Pages

Tuesday, November 7, 2017

Soalan 5“ Pendudukan Jepun dari tahun 1941 -1945 di Myanmar telah mempengaruhi perkembangan gerakan nasionalisme di Myanmar . “ Jelaskan



A.    PENGENALAN.

1.      Jepun menyerang negara-negara Asia Tenggara mulai tahun 1941 selaras dengan dasar imperialismenya. Semua negara Asia Tenggara kecuali Thailand ditawan oleh Jepun antara tahun 1941-1945.
2        Jepun melaksanakan pelbagai dasar dalam bidang politik, ekonomi dan sosial di negara-negara yang didudukinya . Salah satu negara yang terlibat aialah Myanmar . Dasar-dasar yang dilaksanakan oleh Jepun ini mempengaruhi perkembangan gerakan nasionalisme di Myanmar . Selain itu , terdapat juga faktor-faktor lain yang mempengaruhi perkembangan gerakan nasionalisme di Myanmar .

B.     ISI

1. Dasar pentadbiran Jepun dari segi politik.

a)      Jepun membentuk Tentera Kemerdekaan Myanmar sebagai satu pertubuhan untuk menyatukan para nasionalis dengan harapan dapat membentuk pentadbiran Myanmar yang merdeka.
b)      Jepun menubuhkan Jawatankuasa Pentadbiran Pusat yang diketuai oleh Dr. Ba Maw. Usaha ini bertujuan untuk memberi keyakinan kepada nasionalis tempatan bahawa mereka diberi peluang untuk mentadbir Negara sendiri.
c)      Pada 1 Ogos 1943, Jepun memberi kemerdekaan kepada Myanmar dan Dr. Ba Maw dilantik sebagai Perdana Menteri kerajaan bersama kabinetnya. Perlembagaan baharu diisytiharkan. Nasionalis tempatan seperti Thakin Mya dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri, Aung San dilantik sebagai Menteri Pertahanan, Than Thon sebagai Menteri Pembekalan dan Pengangkutan, dan Thakin U Un sebagai Menteri Hal Ehwal Luar Negeri.
d)     Jepun menyerahkan jawatan Timbalan Pesuruhjaya di peringkat daerah kepada orang tempatan. Jepun mengamalkan pemerinthan bercorak ketenteraan dan menggalakkan penduduk tempatan terlibat dalam ketenteraan.
e)      Jepun bertindak menyatukan kesemua parti politik di Myanmar dalam gabungan yang dikenali sebagai Doboma Siyetha Asiayone. Gabungan ini kemudiannya dipanggil Maha Bama Asiayone.
2. Bagaimana ia mempengaruhi perkembangan gerakan nasionalisme di Myanmar
i.        Kemenangan dan slogan Jepun.
a.       Kemenangan Jepun memusnahkan tanggapan dalam kalangan rakyat Mynmar bahawa British ialah sebuah kuasa yang kuat. Kemenangan tersebut telah memberi kesedaran bahawa mereka juga mampu bangkit dan berjaya mengambil alih tanah air sendiri.
b.      Slogan “Asia untuk orang Asia” dan rancangan “Kawasan Kesemakmuran Bersama Asia Timur Raya” telah membangkitkan semangat kebangsaan untuk membebaskan Negara daripada belenggu penjajah dan mengukuhkan usaha untuk menghapuskan pengaruh dan kebudayaan Barat. Nasionalis mula sedar bahawa Jepun bercita-cita mengeksploitasi ekonomi dan menjajah Negara-negara Asia Tenggara melalui slogan mereka itu.
ii.      Pentadbiran Jepun.
a.       Walaupun Jepun melibatkan pemimpin tempatan dalam pentadbiran Myanmar tetapi pentadbiran tersebut adalah di bawah kongkongan Jepun. Ini disebabkan kuasa pemimpin Myanmar, iaitu Dr. Ba Maw amat terhad.
b.      Kuasa pemerintahan sebenar dalam tangan pemimpin Jepun iaitu Dr. Gotawa, bekas ahli Jemaah Menteri di Tokyo yang menjadi Penasihat Tertinggi kerajaan Myanmar ketika itu.
c.       Jepun hanya menyerahkan jawatan seperti Timbalan Pesuruhjaya di peringkat daerah kepada orang tempatan. Bidang kuasa Timbalan Pesuruhjaya di peringkat daerah hanya meliputi hal-hal umum dan tidak penting.
d.      Selaras dengan pemerintahan bercorak ketenteraan, Jepun menggalakkan penduduk tempatan melibatkan diri dalam kegiatan dan latihan ketenteraan. Latihan seperti ini memberi kesan mendalam terhadap masyarakat tempatan Myanmar. Pembentukan Tentera Kebangsaan Myanmar di bawah Aung San dan Ne Win telah menyemarakkn lagi semangat dan keazaman mereka untuk berjuang menuntut kemerdekaan Burma.
e.       Pengisytiharan kemerdekaan Myanmar oleh Jepun telah menguatkan lagi kezaman para nasionalis tempatan untuk mendapatkan kemerdekaan Myanmar daripada British selepas Perang Dunia Kedua. Peluang pentadbiran dalam kerajaan baharu memberi latihan  pentadbiran dan keyakinan kepada para nasionalis untuk mentadbir negara sendiri tanpa bantuan pihak Jepun mahupun British.
f.       Walaupun kerajaan yang dibentuk di bawah Dr. Ba Maw merupakan kerajaan boneka sahaja, namun pengalaman yang mereka peroleh dapat mengukuhkan keyakinan mereka dalam menentukan nasib Negara selepas Jepun menyerah kalah dan selepas kedatangan semula British.
iii.    Hubungan sulit dengan British
a.       Kemerdekaan yang diberikan oleh Jepun tidak bermakna kerana tentera Jepun masih berkuasa.
b.      Golongan Thakin di bawah pimpinan Aung San telah menentang Jepun. Apabila Jepun menubuhkan Tentera Kemerdekaan Myanmar, Aung San telah menggunakan sebagai saluran menentang Jepun.
c.       Aung San bergerak secara sulit menjalinkan hubungan dengan orang Karen di bawah pimpinan Hanson Kya Doe. Mereka membuat hubungan dengan pegawai tentera British, iaitu Major H.P. Seagrim.
iv.     Gerakan bawah tanah
a.       Kekejaman dan penderitaan semasa pendudukan Jepun melahirkan semangat anti-Jepun. Nasionalis tempatan telah bersatu dibawah Liga Pembebasan Rakyat Anti-Fasis yang dipimpin oleh Aung San. LPRAF akhirnya menjadi sebuah pertubuhan berpengaruh dalam menuntut kemerdekaan Negara.
b.      Aung San dan pemimpin Thakin yang lain menentang Jepun secara berpura-pura bekerjasama dengannya. Selaku Menteri Pertahanan dalam kabinet Jepun, Aung San mendapat bantuan Than Thon untuk membentuk Tentera Kemerdekaan Myanmar yang anti-Jepun.
c.       LPRAF menentang Jepun dengan menjalankan sabotaj dan gerakan bawah tanah. Penentangan terhadap Jepun bertujuan untuk menubuhkan Negara Myanmar yang berdaulat. Golongan penentang memusnahkan beberapa kawasan strategik secara gerakan gerila.
d.      Mulai bulan Mac 1945, LPRAF bekerjasama dengan British dan menentang Jepun secara terbuka.
3. Faktor-faktor Lain
Masalah Ekonomi

