TEMA 3 NASIONALISME DAN
PEMBENTUKAN NEGARA BANGSA
OLEH- AHMAD BIN YAAKOB
Gerakan nasionalisme di Tanah
Melayu bermula secaralebih teratur pada awal abad ke-20 . Kesedaran ini timbul
sebagai tindak balas masyarakat tempatan yang tidak berpuas hati dengan
pentadbiran British. Kesedaran ini diperkuatkan lagi apabila orang Melayu yang
menerima pendidikan agama dan sekular dari negara luar mula kembali ke tanah
air.Golongan intelektual ini tampil ke hadapan untuk memainkan peranan
masing-masing dalam menyedarkan masyakat Melayu yang serba mundur dan
ketinggalan melalui pelbagai cara termasuk gerakan persatuan, kelab dan
kesatuan.[1]
a.Konsep nasionalisme
Nasionalisme bermaksud perasaan
cinta akan bangsa dan tanah air yang mendalam.Ia juga bermaksud keinginan untuk
berjuang membebaskan tanah air. Tujuannya ialah untuk menebus maruah bangsa dan
menentukan nasib sendiri.[2]
1.Pengaruh agama Islam.
Agama menjadi faktor penting
yang menyatukan orang Melayu pada peringkat awal kebangkitan nasionalisme di
Tanah Melayu. Pada tahap inigerakan nasionalisme di Tanah Melayu lebih
dipengaruhi oleh gerakan Pan-Islamisme di Timur Tengah yang muncul pada akhir
abad ke-19 dan awal abad ke-20.
Gerakan Pan Islamisme di Timur Tengah.
Gerakan Pan Islamisme yang
dipelopori oleh Syeikh Muhammad Abduh
dan Sayid Jamaluddin al-Afghani bertujuan memberi satu tafsiran baru kepada
agama Islam supaya sesuai dengan peredaran zaman bagi mengatasi masalah
kemunduran umat islam di seluruh dunia.
Gerakan Pan-Islamisme berjaya
mempengaruhi pelajar Melayu yang mendapat pendidikan di Universiti al-Azhar, Mesir
dan lain-lain negara di Timur Tengah. Pada tahun 1906, pengaruh gerakan ini
mula dibawa masuk ke Tanah Melayu apabila mereka kembali ke tanah air. Pelajar
lulusan dari Timur Tengah memulakan Gerakan Pemulihan Islam untuk menyeru orang
Melayu supaya kembali semula berpegang kepada ajaran al-Quran dan hadis.
Antara tokoh penting gerakan ini ialah Syeikh
MohdTahir Jalaludin, Syed Syeikh al-Hadi, Haji Abbas Taha dan Syeokh Muhammad
Salim al-Khalili.Kebanyakan mereka berasal dari keturunan Jawi-Arab dan Jawi
Peranakan.[3]
Perjuangan Kaum Muda.
Kemunculan Gerakan Pemulihan
Islam ini disifatkan sebagai titik penting dalam perkembangan gerakan
kebangsaan di Tanah Melayu.Ia berkait rapat dengan keadaan masyarakat Melayu
ketika itu yang serba ketinggalan dalam berbagai bidang berbanding dengan kaum-kaum lain.
Pada awal kurun ke-20, semangat
kebangsaan dibangkitkan oleh golongan pelajar yang mendapat pendidikan di Timur
Tengah, khususnya di Mesir. Pelajar yang menuntut di Universiti Al-Azhar telah
terpengaruh dengan idea pemulihan Islam yang dibawa oleh Sayid Jamaluddin
Al-Afghani dan Syeikh Muhammad Abduh. Setelah kembali ke tanah air pelajar
tersebut memulakan gerakan Islah di Tanah Melayu. Golongan ini dikenali sebagai
Kaum Muda.Antara tokoh penting dalam gerakan ini ialah Syeikh Tahir Jalaluddin,
Syed Syeikh Al-Hadi dan Haji Abbas Muhammad Taha.
Idea pembaharuan Kaum Muda disebarkan
melalui majalah Al-Imam. Al-Imam telah memberi kesan besar dalam perkembangan
pemikiran orang Melayu. Orang Melayu mulai sedar akan kepentingan pendidikan
dan ekonomi mereka.Mereka menegaskan pentingnya umat Islam kembali kepada
ajaran al-Quran dan Hadis.Pada pandangan mereka, masyarakat Islam ketinggalan
kepada kaum imigran bukan disebabkan oleh ketidakupayaan mereka bersaing,
tetapi disebabkan kelalaian mereka memahami ajaran Islam sebenar.Bagi mereka
masyarakat Melayu masih boleh diselamatkan sekiranya diberi petunjuk kepada
ajaran Islam sebenar berlandaskan al-Quran dan Hadis.[4]
[1]Ruslan
Zainuddin dan Abd Sukor Yusuf, AceAhead
Teks STPM Sejarah Malaysia dan Asia Tenggara (1800-2000)Penggal 3 Edisi Kemaskini,151.
[2]“Gerakan Nasionalisme”, dalam
Modul Pengajaran dan Pembelajaran STPM Sejarah Penggal 3, , (Putrajaya:
Kementerian Pendidikan Malaysia,2013) 56 .
[3]Ruslan
Zainuddin dan Abd Sukor Yusuf, AceAhead
Teks STPM Sejarah Malaysia dan Asia Tenggara (1800-2000) ,153
[4]Ong
Loo Chen, Pra U Teks STPM Penggal 3,
(Bandar Baru Bangi:Penerbitan Pelangi Sdn. Bhd.,2015),142.
No comments:
Post a Comment