Pages

Monday, November 24, 2014

SOALAN 1 Nabi Muhammad merupakan seorang negarawan yang unggul.Bincangkan. [20m]


Nabi Muhammad SAW dilahirkan pada tahun 570 M.. Baginda telah kehilangan orang-orang
yang disayangi sejak kecil lagi. Baginda dibesarkan oleh datuknya, iaitu Abdul Muttalib dan bapa saudaranya, iaitu Abu Talib. Baginda berkahwin dengan Siti Khadijah semasa berumur 25 tahun. Ketika baginda berusia 40 tahun, baginda telah menerima wahyu yang pertama, surah al-Alaq yang menandakan pengiktirafan baginda sebagai seorang nabi dan rasul diikuti dengan turunnya surah al- Muddasir. Selepas Rasulullah SAW berhijrah ke Madinah, baginda dilantik sebagai ketua negara. Baginda berjaya membina sebuah negara Islam yang berdaulat dan disegani. Dengan itu, baginda diakui sebagai seorang negarawan yang unggul.
      Sebagai seorang pemimpin politik, baginda berjaya mengasaskan perlembagaan bertulis yang pertama, iaitu Sahifah Madinah yang bersumberkan wahyu. Baginda juga memperkenalkan corak pemerintahan musyawarah. Sistem syura merupakan cara membuat keputusan secara kolektif.
      Selain itu, sistem perundangan Islam diperkenalkan terutamanya undang-undang sivil. Nabi Muhammad SAW juga telah menjalinkan hubungan diplomatik dengan dua kuasa besar di wilayah tersebut pada masa itu, iaitu Rom dan Parsi. Rom dan Parsi menerima utusan dari Madinah dan mengiktiraf Madinah sebagai sebuah negara Islam.
      Sebagai pemerintah Madinah, baginda juga membentuk pasukan tentera Islam serta menjadi ketua angkatan tentera. Rasulullah SAW memimpin 27 ekspedisi ketenteraan dengan menunjukkan mutu kepimpinan yang tinggi. Asas kepimpinan baginda dalam bidang ketenteraan ialah akidah, syariat dan akhlak yang mulia. Baginda menanam semangat jihad, mengamalkan sifat amanah dan adil. Baginda juga berkebolehan merangka taktik dan strategi
ketenteraan yang membawa kepada kemenangan.
      Perhatian utama baginda semasa di Madinah adalah untuk menyatukan penduduk pelbagai kaum di situ. Baginda bukan sahaja menamatkan permusuhan antara suku Aus dengan khazraj tetapi juga berjaya membentuk ummah yang bersatu padu. Baginda juga mempersaudarakan golongan Ansar dan Muhajirin berdasarkan konsep ukhuwah Islamiyah.
      Sebagai pemimpin masyarakat, baginda menegaskan persamaan taraf dan menegakkan keadilan. Taraf wanita juga dinaikkan dan mereka dihormati. Golongan Yahudi juga dijamin kebebasan beragama dan diterima sebagai rakyat Madinah selagi tidak melanggar Piagam Madinah.
      Sebagai ketua negara, Rasulullah SAW juga mengembangkan ekonomi orang Islam di Madinah. Baginda memperkenalkan dasar ekonomi baharu. Sebagai perancang ekonomi, Nabi Muhammad SAW menggalakkan orang Islam bekerja keras, bergiat aktif dalam perniagaan dan pertanian.Kebajikan masyarakat dijaga apabila bayaran zakat diwajibkan. Nabi Muhammad SAW juga mempertingkatkan usaha menyekat kegiatan kaum Musyrikin Quraisy.
      Kehebatan dan kepimpinan Rasulullah SAW dalam bidang politik, ekonomi dan sosial menjadi asas pembentukan negara Islam pertama di Madinah.Memang tidak dapat dinafikan bahawa baginda merupakan seorang negarawan yang unggul.

No comments:

Post a Comment