Oleh-AHMAD BIN
YAAKOB
Latar Belakang
Pada tahun 1922, sekumpulan pelajar Indonesia di Holland
telah menubuhkan Perhimpunan Indonesia. Setahun kemudian, Perhimpunan Indonesia
telah menegaskan rancangan mereka untuk berjuang ke arah kemerdekaan negara. Untuk
mencapai hasrat tersebut, Perhimpunan Indonesia menggabungkan usaha semua
golongan masyarakat Indonesia dan menjalankan dasar tidak bekerjasama dengan
kerajaan Belanda. Perhimpunan Indonesia bersifat agresif dan radikal sejak
penubuhannya di Holland.[1]
Perhimpunan Indonesia berjaya mendapat sokongan ramai
kerana memperjuangkan kemerdekaan. Antara tahun 1923 dan 1927, ahli-ahli
Perhimpunan Indonesia yang pulang ke Indonesia telah menubuhkan kelab-kelab
pelajar di beberapa buah bandar. Kelab tersebut menjadi pusat perbincangan dan
saluran idea perjuangan Perhimpunan Indonesia. Dalam kalangan kelab yang
ditubuhkan, Kelab Pelajar Bandung yang paling aktif. Dari kelab tersebut,
Soekarno mengambil inisiatif menubuhkan Perserikatan Nasional Indonesia pada 4 Jun
1927.
Perserikatan Nasional Indonesia kemudian menukar namanya
kepada Partai Nasional Indonesia (PNI). Soekarno ialah pemimpin utama, dibantu
oleh pemimpin lain seperti Iskaq Tjokrohadisoerjo, Dr. Tjipto Mangunkusumo, Ir.
Anwari, Ali Sastroamidjojo, dan Sunarjo.
Sebab dan Matlamat Penubuhan
Mulai tahun 1927, peranan PNI dalam pergerakan nasional
Indonesia amat besar. Antara sebab dan matlamat penubuhan PNI:
(a) Menuntut kemerdekaan mutlak.
(b) Menyatukan rakyat Indonesia melalui gabungan
Parti-Parti politik kebangsaan Indonesia.
(c) Membentuk kerajaan demokrasi berparlimen yang
bertanggungjawab kepada semua rakyat.
(d) Memartabatkan penggunaan bahasa Indonesia sebagai
bahasa rasmi.
PNI berjuang secara aktif dan radikal demi mencapai
matlamat untuk membebaskan Indonesia daripada penjajahan Belanda. Antara usaha
PNI ialah:
(a) Mengamalkan dasar penentangan pasif.
(b) Mengamalkan dasar tidak bekerjasama dengan Belanda.
(c) Menyeru pegawai Indonesia memulaukan Volksraad dan
perkhidmatan awam kerajaan.
(d) Menubuhkan kesatuan buruh.
(e) Memajukan syarikat kerjasama.
(f) Menyokongpendidikankebangsaan.
(g) Menganjurkan kursus dan mendirikan sekolah.
(h) Mengadakan rapat-rapat umum.
(i) Menyebarkan idea nasionalis melalui penerbitan surat
khabar Banteng Priangan di Bandung dan Persatuan Indonesia di Jakarta.
Perjuangan PNI dijelaskan semasa Kongres Pemuda yang
telah mengeluarkan "sumpah Pemuda" yang menekankan tiga perkara,
iaitu:
(a) Semua rakyat Indonesia adalah sebangsa, sebahasa, dan
senegara. '
Berdasarkan prinsip tersebut, PNI menegaskan tidak akan
menggunakan agama Islam sebagai dasar perjuangannya kerana soal kemerdekaan
turut melibatkan rakyat Indonesia beragama Kristian yang berbeza bahasa dan
budaya.
(b) Pertubuhan belia seperti Pemuda Jawa, Pemuda Sulawesi,
Pemuda Sumatera dan Pemuda Ambon digabungkan menjadi Persatuan Pemuda
Indonesia.
(c) Lagu kebangsaan akan dicipta dan digunakan secara
rasmi. Idea nasionalisme dapat disalurkan melalui ciptaan lagu kebangsaan.
Kebijaksanaan Soekarno mengutamakan soal perpaduan dan
persefahaman membolehkan PNI mendapat sokongan ramai dan menjadi parti politik
yang paling popular. Dalam masa dua tahun sahaja, PNI berjaya meraih sokongan
seramai 10 000 orang.
Selaras dengan hasrat menyatukan rakyat Indonesia tanpa
mengira perbezaan keturunan,bangsa, dan agama, PNI berusaha menggabungkan
parti-parti politik yang sedia ada seperti Budi Utomo, Pasundan, Ikatan
Sumatera, Kaum Betawi, Kelab Pelajar Surabaya, dan Sarekat Islam dalam satu
gabungan yang besar, iaitu Permuafakatan Perhimpunan Politik Kebangsaan
Indonesia (PPPKI). Melalui PPPKI, PNI telah berusaha membentuk perpaduan
kebangsaan.[2]
[1] Ong
Loo Chen, Pra U Teks STPM Penggal 3,
(Bandar Baru Bangi:Penerbitan Pelangi Sdn. Bhd.,2015),352.