1.Nilaikan penentangan terhadap
Sistem Residen di Perak 1875 dan di Pahang 1891. [20]
Pendahuluan
British campur tangan di Perak
tahun 1874 dan di Pahang 1888. Melalui campur tangan tersebut, Sistem Residen
diperkenalkan.Sistem Residen merupakan sistem pemerintahan secara tidak
langsung British di Perak dan Pahang. Di bawah Sistem Residen seorang pegawai
British yang digelar Residen dilantik untuk menasihati Sultan dalam segala hal
pentadbiran kecuali agama dan adat-istiadat
Melayu. Di Perak Residen pertama ialah JWW Birch, manakala di Pahang J.P
Rodger dilantik menjadi Residen yang pertama. Sistem residen di Perak dan
Pahang ditentang hebat oleh masyarakat tempatan atas sebab-sebab politik,
ekonomi dan sosial.
Isi-isi penting
Sebab penentangan di Perak.
1.Perjanjian Pangkor gagal menyelesaikan masalah.
Masalah perebutan takhta antara
Raja Abdullah dan Raja Ismail tidak dapat diselesaikan walau pun Perjanjian
Pangkor ditandatangani 1874.
Selepas Perjanjian Pangkor,
pembesar-pembesar di Hulu Perak tidak mengiktiraf Raja Abdullah sebagai Sultan
Perak.
Raja Ismail enggan menyerahkan
alat kebesaran raja yang diperlukan untuk pertabalan seseorang sultan.
Ngah Ibrahim pula tidak berpuas
hati kerana terpaksa mengikut nasihat Kapten Speedy.
2.Campur tangan JWW Birch dalam adat resam orang Melayu.
J.W.W Birch telah mengambil
alih pungutan cukai di Perak. Beliau mewujudkan sebuah khazanah pusat yang
dikendalikan oleh pegawai British.
Sultan dan pembesar dilarang
memungut cukai tanpa bayaran ganti rugi yang mencukupi. Ini dilihat sebagai
satu tindakan yang mengancam kedudukan tradisional dan kekuasaan sultan dan
pembesar.
Birch menentang amalan
perhambaan yang merupakan adat resam masyarakat Melayu tradisional. Institusi
perhambaan. melarnbangkan kedudukan dan kekuasaan seorang sultan atau pembesar.
Birch telah memberi perlindungan kepada hamba abdi yang melarikan diri daripada
tuan mereka di tempat kediamannya.
Birch telah melanggar syarat
Perjanjian Pangkor dengan campur tangan dalam adat resam orang Melayu.
3.Pengenalan cukai baharu
Birch memperkenalkan pelbagai
cukai yang asing pada masyarakat Melayu serta membebankan masyarakat tempatan. Contohnya,
cukai ke atas perahu dan perahu dagang. Perahu yang digunakan untuk menangkap
ikan dikenakan cukai sebanyak 50 sen. Perahu dagang pula dikenakan cukai sebanyak
satu ringgit.
Terdapat cukai ke atas hasil
padi.Bayaran lesen dikenakan ke atas hak membawa senjata.
Birch telah membatalkan pajakan
Sultan Abdultah kepada Tan Kim Cheng sebanyak $26 000 setahun bagi pungutan cukai
kastam di Perak. Birch kemudiannya membuat tawaran baru dengan memajakkan
pungutan cukai ke atas minuman keras serta candu yang berjumlah $6 000 sebulan
kepada Tan Kim Cheng dan
rakan-rakannya.
4.Keperibadian Birch
Birch mempunyai keperibadian
yang lemah dan suka menghina sultan dan pembesar Perak. Pada Ogos 1875, Birch
menghina Sultan Abdullah apabila baginda bersama-sama dengan pembesar Melayu
yang lain pergi ke rumahnya untuk meminta bayaran ganti rugi.
Birch mencabar kekuasaan Sultan
Abdullah dengan biadap mengatakan bahawa bayaran ganti rugi hanya akan dibayar sekiranya
mereka berhenti memungut hasil.
5.Kesilapan Sir William Jervois
Sir William Jervois ingin
mengambil alih pemerintahan negeri Perak melalui pelantikan pegawai-pegawai
British atas nama sultan.
Ini bermakna sultan dan
pembesar Perak tidak mempunyai kuasa politik lagi. Mereka dipaksa menyerahkan
kuasa pentadbiran kepada British dan akan diberi pencen atau ganti rugi. Jervois
telah menetapkan sekiranya Sultan
Abdullah membantah, baginda akan dibuang negeri. Sultan Abdullah terpaksa
menandatangani dua perisytiharan untuk menerima cadangan ini pada 2 Oktober
1875.
Sebab penentangan di Pahang
1.Perasaan tidak puas hati
Sultan Ahmad Sultan Ahmad kehilangan kuasa pentadbiran. Kedudukan baginda dalam
Majlis Mesyuarat Negeri tidak bermakna langsung kerana segala keputusan dalam
tangan Residen British.
Sultan Ahmad dipaksa menandatangani
satu perisytiharan yang melantik putera baginda, iaitu Tengku Mahmud sebagai
pemangku Raja dengan kuasa penuh.
Sultan Ahmad berpindah ke Pulau
Tawar. Baginda telah bekerjasama dengan pembesar lain menentang Sistem Residen
secara sulit.
2.Perasaan tidak puas hati
pembesar
Dato Bahaman merupakan Orang
Besar Berempat dan Orang Besar Semantan. Beliau diberi amaran oleh British sebab
memungut cukai di kawasannya sendiri.
British mendirikan sebuah balai
polis di Lubuk Terua yang terletak dalam kawasan Semantan tanpa memaklumkan kepadanya.
Dato Bahaman hanya diberi elaun
sebanyak $70 sebulan walaupun beliau meminta sebanyak $500.
Tok Raja adalah Orang Besar
Berempat. Beliau pernah mengadu kepada Residen British tentang Syarikat Penom yang
melombong emas di kawasannya tetapi British tidak melayannya.
Tok Gajah berkedudukan sebagai
Orang Besar Raja dan mempunyai pengaruh dalam istana. Permintaan beliau untuk
menaikkan elaun pembesar dan pembayaran elaun kepada penghulu tidak dihiraukan
langsung oleh British.
3Perasaan tidak puas hati
rakyat
Rakyat tidak puas hati dengan
pengenalan sistem lesen dan permit.
Mereka terpaksa memperoleh
lesen atau permit untuk mendapatkan hasil hutan seperti kayu dan daun rumbia.
Mereka juga tidak dibenarkan memakai
keris.
British memperkenalkan cukai ke
atas tanah kecuali tanah warisan. Kadar cukai adalah berdasarkan jenis tanah.
Rakyat Pahang benci dengan
sikap orang asing yangberada di Pahang. Ramai orang Cina dan Eropah bersikap
sombong dan jahil terhadap adat resam tempatan.
Penutup
Campur tangan British dan
pengenalan Sistem Residen membawa kepada penentangan di Perak dan Pahang. British
tidak sensitif terhadap adat resam dan tradisi masyarakat tempatan. Mereka
melaksanakan sesuatu yang asing dan dilakukan dengan tergesa-gesa. British
telah mengenepikan kewibawaan dan kedaulatan sultan dan pembesar. Walau
bagaimanapun, penentangan di Perak dan Pahang dapat dipatahkan. Selepas itu,
British lebih berhati-hati apabila berurusan dengan orang Melayu.
No comments:
Post a Comment