Ekonomi Myanmar telah dieksploitasi oleh Jepun demi kepentingan Jepun sendiri. Nilai matawang Myanmar jatuh mendadak dan membawa kepada kadar inflasi yang  tinggi kerana kekurangan bahan keperluan. Jepun telah mencetak “duit pokok pisang” tanpa had. Jepun juga tidak mengeksport beras sebaliknya mengimport barang keperluan lain. Keadaan ini menyebabkan perdagangan antara bangsa terputus dan rakyat hidup dalam kemiskinan. Jelas bahawa kesemua kesengsaraan ini disebabkan oleh pendudukan Jepun.

  Masalah sosial

Pendudukan Jepun di Myanmar telah menyebabkan kebuluran, penderitaan dan wabak penyakit. Jepun juga menggalakkan penggunaan bahasa minoriti. Ini membawa konflik antara kaum majoriti dan minoriti di Myanmar. Mereka sedar akan muslihat dan kekejaman Jepun. Kesemua masalah sosial ini juga wujud disebabkan oleh pendudukan Jepun.

C.    KESIMPULAN.

1.      Sebagai kesimpulan, dapatlah dikatakan bahawa pendudukan Jepun di Myanmar memang mempengaruhi perkembangan nasionalisme di Myanmar . Tindakan Jepun memberi latihan politik, pentadbiran dan ketenteraan adalah titik tolak  untuk Rakyat Myanmar membentuk kerajaan sendiri. Akhirnya para nasionalis Myanmar hilang kepercayaan dan keyakinan terhadap Jepun dan mengambil langkah dengan menjalinkan kerjasama dengan British bagi mendapatkan kemerdekaan Myanmar.


 SUMBER-
SKEMA PEPERIKSAAN  PERCUBAAN  STPM SEJARAH PENGGAL 3 2017 TERENGGANU

No comments:

Post a Comment