Pages

Saturday, December 27, 2014

Masyarakat Islam

1.1  Masyarakat Islam

       Nabi Muhammad SAW diutus bagi menyampaikan risalah kepada seluruh umat manusia tentang ajaran Islam. Baginda ialah Nabi dan Rasul terakhir.Hal ini bermakna tidak ada nabi dan rasul selepasnya. Baginda telah berjaya mernbentuk sebuah masyarakat (ummah) dan negara Islam di Madinah.Selepas kewafatan Nabi Muhammad SAW, telah berlaku suatu perubahan besar dari sudut politik, ekonomi dan sosial umat Islam yang membawa kepada perkembangan budaya dan masyarakat Islam yang terdiri daripada pelbagai bangsa dan keturunan. Peristiwa ini telah mencetuskan suatu fenomena baharu dalam sejarah umat Islam bermula dari era Khulafa' al-Rasyidin hinggalah kepada era-era selepasnya.[1]
Nabi Muhammad SAW dan Khalifah al-Rasyidin di Semenanjung Tanah Arab (abad ke-6-7)
2.1 Perkembangan Masyarakat lslam di Mekah
Aktiviti Dakwah
Antara usaha Nabi Muhammad SAW untuk membentuk masyarakat Islam di Makkah adalah melalui dakwah. Langkah-langkah dakwah diambil sama ada secara sulit atau terang-terangan .Secara sulit, baginda berdakwah kepada keluarga, anak-anak angkat, saudara-mara dan para sahabat.Baginda menyeru mereka supaya beriman kepada Allah SWT dan Rasul-Nya serta meninggalkan amalan menyembah berhala.Baginda juga menyeru mereka kepada kebaikan, iaitu ma'ruf  dan meninggalkan kejahatan, iaitu mungkar seperti minum arak,berjudi, berzina, mencuri dan membunuh.
       Dakwah yang dijalankan oleh baginda adalah secara lemah lembut.Hanya beberapa orang dalam kalangan penduduk Makkah yang memeluk agama Islam setelah kira-kira tiga tahun dakwah secara sulit dilakukan.Khadijah binti Khuwailid, Saidina Ali bin Abu Talib, Zaid Harithah, Saidina Abu Bakar al-Siddiq, Uthman bin Affan, Zubair al-Awwam, Abdul Rahman bin Auf, Saad Abu Waqas, Talhah bin Ubaidillah dan al-Arqam bin Abu Arqam.[2]
       Peringkat dakwah secara sulit telah dilakukan secara berhati-hati melalui individu tertentu seperti Abu Bakar al-Siddiq dan al-Arqam bin Abi al-Arqam yang menghadiahkan rumahnya sebagai markas untuk menyebarkan agama Islam. Mereka yang memeluk Islam di Makkah terdiri daripada golongan miskin dan kaya, termasuk Abu Bakar al-Siddiq dan Uthman bin Affan. Namun begitu, bilangannya terlalu kecil berbanding dengan di Madinah selepas Hijrah.
       Setelah tiga tahun berdakwah secara sulit, turun wahyu supaya Nabi Muhammad SAW berdakwah secara terang-terangan.Walau bagaimanapun, sambutan daripada kaum keluarga baginda agak dingin, terutamanya tentangan oleh ayah saudaranya, Abu Lahab sehingga turun ayat al-Quran yang mengutuk perbuatan tersebut, iaitu surah al-Lahab, ayat l-5.
       Selepas turunnya ayat al-Quran, maka bermulalah aktiviti dakwah secara terang-terangan. Allah SWT mengarahkan baginda supaya memberikan peringatan dan amaran kepada kaum keluarga baginda supaya patuh dan setia kepada orang yang beriman.Namun begitu, Abu Lahab enggan menurut perintah Allah SWT dan Rasul-Nya serta terus menentang dan memusuhi baginda dan agama Islam.[3]
TENTANGAN DAN CABARAN
