Pages

Friday, September 8, 2017

Menyorot Perjanjian Pangkor 1874

Sabtu, 9 September 2017 | 5:58am
 
GAMBAR yang dirakam pada tahun 1875 menunjukkan pentadbir dan pegawai British yang terlibat dalam Perjanjian Pangkor yang ditandatangani pada 1874. Sir William Jervois (duduk tengah) merupakan Gabenar Baharu menggantikan Gabenor Clarke. Berdiri dari kiri; Dr. Anderson, Kapten Innes, Mejar F McNair, Lt. Henry Mc Callum, J.W.W. Birch, W. Knaggs (memakai suit terang), Kapten Speedy dan Frank Sweethenham. (Sumber: Akib Negara Malaysia)
Menyorot Perjanjian Pangkor 1874
Oleh Datuk Wan Ahmad Fauzi Wan Husain
bhrencana@bh.com.my         

Dalam suasana kegembiraan kita menyambut Ulang Tahun Ke-60 Hari Kemerdekaan, barangkali satu kewajaran untuk kita menyoroti isu yang dekat dengan maksud Hari Kemerdekaan. Pandangan popular ada mendakwa Kerajaan Melayu mula terjajah apabila doktrin nasihat diperkenalkan seawal Perjanjian Pangkor 1874. Doktrin nasihat bermaksud Raja Melayu dikehendaki mendapatkan nasihat pegawai British dan bertindak di atas nasihat berkenaan.

Justeru, ada pandangan merumuskan implikasi daripada pengenalan doktrin nasihat, kedaulatan Raja-Raja Melayu berubah menjadi satu fiksyen, bersifat budaya yang melambangkan identiti politik semata-mata tanpa kekuasaan sebenar. Neraca yang diguna adalah kedaulatan pada pemikiran Barat, iaitu kuasa agung bersifat mutlak, bebas, merdeka tanpa kawalan pihak yang lebih tinggi daripadanya.

Perbahasan doktrin nasihat dalam rencana ini adalah bersumberkan Fasal 6 Perjanjian Pangkor. Ia menyatakan bahawa Sultan Perak hendaklah menerima seorang Residen British yang nasihatnya hendaklah diminta, dan Sultan perlu bertindak menurut nasihat dalam semua persoalan melainkan perkara menyentuh agama Islam dan adat. Kebenaran dakwaan Fasal 6 Perjanjian Pangkor 1874 melucutkan kedaulatan Sultan Perak dan prinsip yang sama terkesan ke atas Raja-Raja Melayu, perlulah dirujuk pada peruntukan perjanjian antara Kerajaan Melayu Perak dan Kerajaan Melayu dengan Kerajaan British.

Demografi hubungan antara Kerajaan Melayu dengan Kerajaan British ditakrif melalui perjanjian, bukan akibat selepas peperangan. Satu aspek penting yang sehingga kini diabaikan apabila membahaskan implikasi Perjanjian Pangkor, Kerajaan Melayu Perak sudah memiliki perlembagaan, seawal Hukum Kanun Melaka dan diperkukuhkan lagi dengan Undang-Undang 99 Perak.

Perjanjian Pangkor sekiranya diperhatikan secara tersurat pada hakikatnya membuktikan wujudnya perhubungan diplomatik antarabangsa dan pengiktirafan bahawa Sultan Perak adalah seorang pemerintah yang berdaulat. Dari sisi prinsip undang-undang yang sudah mantap, Perjanjian Pangkor tidak boleh mengatasi Perlembagaan Kerajaan Perak sebagai undang-undang tertinggi. Apatah lagi prinsip yang dikembangkan sejak Perjanjian Keamanan Westphalia 1648 tidak membenarkan pencerobohan ke atas kedaulatan negara lain.

Komitmen British lindungi Kerajaan Melayu Perak

Dari sudut objektif Perjanjian Pangkor, ia terkandung dengan jelas seperti berikut:

Keadaan huru-hara dan kacau bilau mengakibatkan keperluan kepada: pertama, sistem politik mantap dalam Kerajaan Melayu Perak. Kedua, kuasa berkesan bagi perlindungan rakyat dan jaminan keberhasilan perusahaan.

Angka besar keturunan Cina dan jumlah pelaburan besar oleh rakyat British juga lain-lain pemastautin wilayah milik Kerajaan British yang terbabit dengan perusahaan perlombongan timah: situasi kawasan lombong dan harta yang tidak dilindungi sepenuhnya, berlakunya aktiviti pelanunan, kes pembunuhan dan jenayah pembakaran secara berleluasa di dalam negeri mengakibatkan kerugian kepada perdagangan dan kepentingan British, begitu juga ancaman kepada keamanan Negeri-Negeri Selat.

Pengakuan sebahagian pembesar yang tidak berupaya lagi untuk menangani masalah semasa dan permintaan bantuan daripada pihak berkepentingan dalam perusahaan di dalam negeri.

Komitmen Kerajaan British dalam perjanjian dimeterai untuk melindungi Kerajaan Melayu Perak dan membantu pemerintah.

Penyataan di atas amat penting dan perlu dilihat dalam konteks konsep dan prinsip pelaksanaan doktrin nasihat dalam Perjanjian Pangkor. Bahkan, sekiranya dilihat daripada tradisi pemerintahan kerajaan Melayu, pemerintahan atas nasihat atau rulers in council bukan baharu. Malah, Islam sendiri menuntut amalan syura dalam pemerintahan negara.

Jelasnya, Perjanjian Pangkor tidak memberi kuasa mutlak kepada Residen British untuk mengenakan paksaan sehingga boleh menghilangkan kedaulatan Sultan Perak atau kerajaan baginda. Ini adalah kerana pengenalan doktrin nasihat bertujuan untuk menguruskan sebab dan objektif yang dinyatakan dengan tersurat, dan ia mendahului semua terma lain dalam Perjanjian Pangkor.

Had bidang nasihat residen

Selain itu, Fasal 6 Perjanjian Pangkor mengehadkan bidang nasihat residen selain daripada perkara yang menyentuh agama Islam dan adat Melayu. Pengecualian itu memberi satu signifikan besar kerana takrifan Islam dan adat Melayu itu amat luas.

Dari sudut lain, suatu nasihat yang dipaksakan demi keselamatan dan keuntungan bersama, tidak wajar ditakrifkan sebagai satu penjajahan walaupun ada unsur indirect rule. Campur tangan British di Perak adalah tertakluk pada Perjanjian Pangkor dan Perjanjian Pangkor itu tertakluk pada Perlembagaan Kerajaan Melayu Perak.

Ringkasnya, walaupun Sultan Perak dikehendaki bertindak atas nasihat residen namun tugas asasi residen adalah untuk memberikan nasihat, bukannya memerintah. Posisi itu adalah dasar British yang dinyatakan dengan jelas kepada residen di Tanah Melayu.

Atas landasan sama, pelaksanaan dasar-dasar British, termasuk 'common law' sewajarnya dibataskan pada sumber kuasanya, iaitu Perjanjian Pangkor. Akhirnya, konsep kedaulatan Sultan Perak itu juga hendaklah disoroti menurut kerangka watan, bukanlah prinsip asing seperti ditegaskan dalam keputusan Kes Re: Yap Kwan Seng's Will (1924).

Penulis adalah Ketua Lajnah Kajian Strategik Majlis Ittihad Ummah
SUMBER-BERITA HARIAN ONLINE Sabtu, 9 September 2017 | 5:58am

No comments:

Post a Comment