Pages

Sunday, October 2, 2016

4. Bincangkan susun lapis masyarakat di Indonesia sebelum kedatangan kuasa barat.



A. Pengenalan.
Sebelum kedatangan Belanda masyarakat di Indonesia boleh dibahagikan kepada dua golongan iaitu golongan pemerintah dan golongan diperintan. Golongan pemerintah terdiri dari raja/sultan, anak-anak raja, bangsawan, pembesar, priyayi dan pemimpin agama. Manakala golongan diperintah ialah rakyat biasa kebanyakannya adalah petani serta hamba merupakan lapisan yang paling bawah. Setiap golongan ini mempunyai peranan dan tanggung jawabnya yang tersendiri.
B. Isi-isi.
Golongan Pemerintah.
1. Raja/Sultan.
Raja/Sultan berada pada kedudukan teratas dalam hierarki sosial  masyarakat Indonesia. Contohnya di Acheh dan Pulau Jawa. Sultan Acheh merupakan ketua agama Islam dan menjadi pelindung masyarakatnya. Sultan juga berkuasa mutlak dalam pemerintahan di wilayah jajahan takluknya. Baginda juga dianggap istimewa mempunyai sifat luar biasa dan berdaulat. Sultan dianggap Khalifah Allah dan pemimpin bagi umat Islam.
2. Kerabat Diraja.
Kerabat diraja membantu raja/sultan dalam pentadbiran di peringkat pusat dan mendiami kawasan ibu kota. Selain menjalankan tugas pentadbiran, mereka juga melaksanakan upacara keagamaan dan ritual di wilayah atau kerajaan mereka. Golongan pemerintah ini menguasai tanah dan perdagangan maritim. Terdapat juga raja dan kerabat diraja yang memerintah negeri yang terdiri daripada beberapa kumpulan etnik, contohnya Jawa, Sumatera dan Kalimantan. Golongan ini dapat mengumpul harta dan menghantar anak-anak mereka ke sekolah. Di Jawa, raja, kerabat diraja dan golongan bangsawan agak terasing daripada masyarakat disebabkan pengaruh agama dan tradisi. Golongan keturunan diraja dibahagi mengikut darjat keturunan masing-masing yang mempunyai status dan prestij tersendiri dalam masyarakat.
3. Pembesar/Uleebalang/Priyayi.
Lapisan seterusnya diikuti oleh golongan bangsawan yang terdiri daripada kerabat diraja dan bukan kerabat diraja. Di Jawa, golongan priyayi atau bangsawan menjadi penghubung antara sultan dan rakyat. Hubungan antara keduanya amat rapat. Mereka juga merupakan pemimpin kerohanian atau agama dalam masyarakat Jawa. Priyayi kebiasaannya mempunyai hubungan kekeluargaan dengan sultan atau kerabat diraja. Golongan ini juga berkuasa ke atas masyarakat peribumi dan ketua tempatan (bupati). Sementara di Acheh, kerabat diraja merupakan keturunan bekas sultan yang pernah memerintah Acheh. Pembesar atau Uleebalang juga mempunyai kedudukan yang tinggi dalam hierarki sosial di Indonesia terutamanya di Acheh. Mereka menggunakan gelaran Teuku dan merupakan tulang belakang pemerintahan dan pertahanan.
4. Ulama
Di Acheh, ulama menjadi penasihat agama Islam kepada sultan. Memunyai kedudukan tertinggi dan dihormati kerana ketinggian ilmu agamanya serta sering menjadi rujukan masyarakat. Ulama diberi gelaran Tengku sesuai dengan kedudukannya dalam masyarakat.

Golongan Diperintah.
1. Rakyat.
Rakyat terdiri dari pelbagai lapisan masyarakat. Mereka menjalankan aktiviti pertanian dan perikanan contohnya menjadi petani, nelayan, pelaut dan pedagang. Golongan rakyat khususnya petani tidak memiliki tanah tetapi menyewa tanah daripada golongan bangsawan. Mereka bercucuk tanam sebagai aktiviti harian seperti menanam padi. Rakyat memberi khidmat dengan mengerjakan tanah milik bangsawan, melaksanakan tugas yang diberikan dan menjadi askar dalam peperangan apabila raja/tuan tanah terlibat dalam peperangan. Rakyat yang kebanyakan petani membayar cukai dan amat setia kepada golongan pemerintah. Petani merupakan majority dalam masyarakat menjadi tunjang kegiatan ekonomi di Indonesia yang merupakan sebuah negara agraria.

2. Hamba.
Hamba memduduki lapisan paling bawah. Kehidupan mereka bergantung kepada tuan tanah. Golongan ini biasanya dibebani dengan hutang- piutang.

C. Kesimpulan.
Masyarakat peribumi di Indonesia terpengaruh dengan unsur agama dan kepercayaan. Keadaan tersebut menyebabkan mereka terlalu mentaati raja mereka. Selepas penjajahan Belanda, susun lapis masyarakat di Indonesia mulai berubah. Kedudukan dan kuasa tradisi golongan bupati mulai merosot kerana mereka digantikan oleh pegawai Eropah atau golongan yang berpendidikan barat. Golongan priyayi dan pembesar tempatan dibayar gaji. Sultan juga kehilangan kuasa memerintah.



SUMBER- SKEMA PERCUBAAN SEJARAH STPM P3 NEGERI PAHANG 2016


1 comment: