Pages

Tuesday, November 7, 2017

Soalan 2 : Huraikan perubahan-perubahan sosioekonomi yang berlaku di Tanah Melayu kesan penghijrahan orang Cina dan India pada abad ke-20.



Pengenalan
Pada pertengahan abad ke-19 berlaku penghijrahan orang Cina dan orang India secara beramai-ramai ke Tanah Melayu.  Imigran Cina bekerja di lombong-lombong bijih timah manakala imigran India pula bekerja di ladang kopi dan getah.  Faktor penolak di negara asal seperti ketidakstabilan politik, bencana alam, masalah ekonomi dan sosial manakala dasar penarik seperti kemakmuran ekonomi dan dasar British yang menggalakkan penghijrahan orang Cina dan India telah mendorong mereka untuk terus menetap di Tanah Melayu.  Keadaan ini telah meninggalkan kesan terhadap situasi sosioekonomi di Tanah Melayu.
Isi
Kesan Sosial
i)     Pertambahan Penduduk

Penghijrahan golongan imigran Cina dan India ke Tanah Melayu  pada akhir abad  ke-19 dan awal  abad ke-20 menyebabkan pertambahan penduduk yang pesat.  Buktinya pada tahun 1870, jumlah orang Melayu lebih kurang 500 000 orang.  Jumlah ini meningkat kepada 3.3 juta menjelang tahun 1921.  Dengan kemasukan golongan imigran, orang Melayu tidak lagi menjadi kaum utama.  Menjelang tahun 1921, jumlah penduduk bukan Melayu telah melebihi jumlah penduduk Melayu.  Walaupun kedua-dua golongan imigran ini telah lama menetap di Tanah Melayu, namun mereka masih mengekalkan identiti, adat resam dan cara hidup kaum masing-masing.

ii)      Kewujudan Masyarakat Majmuk

Kehadiran golongan imigran mewujudkan masyarakat  majmuk di Tanah Melayu.  Ketiga-tiga kaum mengamalkan corak kehidupan dan kebudayaan yang berbeza.  Wujud pengenalan kaum mengikut fungsi ekonomi dan corak penempatan masyarakat.  Masyarakat Melayu tinggal di kawasan pertanian dan menjalankan aktiviti ekonomi  tradisional.  Mereka menganut agama Islam dan bertutur dalam bahasa Melayu.  Masyarakat Cina pula bekerja di lombong-lombong bijih timah dan kawasan bandar.   Mereka menyembah nenek moyang dan menganut agama Buddha.  Mereka bertutur dalam loghat seperti Hokkien, Hakka dan Kantonis.  Mereka terlibat dalam kegiatan ekonomi komersil.  Kebanyakan masyarakat India pula tinggal di kawasan ladang-ladang dan bekerja sebagai buruh di estet-estet getah.  Mereka menganut agama Hindu dan bertutur dalam bahasa etnik mereka seperti bahasa Telugu dan Malayalam.  Ketiga-tiga kaum ini hidup berasingan dan terus mengekalkan cara hidup dan perayaan masing-masing.  Pergaulan sosial dan interaksi antara mereka  sangat terhad.

iii)    Sistem Pendidikan Vernakular

Satu lagi perubahan sosial kesan penghijrahan orang Cina dan India ialah wujudnya sistem pendidikan vernacular yang tidak seragam.  Sistem pendidikan ini berkembang pesat bagi memenuhi keperluan setiap kaum.  Contohnya orang Cina mendirikan dan membiayai sendiri sekolah Cina di Tanah Melayu yang dikenali sebagai sekolah vernakular Cina.  Mereka menggunakan bahasa Cina sebagai bahasa  pengantar, membawa masuk guru-guru dari negara China sementara  mata pelajaran dan buku juga berorientasikan negara mereka. Sekolah vernakular  Tamil pula didirikan di ladang-ladang getah yang dibiayai oleh pihak pengurus ladang.  Segala mata pelajaran yang diajar  berteraskan pengetahuan mengenai negara asal mereka.  Manakala pendidikan yang disediakan oleh British untuk masyarakat pribumi ialah pendidikan sekular yang dikenali sebagai sekolah vernakular Melayu, namun kurang mendapat sambutan di kalangan orang Melayu. 

Kesan Ekonomi

iv )  Perkembangan Ekonomi Komersil
Berlaku perkembangan ekonomi  komersil yang berasaskan bijih timah dan getah kesan kemasukan orang Cina dan India.  Dalam bidang perlombongan bijih timah, kemasukan buruh-buruh Cina yang memiliki kemahiran perlombongan  dan mereka turut memperkenalkan teknologi dan kaedah-kaedah perlombongan yang baharu  telah berjaya meningkatkan pengeluaran bijih timah.  Mereka telah memperkenalkan kaedah lombong dedah dan pam kerikil.  Seterusnya tenaga buruh dari India telah memajukan perusahaan getah di Tanah Melayu pada awal abad ke-20.  Kemasukan buruh-buruh India dengan kos kemasukan dan bayaran upah yang rendah, rajin bekerja dan mudah dikawal telah mendorong kepada perkembangan perusahaan getah secara komersil.  Hal ini menggalakkan pelaburan individu dan syarikat-syarikat Eropah seperti Guthrie dan Dunlop.
V )  Sistem Dwiekonomi dan Ketidakseimbangan Ekonomi

Kehadiran golongan imigran menyebabkan berlakunya sistem dwiekonomi dan ketidakseimbangan perkembangan ekonomi.  Golongan imigran berperanan memajukan ekonomi komersil sementara penduduk pribumi yang tinggal di kawasan luar bandar terus ketinggalan dengan mengusahakan ekonomi sara diri.  Pada masa yang sama, ekonomi negeri-negeri yang kaya dengan sumber galian seperti  Perak dan Selangor berkembang pesat manakala negeri-negeri yang kurang potensi ekonomi seperti Kelantan dan Terengganu ketinggalan .


Kesimpulan

Penghijrahan imigran Cina dan India telah mengubah struktur masyarakat di Tanah Melayu.  Mereka juga telah membantu ke arah  perkembangan  ekonomi komersil.  Namun kewujudan masyarakat majmuk telah menyukarkan proses asimilasi dalam kalangan kaum-kaum di Tanah Melayu pada masa itu.

 SUMBER-
SKEMA PEPERIKSAAN  PERCUBAAN  STPM SEJARAH PENGGAL 3 2017 TERENGGANU

 

No comments:

Post a Comment