jamaluddin Al-Afghani dan Syeikh Muhammad Abduh. Setelah kembali ke tanah air pelajar tersebut memulakan gerakan Islah di Tanah Melayu. Golongan ini dikenali sebagai Kaum Muda.Antara tokoh penting dalam gerakan ini ialah Syeikh Tahir Jalaluddin, Syed Syeikh Al-Hadi dan Haji Abbas Muhammad Taha.  

      Idea pembaharuan Kaum Muda disebarkan melalui majalah Al-Imam. Al-Imam telah memberi kesan besar dalam perkembangan pemikiran orang Melayu. Orang Melayu mulai sedar akan kepentingan pendidikan dan ekonomi mereka.Mereka menegaskan pentingnya umat Islam kembali kepada ajaran al-Quran dan Hadis.Pada pandangan mereka, masyarakat Islam ketinggalan kepada kaum imigran bukan disebabkan oleh ketidakupayaan mereka bersaing, tetapi disebabkan kelalaian mereka memahami ajaran Islam sebenar.Bagi mereka masyarakat Melayu masih boleh diselamatkan sekiranya diberi petunjuk kepada ajaran Islam sebenar berlandaskan al-Quran dan Hadis.[4]  




[1]Ruslan Zainuddin dan Abd Sukor Yusuf, AceAhead Teks STPM Sejarah Malaysia dan Asia Tenggara (1800-2000)Penggal 3  Edisi Kemaskini,151.   
[2]“Gerakan Nasionalisme”, dalam  Modul Pengajaran dan Pembelajaran STPM Sejarah Penggal 3, , (Putrajaya: Kementerian Pendidikan Malaysia,2013) 56 .  
[3]Ruslan Zainuddin dan Abd Sukor Yusuf, AceAhead Teks STPM Sejarah Malaysia dan Asia Tenggara (1800-2000) ,153
[4]Ong Loo Chen, Pra U Teks STPM Penggal 3, (Bandar Baru Bangi:Penerbitan Pelangi Sdn. Bhd.,2015),142.  

No comments:

Post a Comment