Pages

Saturday, October 14, 2017

Akhbar peniup nasionalisme

ARKIB : 30/08/2007
Oleh AZMAN IBRAHIM (WARTAWAN UTUSAN)
Shaharom Hussain.

PERTEMUAN singkat iaitu hampir dua jam dengan tokoh pendidik, sejarah, dan budaya Johor, Dr. Shaharom Hussain di kediaman anaknya di Taman Berlian, Batu Caves, Selangor baru-baru ini banyak memberi pengalaman baru dan menerjah pandangan terhadap beberapa peristiwa perjuangan kemerdekaan negara pada 50 tahun yang lalu.

Sepanjang perbualan dengannya yang masih kuat dan berpenampilan kemas, beliau ternyata tidak pernah lupa mengenai perjuangan orang Melayu dalam menuntut kemerdekaan.

Malah, beliau turut memuji peranan akhbar Utusan Melayu yang dikatakan menjadi perintis kepada usaha untuk memerdekakan negara.

Dr. Shaharom bukan sahaja tokoh pendidik, malah beliau merupakan sejarawan dan pernah aktif membabitkan diri dalam bidang penulisan sejak tahun 1920-an lagi.

Anak jati Batu Pahat, Johor ini juga tidak lokek berkongsi pandangan dan pengalamannya tentang kemerdekaan negara, apatah lagi mengenai Utusan Melayu.

Pada usia 88 tahun itu, beliau masih jelas mengingati detik-detik sejarah perjuangan menuntut sehingga membawa kepada kemerdekaan negara.

Dr. Shaharom pernah menempuh pahit maung bersama-sama dengan pejuang negara sebelum merdeka. Beliau merupakan bekas penuntut dan tenaga pengajar di Sultan Idris Training College for Malay Teachers (SITC) yang kini dikenali sebagai Universiti Pendidikan Sultan Idris di Tanjung Malim, Perak.

Akhbar Utusan Melayu, katanya, banyak jasa kepada negara. Selain menjadi penyebar fikiran rakyat, akhbar ini juga menjadi ‘lidah’ perjuangan kepada para pemimpin untuk menuntut kemerdekaan negara sehingga ia berjaya direalisasikan pada tanggal 31 Ogos 1957.

Menurutnya, akhbar Utusan Melayu paling lantang memainkan isu kemerdekaan selain isu perpaduan kaum dan menuntut hak-hak rakyat pada awal tahun 1950-an.

Beliau memberitahu, pada waktu itu, isu yang paling hangat dan sering dipaparkan di muka depan akhbar berkenaan adalah mengenai usaha-usaha menuntut kemerdekaan dan penentangan terhadap penjajah.

Katanya, Utusan Melayu pada waktu itu satu-satunya akhbar Melayu beridentitikan jati Melayu yang mewakili suara bangsa Melayu bagi menentang penjajahan dan menuntut kebebasan.

“Sejujurnya saya katakan, Utusan Melayu dulu amat berjasa dan perjuangannya sedikit berbeza dengan sekarang. Dulu perjuangannya lebih ikhlas, lantang dan berani, tetapi sekarang Utusan Melayu bersifat komersial, sudah melalui perubahan sejajar dengan perkembangan dunia masa kini,” katanya.

Diingati

Utusan Melayu jelas Dr. Shaharom banyak melahirkan penulis agung yang banyak meninggalkan bakti dan hadirnya golongan ini memberi kesan kepada negara.

Salah seorang penulis Utusan Melayu yang paling diingati oleh Dr. Shaharom ialah Tan Sri A. Samad Ismail.

Katanya, penulisan A. Samad Ismail cemerlang, ikhlas dan lantang menyuarakan pandangan terutamanya dalam hal-hal yang membabitkan maruah bangsa dan rakyat.

Mengikut sejarah, akhbar Utusan Melayu ditubuhkan di Singapura pada 29 Mei 1939. Salah satu matlamat penubuhan Utusan Melayu adalah untuk membangkitkan semangat nasionalisme rakyat.

Selepas penubuhan akhbar dalam tulisan jawi ini, ia berjaya menumbangkan Malayan Union dan pada waktu itu, pengasas Utusan Melayu adalah Yusof Ishak.

Menurut Dr. Shaharom, peristiwa-peristiwa bersejarah yang pernah dipaparkan di akhbar Utusan Melayu sebelum kemerdekaan dan selepas kemerdekaan negara adalah mengenai Perdana Menteri, Tunku Abdul Rahman Putra dengan aktivis komunis, Chin Peng di Baling, rusuhan terhadap Natrah pada 12 Disember 1950 dan yang paling besar pengisytiharan kemerdekaan Tanah Melayu pada 31 Ogos 1957, semuanya ada dalam lipatan sejarah Utusan Melayu. Beliau turut menyebut tentang Peristiwa 13 Mei 1969.

Tambahnya, beberapa tokoh penulis dan sasterawan yang dikenali dan menjadi idolanya selain A. Samad Ismail ialah pelopor akhbar Suara Rakyat di Ipoh, Perak iaitu Ahmad Boestamam (Abdullah Thani bin Raja Kechil), Zainal Abidin Ahmad (pendeta Za’ba) dan tokoh sasterawan, Harun Aminurashid.

Kalangan ini katanya, banyak memberi ilham kepadanya untuk terus berkarya dan menulis sehingga ke hujung nyawa.

“Saya akan terus menulis dan berkarya, malah, sekarang, saya sudah siap menulis mengenai tingkah laku dan peribadi manusia yang berjudul Gila Saya.

“Buku ini belum diterbitkan lagi dan ia merupakan salah satu karya saya yang terbaik untuk dikongsi bersama dengan semua,” ujar Dr. Shaharom.

SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2007&dt=0830&pub=Utusan_Malaysia&sec=Rencana&pg=re_02.htm#ixzz4vXKmEmy9
© Utusan Melayu (M) Bhd

No comments:

Post a Comment