Sistem pembesar di Pahang hampir sama
dengan Melaka. Pahang mempunyai seorang Bendahara, Penghulu Bendahari dan
Temenggung. Pada abad ke-17 para pembesar Pahang dilantik oleh Sultan Johor seperti
Orang Besar Indera Mahajara Perba Jelai atau Tok Raja, Orang Kaya Indera Segara
Temerloh, Orang Kaya Pahlawan Chenor dan
Orang Kaya Indera Syahbandar.[11]
Pada abad ke-19 di pahang, Bendahara
memainkan peranan penting dalam pemerintahan. Beliau bertanggungjawab
mengendalikan urusan perhubungan luar, mengetuai peperangan, mengadili kes-kes
perbicaraan serta menjadi lambang perpaduan rakyat. Bendahara sangat bergantung
kepada peranan Orang Besar Berempat seperti Orang Kaya Indera Syahbandar, Orang
Kaya Indera Maharaja Perba, Orang Kaya Indera Segara Temerloh dan Orang Kaya
Indera Pahlawan, Chenor. Orang Besar Berempat akan mengenakan cukai atau
kutipan lain apabila keadaan memerlukan. Contohnya, pembesar boleh memungut
cukai daripada setiap penduduk di daerah mereka untuk membiayai perbelanjaan ke
Pekan bagi tujuan mengadap sultan.[12]
Pembesar boleh mengenakan cukai terhadap
barang yang diimpot dan diekspot di daerah masing-masing. Kadangkala, mereka
memegang hak monopoli terhadap barang tertentu yang kemudian dijual kepada
rakyat dengan harga yang lebih tinggi.
Orang Besar Berempat juga mengendalikan kes jenayah dan awam.Pada
teorinya, hukuman mati hanya boleh dijatuhkan oleh sultan, tetapi secara
praktiknya, pembesar berkuasa penuh di daerah mereka. Biasanya semakin jauh
daerah itu dari Pekan, semakin kuat kuasa dan kebebasan Orang Besar Berempat.
Mereka juga menjadi ahli dalam Majlis Penasihat Istana. Sultan memerlukan
mereka dalam perundingan tentang hal-hal negeri yang penting.[13]
Orang Besar Berlapan dan Orang Besar Enam
Belas mempunyai bidang kuasa yang sama seperti Orang Besar Berempat; cuma kuasa mereka terhad dalam
kutipan cukai, pengadilan dan pentadbiran sahaja. Mereka juga diberi daerah
kecil untuk ditadbir.[14] Terdapat dua orang Pembesar Berlapan yang
mempunyai hak kuasa yang sama dengan Orang Besar Berempat. Mereka ialah Orang
Kaya Lipis dan Orang Kaya Semantan.[15]
Satu lagi kumpulan pembesar yang memegang
kuasa yang luasdi Pahnag ialah Orang Besa Raja. Mereka biasanya adalah orang
kesayangan di istana yang menjadi terkenal semasa peperangan. Contohnya Imam
Perang Rasul. Beliau berjuang di pihak sultan semasa Perang Saudara di Pahang
dan telah meningkatkan imej pasukan tentera Pahang dalam peperangan tersebut.
Oleh sebab jasa tersebut, maka beliau telah dianugerahkan gelaran Orang Kaya
Imam Perang Indera Gajah Pahang atau Tok gajah. Tok Gajah juga dikurniakan
kawasan Pulau Tawar dan Budu.
Datuk Bahaman juga merupakan pembesar
Pahang yang penting. Beliau merupakan panglima perang yang banyak berjasa
kepada sultan Pahang. Beliau telah membantu Bendahara Wan Ahmad dalam tiga siri
peperangan iaitu pada tahun 1858, 1860, 1862 serta Perang Kelang di Selangor.Disebabkan
kegagahan tersebut, beliau dianugerahkan gelaran Orang Kaya Dato’ Setia Perkasa
Pahlawan Semantan. Beliau juga dilantik sebagai pembesar Temerloh setelah kematian
Orang Kaya Indera Segara.[16]
[11]Ruslan Zainuddin
, Sejarah Malaysia, (Shah Alam: Fajar
Bakti Sdn. Bhd, 2003),27.
[12] Ong
Loo Chen, Teks STPM Sejarah, (Bandar Baru Bangi: Penerbitan Pelangi Sdn.Bhd,
2013),10.
[13] Ong Loo Chen, Teks STPM Sejarah, (Bandar Baru
Bangi: Penerbitan Pelangi Sdn.Bhd, 2014),10.
[14] Ruslan
Zainuddin dan Abd Sukor Yusuf, Ace Ahead
Teks STPM Sejarah Malaysia dan Asia Tenggara (1800-2000,8.
[15] Ong Loo Chen, Teks STPM Sejarah, (Bandar Baru
Bangi: Penerbitan Pelangi Sdn.Bhd, 2014),10.
[16] Ibid,11.
No comments:
Post a Comment