Pages

Monday, July 23, 2018

Nilaikan penentangan terhadap Sistem Residen di Perak 1875 dan di Pahang 1891. [20]

British campur tangan di Perak tahun 1874 dan di Pahang 1888. Melalui campur tangan tersebut, Sistem Residen diperkenalkan.Sistem Residen merupakan sistem pemerintahan secara tidak langsung British di Perak dan Pahang. Di bawah Sistem Residen seorang pegawai British yang digelar Residen dilantik untuk menasihati Sultan dalam segala hal pentadbiran kecuali agama dan adat-istiadat  Melayu. Di Perak Residen pertama ialah JWW Birch, manakala di Pahang J.P Rodger dilantik menjadi Residen yang pertama. Sistem residen di Perak dan Pahang ditentang hebat oleh masyarakat tempatan atas sebab-sebab politik, ekonomi dan sosial.

Isi-isi penting
Sebab penentangan di Perak.
1.Perjanjian Pangkor gagal menyelesaikan masalah.
Masalah perebutan takhta antara Raja Abdullah dan Raja Ismail tidak dapat diselesaikan walau pun Perjanjian Pangkor ditandatangani 1874.
Selepas Perjanjian Pangkor, pembesar-pembesar di Hulu Perak tidak mengiktiraf Raja Abdullah sebagai Sultan Perak.
Raja Ismail enggan menyerahkan alat kebesaran raja yang diperlukan untuk pertabalan seseorang sultan.
Ngah Ibrahim pula tidak berpuas hati kerana terpaksa mengikut nasihat Kapten Speedy.

2.Campur tangan JWW Birch dalam adat resam orang Melayu.
J.W.W Birch telah mengambil alih pungutan cukai di Perak. Beliau mewujudkan sebuah khazanah pusat yang dikendalikan oleh pegawai British.
Sultan dan pembesar dilarang memungut cukai tanpa bayaran ganti rugi yang mencukupi. Ini dilihat sebagai satu tindakan yang mengancam kedudukan tradisional dan kekuasaan sultan dan pembesar.
Birch menentang amalan perhambaan yang merupakan adat resam masyarakat Melayu tradisional. Institusi perhambaan. melarnbangkan kedudukan dan kekuasaan seorang sultan atau pembesar. Birch telah memberi perlindungan kepada hamba abdi yang melarikan diri daripada tuan mereka di tempat kediamannya.
Birch telah melanggar syarat Perjanjian Pangkor dengan campur tangan dalam adat resam orang Melayu.
3.Pengenalan cukai baharu
Birch memperkenalkan pelbagai cukai yang asing pada masyarakat Melayu serta membebankan masyarakat tempatan. Contohnya, cukai ke atas perahu dan perahu dagang. Perahu yang digunakan untuk menangkap ikan dikenakan cukai sebanyak 50 sen. Perahu dagang pula dikenakan cukai sebanyak satu ringgit.
Terdapat cukai ke atas hasil padi.Bayaran lesen dikenakan ke atas hak membawa senjata.
Birch telah membatalkan pajakan Sultan Abdultah kepada Tan Kim Cheng sebanyak $26 000 setahun bagi pungutan cukai kastam di Perak. Birch kemudiannya membuat tawaran baru dengan memajakkan pungutan cukai ke atas minuman keras serta candu yang berjumlah $6 000 sebulan
kepada Tan Kim Cheng dan rakan-rakannya.
4.Keperibadian Birch
Birch mempunyai keperibadian yang lemah dan suka menghina sultan dan pembesar Perak. Pada Ogos 1875, Birch menghina Sultan Abdullah apabila baginda bersama-sama dengan pembesar Melayu yang lain pergi ke rumahnya untuk meminta bayaran ganti rugi.
Birch mencabar kekuasaan Sultan Abdullah dengan biadap mengatakan bahawa bayaran ganti rugi hanya akan dibayar sekiranya mereka berhenti memungut hasil.
5.Kesilapan Sir William Jervois
Sir William Jervois ingin mengambil alih pemerintahan negeri Perak melalui pelantikan pegawai-pegawai British atas nama sultan.
Ini bermakna sultan dan pembesar Perak tidak mempunyai kuasa politik lagi. Mereka dipaksa menyerahkan kuasa pentadbiran kepada British dan akan diberi pencen atau ganti rugi. Jervois telah menetapkan  sekiranya Sultan Abdullah membantah, baginda akan dibuang negeri. Sultan Abdullah terpaksa menandatangani dua perisytiharan untuk menerima cadangan ini pada 2 Oktober 1875.

Sebab penentangan di Pahang
1.Perasaan tidak puas hati Sultan Ahmad Sultan Ahmad kehilangan kuasa pentadbiran. Kedudukan baginda dalam Majlis Mesyuarat Negeri tidak bermakna langsung kerana segala keputusan dalam tangan Residen British.
Sultan Ahmad dipaksa menandatangani satu perisytiharan yang melantik putera baginda, iaitu Tengku Mahmud sebagai pemangku Raja dengan kuasa penuh.
Sultan Ahmad berpindah ke Pulau Tawar. Baginda telah bekerjasama dengan pembesar lain menentang Sistem Residen secara sulit.

2.Perasaan tidak puas hati pembesar
Dato Bahaman merupakan Orang Besar Berempat dan Orang Besar Semantan. Beliau diberi amaran oleh British sebab memungut cukai di kawasannya sendiri.
British mendirikan sebuah balai polis di Lubuk Terua yang terletak dalam kawasan Semantan tanpa memaklumkan kepadanya.
Dato Bahaman hanya diberi elaun sebanyak $70 sebulan walaupun beliau meminta sebanyak $500.
Tok Raja adalah Orang Besar Berempat. Beliau pernah mengadu kepada Residen British tentang Syarikat Penom yang melombong emas di kawasannya tetapi British tidak melayannya.
Tok Gajah berkedudukan sebagai Orang Besar Raja dan mempunyai pengaruh dalam istana. Permintaan beliau untuk menaikkan elaun pembesar dan pembayaran elaun kepada penghulu tidak dihiraukan langsung oleh British.
3Perasaan tidak puas hati rakyat
Rakyat tidak puas hati dengan pengenalan sistem lesen dan permit.
Mereka terpaksa memperoleh lesen atau permit untuk mendapatkan hasil hutan seperti kayu dan daun rumbia.
Mereka juga tidak dibenarkan memakai keris.
British memperkenalkan cukai ke atas tanah kecuali tanah warisan. Kadar cukai adalah berdasarkan jenis tanah.
Rakyat Pahang benci dengan sikap orang asing yangberada di Pahang. Ramai orang Cina dan Eropah bersikap sombong dan jahil terhadap adat resam tempatan.

Penutup
Campur tangan British dan pengenalan Sistem Residen membawa kepada penentangan di Perak dan Pahang. British tidak sensitif terhadap adat resam dan tradisi masyarakat tempatan. Mereka melaksanakan sesuatu yang asing dan dilakukan dengan tergesa-gesa. British telah mengenepikan kewibawaan dan kedaulatan sultan dan pembesar. Walau bagaimanapun, penentangan di Perak dan Pahang dapat dipatahkan. Selepas itu, British lebih berhati-hati apabila berurusan dengan orang Melayu.



No comments:

Post a Comment