       Kaum Quraisy menentang usaha dakwah Nabi Muhammad SAW dan mencabar baginda supaya menunjukkan mukjizat seperti nabi-nabi terdahulu. Tujuan mereka semata-mata untuk menghina Nabi Muhammad SAW dan kerasulan baginda. Kaum Quraisy mula berasa terhina kerana Nabi Muhammad SAW menyelar agama berhala, iaitu agama nenek moyang mereka.
Mereka meminta agar Abu Talib menasihati anak saudaranya,tetapi Nabi Muhammad SAW tetap meneruskan seruan Islam.
       Sikap dan pendirian Abu Talib yang memihak kepada Nabi Muhammad SAW menyebabkan kaum Quraisy bertambah marah dan meminta agar Nabi Muhammad SAW diserahkan kepada mereka. Setelah usaha tersebut gagal, mereka cuba memujuk Nabi Muhammad SAW dengan menawarkan perempuan, harta dan pangkat dengan syarat baginda meninggalkan seruan Islam, tetapi tawaran ini ditolak.
       Kaum Quraisy kemudiannya menggunakan cara kompromi dengan mencadangkan agar Nabi Muhammad SAW menyembah berhala dan mereka akan menyembah Tuhan Nabi Muhammad SAW.Tawaran ini juga ditolak oleh baginda berdasarkan perintah Allah SWT dalam surah al-Kaafirun,ayat 1-6 yang bermaksud "terdapat pemisahan mutlak antara agama Islam daripada agama berhala".Kaum Quraisy tidak mahu beralah kerana tidak mahu kuasa yang ada pada mereka tergugat.
       Setelah gagal dengan pelbagai cara, akhirnya kaum Quraisy mengambil tindakan keras dengan menyeksa orang Islam. Walaupun orang Islam diseksa dengan dahsyat, namun bilangan orang yang memeluk Islam terus bertambah.Umat Islam telah berpindah ke Habsyah bagi mengelakkan penyeksaan kaum Quraisy, di samping berdakwah. Untuk menyebarkan agama Islam. Peristiwa tersebut berlaku pada bulan Rejab tahun 615 M.
Mereka selamat tiba di Habsyah dan diberikan perlindungan oleh rajanya,Najasyi. Nabi Muhammad SAW pula terus berdakwah di Makkah.Bilangan orang Islam yang berhijrah ke Habsyah pada peringkat awal ialah seramai 12 orang lelaki dan empat orang wanita. Bilangan
tersebut bertambah sehingga mencapai 82 orang, tidak termasuk wanita dan kanak-kanak.
       Kaum Quraisy masih tidak berpuas hati dan menghantar dua orang utusan meminta agar Raja Najasyi memulangkan orang Islam.Namun, usaha tersebut gagal kerana Raja Najasyi sendiri telah tertarik dengan agama Islam.Berita pengislaman Umar bin al-Khattab pada bulan Zulhijah tahun 616 M yang juga merupakan seorang pemimpin yang berpengaruh dalam kalangan masyarakat di Makkah menyebabkan orang Islam kembali ke Makkah.
       Kaum Quraisy semakin berpecah kerana Umar bin al-Khattab merupakan orang kuat mereka.Kaum Quraisy telah merancang taktik baharu untuk melemahkan umat Islam dengan memulaukan Bani Hasyim dan Bani Muttalib, iaitu kaum keluarga Nabi Muhammad SAW.
Pemulauan yang berlangsung selama kira-kira tiga tahun itu merangkumi larangan melakukan urusan jual beli, perkahwinan dan memberikan pertolongan kepada kaum keluarga Nabi Muhammad SAW.
       Mereka hanya dibenarkan keluar pada musim haji. Peluang ini digunakan oleh Nabi Muhammad SAW untuk menyebarkan agama Islam kepada jemaah haji yang datang dari seluruh Semenanjung Tanah Arab.


[1]Mahayudin Hj.Yahya et.al.,Sejarah Islam (500-1918) Penggal 2,(Shah Alam:Oxford Fajar,2013),15.
[2] Mahdi Shuid. Et.al, Teks STPM Sejarah Islam Penggal 2, (Bandar Baru Bangi :Penerbitan Pelangi Sdn.Bhd,2013),29.
[3] Mahayudin Hj.Yahya et.al.,Sejarah Islam (500-1918) Penggal  2,17

No comments:

Post a Comment